Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #943: IMAM LUPA BERNIAT JADI IMAM SEMASA SOLAT JUMAAT

IMAM LUPA NIAT.JPG

Soalan

Imam lupa niat jadi imam sewaktu solat Jumaat. Setelah selesai solat, baru dia menyedari yang dia lupa niat. Perlukah solat sekali lagi?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat Jumaat dilakukan pada waktu Zohor, hari Jumaat dengan dimulakan dua khutbah dan dua rakaat solat Jumaat secara berjemaah. Kefarduannya jelas melalui nas antaranya:

  • Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Surah al-Jumu’ah: 9)

  • Daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim.”

Riwayat Abu Daud (1067)

  • Daripada Abu Hurairah R.A dan Ibn Umar R.Anhuma, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”

Riwayat Muslim (865) dan yang lainnya

Menjawab isu di atas, perlu difahami terlebih dahulu apakah makna niat. Niat ialah:

قَصْدُ الشَيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ ، وَمَحَلُّهَا القَلْبُ

Maksudnya: Memaksudkan melakukan sesuatu yang disertai dengan pekerjaan. Dan tempat niat adalah di dalam hati. (Lihat Fath al-Qarib, hlm. 75)

 

Persoalan di atas menunjukkan yang dia lupa niat untuk menjadi imam. Tetapi qarinah melalui berada di hadapan, bertakbir, membaca kuat fatihah dan surah jelas menunjukkan sebenarnya dia tahu yang dia imam. Justeru kami berpendapat sebenarnya dia berniat, tetapi mungkin dia tidak berlafaz seperti “إماما”. Oleh itu, solatnya sah dan berlaku hubungan antara imam dan makmum dalam solat berjemaah pada solat Jumaat tersebut. Wallahua’lam.

 

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dengan sebaik-baiknya untuk mengamalkannya. Amin.