Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

KAFI912

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. tuan. Berkenaan saf yang kosong, siapakah yang patut mengisi ruang tersebut. Adakah dari saf belakang ke hadapan atau dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu memenuhkan saf yang kosong, kita hendaklah membahagikan ia kepada dua keadaan yang berikut:

Pertama: Keadaan Saf Masih Belum Penuh

Sekiranya saf masih belum penuh disebabkan bilangan jemaah yang sedikit maka kedudukan saf adalah seperti berikut:

Imam berada di tengah-tengah saf solat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ وَسِّطُوا الإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ

Maksudnya: Jadikanlah kedudukan imam berada di tengah dan tutuplah ruang-ruang kosong.

Riwayat Abu Daud (681)

Manakala makmum pula hendaklah mengisi kedudukan di bahagian belakang imam kanan dan kiri, dan lebih diutamakan untuk dipenuhkan bahagian kanan saf. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى مَيَامِنِ الصُّفُوفِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya sentiasa berselawat terhadap bahagian saf yang kanan.

Riwayat Abu Daud (676)

Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abadi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini mengatakan: ‘’Pada hadis ini menunjukkan istihbab (tuntutan) untuk berada di bahagian kanan saf yang pertama dan saf-saf yang selepasnya’’. Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud, Syams Al-Haq Al Azhim Abaadi (2/281).

Ini menunjukkan bahawa kedudukan makmum di belakang imam hendaklah diutamakan bahagian kanan saf terlebih dahulu dan hukumnya adalah sunat.

Kedua: Keadaan Saf Telah Penuh

Manakala apabila keadaan saf telah penuh, dan ada kekosongan disebabkan terdapatnya jemaah yang mufaraqah (berpisah) dari solat sama ada disebabkan keuzuran atau sebagainya, maka siapakah yang perlu merapatkan saf ? Adakah perlu jemaah yang di belakang melangkah ke hadapan ataupun jemaah yang berada di dalam saf tersebut merapatkannya ?

Maka kami menyatakan bahawa dalam hal sebegini, kekosongan saf tersebut perlulah diisi dan bukannya dibiarkan kosong. Ini seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W:

وَسُدُّوا الْخَلَلَ

Maksudnya: Dan tutuplah ruang-ruang kosong.

Riwayat Abu Daud (681)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَلاَ تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: Janganlah kamu biarkan kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf Allah akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan dirinya.

Riwayat Abu Daud (666)

Hadis di atas ini melarang dari saf dibiarkan dalam keadaan kosong tanpa diisi. Kelebihan buat mereka yang menyambungkan saf dan memenuhkan ruang kosong adalah dia akan disambungkan dengan rahmat Allah. Manakala keburukan bagi mereka yang tidak merapatkan saf adalah terputusnya dia dari rahmat dan ‘inayah Allah S.W.T.

Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A menyebutkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: Luruskanlah saf-saf kamu, sesungguhnya lurusnya saf merupakan antara tanda kesempurnaan solat.

Riwayat Al-Bukhari (723)

Hadis di atas ini merupakan suatu tuntutan untuk meluruskan saf di dalam solat. Bahkan ia merupakan antara tanda lengkap dan tepatnya solat yang sedang didirikan. Bahkan diberikan perumpamaan Rasulullah S.A.W meluruskan saf para sahabat seperti diluruskan anak-anak panah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir R.A beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُسَوِّي صُفُوفَنَا حَتَّى كَأَنَّمَا يُسَوِّي بِهَا الْقِدَاحَ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W pernah meluruskan saf-saf kami seakan-akan baginda meluruskan anak-anak panah.

Riwayat Muslim (436)

Hadis ini memberi petunjuk kepada kita bahawa disamakan kelurusan saf dalam solat seperti lurusnya anak-anak panah.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa isu paling utama di sini adalah kelurusan saf dan tuntutan untuk mengisi kekosongan saf yang berlaku. Ia berbalik kepada feqh (kefahaman) makmum itu sendiri. Sekiranya makmum yang berada di dalam saf yang sama melihat tidak ada orang dari belakang yang mengisi kekosongan saf tersebut, hendaklah dia memenuhkannya sama ada dengan bergerak dari arah kiri ke kanan, atau dari arah kanan ke kiri. Kerana dalam keadaan ini, mengisi kekosongan itu adalah lebih utama. Wallahu a’lam.

Namun sekiranya makmum yang berada di belakang saf melihat kekosongan saf di hadapannya, maka dia hendaklah bersegera mengisi kekosongan tersebut bagi mendapat fadhilat bersegera ke arah kebaikan serta fadhilat menyambungkan saf.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.