Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #675 : PANDANGAN BERKAITAN KITAB TANBIH AL-GHAFILIN

Soalan:

Assalamualaikum S.S Datuk Mufti. Persoalan saya, apakah pandangan S.S Datuk Mufti berkaitan kitab Tanbih al-Ghafilin karangan Imam Abu Laith al-Samarqandi ? Adakah sesuai untuk kita bacakan kepada masyarakat.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Imam Abu al-Laith al-Samarqandi Rahimahullah adalah salah seorang tokoh ilmuan islam yang terkenal. Imam al-Zahabi menterjemahkan biografi Imam Abu al-Laith ini dengan katanya: (Beliau adalah) al-Imam, al-Faqih, al-Muhaddith, al-Zaahid, Abu al-Laith Nasr bin Muhammad bin Ibrahim al-Samarqandi al-Hanafi, pemilik kitab Tanbih al-Ghafilin, dan beliau juga menulis kitab Al-Fatawa. Lihat Siyar A’laam al-Nubala’, Al-Zahabi (16/323).

Berkenaan dengan kitab Tanbih al-Ghafilin, atau nama penuhnya Tanbih al-Ghafilin fi al-Mau’izhah Bi Ahaadith Sayyid al-Anbiya’ wal Mursalin (peringatan kepada golongan yang lalai dalam memberikan mau’izhah menggunakan hadis-hadis penghulu bagi sekalian para Nabi dan Rasul), terdapat beberapa pandangan para ulama tentangnya seperti berikut:

Kata al-Imam al-Zahabi berkenaan kitab Tanbih al-Ghafilin di dalam kitabnya Tarikh al-Islam: Dan di dalam kitab Tanbih al-Ghafilin terdapat hadis-hadis palsu yang banyak. Rujuk Tarikh al-Islam, al-Zahabi (hlm. 583).

Syeikh Abu al-Fadhl al-Ghumari Rahimahullah berkata: Dan kitab Tanbih al-Ghafilin terkandung padanya hadis-hadis dhaif dan palsu. Maka tidak dikehendaki kepada orang awam yang tidak mengetahui yang sahih daripada yang palsu untuk membacanya. Rujuk al-Hawi Fi al-Fatawa Abu al-Fadhl al-Ghumari (3/4).

Kesimpulan

Kami berpendapat, kitab Tanbih al-Ghafilin adalah sebuah kitab yang baik dan bermanfaat dari sudutnya yang tersendiri iaitu sebagai mau’izhah dan peringatan kepada umat manusia yang sering lalai dan alpa dari agama. Adapun berkaitan hadis-hadis yang terdapat di dalamnya, maka kami mencadangkan supaya pembaca ataupun guru yang ingin mengajarkan kitab tersebut kepada masyarakat, hendaklah menguasai dan mendalami sebaik mungkin ilmu hadis serta mampu menilai dan menyaring hadis-hadis di dalamnya dengan baik.

Kami juga mencadangkan supaya kita membeli dan membaca kitab Tanbih al-Ghafilin yang telah ditahqiq dan ditakhrijkan hadis-hadis di dalamnya oleh para ahli ilmu yang berkelayakan lagi pakar.

Namun sekiranya seseorang itu tidak dapat membezakan hadis-hadis di antara yang sahih dengan yang dhaif, maka memadailah jika dia membaca kitab-kitab yang lebih diyakini kesahihan hadis di dalamnya yang turut berkaitan dengan akhlak dan adab, seperti kitab al-Raqaiq dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Targhib wa al-Tarhib karya Imam al-Munziri, dan kitab Riyadh al-Salihin karya Imam al-Nawawi. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.