Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #667: HUTANG ORANG MATI YANG TIDAK DIKETAHUI WARISNYA

SOALAN

Apakah hukum membayar hutang yang telah kematian pemberi hutang dan tidak dapat diketahui ahli warisnya?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Dalam isu menerima dan memberi hutang, penekanan yang amat serius diberikan oleh Allah SWT sehinggakan terdapat dalam al-Quran satu ayat yang cukup panjang  yang membicarakan berkenaan hutang-piutang ini secara terperinci. Berikut adalah firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya).” [Surah al-Baqarah : 282]

 

Perkara-perkara yang digalakkan ketika berhutang berdasarkan ayat di atas:

 

  1. Mencatat hutang (isi surat hutang itu dengan jelas).
  2. Penulis hutang adalah daripada orang yang adil.
  3. Janganlah mengurangkan sesuatu pun dari hutang tersebut.
  4. Bagi orang yang lemah, perlu diwakilkan kepada wali.
  5. Mendatangkan saksi (dua lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan).
  6. Bertakwalah kepada Allah SWT sepanjang melaksanakan muamalah tersebut.

 

Merujuk kepada persoalan di atas, bagi penghutang yang tidak mampu untuk mengembalikan semula harta yang dihutanginya kepada tuannya (telah mati), maka penghutang tersebut wajib mengembalikan harta tersebut kepada ahli waris si mati. Namun begitu, jika penghutang tidak tidak menjumpai mana-mana waris si mati untuk dipulangkan harta tersebut, maka harta tersebut boleh disalurkan kepada maslahat kaum muslimin. Ataupun, harta tersebut boleh disedekahkan kepada fakir miskin.

 

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang berkata:

 

إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ وَإِلَّا فَيَتَصَدَّقُ بِهِ عَلَى فَقِيرٍ أَوْ فُقَرَاءَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang) dan dia hendak bertaubat dari perbuatannya, serta hendak berlepas diri dari harta haram tersebut, hendaklah dia mencari si pemilik sah harta itu. Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilih sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum muslimin, seperti membina jambatan, masjid, menjaga perbatasan negara islam dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin. Atau boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin”. [Rujuk: Majmu’ Syarh Muhazzab, 9/351]

 

Dalam Kitab Syarh Riyad al-Solihin, penulisnya berkata boleh juga harta yang dihutangi tersebut disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT serta diniatkan pahala kepada tuannya:

 

فَتَصَدَّقَ بِهِ عَنْهُ تَخَلُّصاً مِنْهُ، وَاللهُ- سُبْحَانَهُ وَتَعَالَي- يَعْلَمُهُ وَيُعْطِيهِ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Maka hutang tersebut dapat disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah SWT mengetahui hal ini dan akan menunaikan hal ini dan menunaikan kepada orang tersebut (pemilik harta).” [Rujuk: Syarh Riyad al-Solihin, Bab Taubat, 1/89]

 

KESIMPULAN

Hutang adalah satu perkara yang amat besar kesannya dalam kehidupan seorang muslim di dunia mahupun akhirat. Lebih-lebih lagi, jika hutang tersebut melibatkan hak-hak manusia yang semestinya diselesaikan terlebih dahulu semasa hidup. Berdasarkan hujah-hujah di atas, kami berpandangan duit atau harta yang dihutangi tersebut perlulah diserahkan kepada baitulmal negeri masing-masing agar ianya dapat digunakan bagi maslahat umum. Namun begitu, jika telah menjumpai warisnya (si mati) maka harta atau wang tersebut boleh diserahkan kepada waris tersebut.

 

Setiap penghutang perluah mempunyai keazaman untuk melangsaikan hutangnya dengan apa cara sekalipun. Bagi mereka yang mampu untuk menyelesaikan hutangnya, maka bersegeralah dalam menunaikan perbuatan tersebut.

 

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

 

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ، فَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيٍّ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Menunda pembayaran bagi orang mampu merupakan satu kezaliman, barangsiapa yang (hutangnya) dilimpahkan kepada seseorang, maka hendaklah dia menurutinya.” [Riwayat al-Bukhari (2288)]

 

Dengan penjelasan ini, diharap mampu untuk membuka ruang fikir umat Islam untuk bersegera dalam menunaikan hak-hak(hutang) orang lain. Ini kerana, amat buruk pembalasan bagi sesiapa yang melengah-lengahkan serta memakan harta orang lain. Demikian, tidak boleh ada alasan lagi untuk mengelakkan dari melunaskan hak orang lain yang terdapat dalam harta kita.

Wallahu a’lam