Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ALKAFI907

Soalan:

Apa hukum hamba Allah yang tinggal berdekatan dengan masjid atau surau dan mendengar azan serta iqamah namun masih masbuq di dalam solatnya.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Isu mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid untuk hadir mengerjakan solat di masjid terdapat padanya beberapa riwayat dan atsar yang menyebutkan tentangnya. Antaranya adalah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: Sesiapa yang mendengar seruan azan lalu dia tidak mendatanginya maka tidak ada solat buatnya (tidak sempurna) melainkan jika ada keuzuran.

Riwayat Ibn Majah (793).

Berdasarkan hadis ini, ia tidaklah mengkhususkan kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid sahaja. Bahkan hadis ini umum meliputi sesiapa sahaja yang mendengar azan sama ada rumahnya dekat ataupun jauh dengan masjid untuk hadir menyahut seruan azan dengan menghadirkan diri ke masjid bagi menunaikan solat berjamaah. Sekiranya tidak, maka solat yang dilakukannya itu dikira sebagai tidak mendapat ganjaran yang sempurna. Ini kerana, perkataan فَلاَ صَلاَةَ لَهُ itu merupakan نفي الكمال (menafikan kesempurnaan) dan bukannya نفي الصحة (menafikan kesahihan).

Dalam membahaskan isu keuzuran yang mengecualikan seseorang itu untuk hadir ke masjid seperti yang disebutkan di dalam hadis, ini seperti soalan yang ditanyakan kepada Ibn Abbas R.A:

وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: Apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Beliau menjawab: Perasaan takut atau sakit.

Riwayat Abu Daud (5510)

Kami menyatakan bahawa keuzuran itu tidaklah terbatas kepada dua perkara yang disebutkan oleh Ibn Abbas sahaja. Bahkan selama mana keuzuran itu diambil i’tibar oleh syara’ seperti hujan lebat, dan seumpamanya, maka ia juga turut termasuk dalam makna hadis ini.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, terdapat juga sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَا صَلَاةَ لِجَارِ الْمَسْجِدِ إِلَّا فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: Tidak sempurna solat bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid melainkan di masjid.

Riwayat Al-Hakim (1/373).

Hadis ini terdapat padanya pengkhususan dan penegasan kepada mereka yang tinggal berhampiran masjid untuk hadir solat berjamaah di masjid. Namun kami menyatakan bahawa ini bukanlah bermakna sesiapa yang tidak hadir solat di masjid maka solatnya tidak sah. Bahkan solatnya adalah sah namun tidak mendapat kesempurnaan pada pahala dan ganjaran.

Manakala berkenaan dengan tuntutan dan galakan untuk hadir awal ke masjid, memadailah dengan beberapa nas dan riwayat daripada Al-Quran dan al-hadis yang menjelaskan berkenaan hal ini. Antaranya firman Allah S.W.T:

وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: Dan bersegeralah kamu menuju pengampunan dari Tuhan kamu dan juga (menuju) syurga yang luasnya melebihi langit-langit dan juga bumi yang disediakan buat orang yang bertakwa.

Surah Aali Imran (133)

Begitu juga seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ

Maksudnya: Bersegeralah kamu untuk melakukan amalan-amalan kebaikan.

Riwayat Muslim (118)

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa melewat-lewatkan diri untuk hadir ke masjid tanpa sebarang keuzuran dalam keadaan rumah berhampiran dengannya adalah makruh hukumnya. Adalah menjadi suatu keutamaan untuk kita menyelesaikan urusan-urusan keduniaan terlebih dahulu supaya dapat bersiap sedia lebih awal bagi menunaikan solat di masjid secara berjamaah.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.