Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

bunuh diri 2.JPG

Soalan:

Bolehkah kita solat ke atas jenazah yang mati kerana membunuh diri? Kerana ada hadith yang jelas menyebut mereka yang membunuh diri, tempatnya di neraka?

 

Jawapan:

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Membunuh diri merupakan salah satu dosa besar, dan Nabi Muhammad SAW telah menjelaskan bahawa orang yang membunuh diri akan diazab di akhirat sama dengan cara dia membunuh diri sewaktu di dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَهْوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ، يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَحَسَّى سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ، فَسَمُّهُ فِي يَدِهِ، يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ، فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ، يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: Sesiapa yang sengaja terjun daripada bukit dan membunuh dirinya, akan jatuh di neraka ke dalam api dan kekal dalam keadaan tersebut; sesiapa yang meminum racun dan membunuh dirinya, dia akan membawa racun tersebut dengan tangannya dan meminumnya di neraka selama-lamanya; dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan senjata besi, akan membawa senjata itu dan menusuk-nusuk perutnya di neraka selama-lamanya.

Sahih al-Bukhari (5778) dan Sahih Muslim (109) dengan lafaz yang berbeza.

Sabda Baginda lagi:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَىْءٍ عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.

Sahih al-Bukhari (6047) dan Sahih Muslim (110)

Kami juga telah bahaskan secara panjang lebar berkenaan fenomena membunuh diri kesan daripada tekanan hidup dalam artikel kami yang bertajuk Bayan Linnas Siri 74: Tekanan Hidup Yang Membawa Bunuh Diri: Hukum Dan Penyelesaiannya.[i]

 

Hukum Solat Jenazah Bagi Kes Bunuh Diri

Berkenaan hukum solat jenazah ke atas mereka yang membunuh diri, telah diriwayatkan oleh Jabir ibn Samurah R.A bahawa:

أُتِيَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ بِمَشَاقِصَ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ

Maksudnya: Telah dibawa kepada Nabi SAW jenazah seorang lelaki Muslim yang telah membunuh dirinya dengan anak panah, dan Baginda SAW tidak solat ke atasnya.

Sahih Muslim (978) dan Sunan al-Nasa’ie (1963)

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini menjadi dalil bahawa tidak disolatkan jenazah mereka yang membunuh diri, dan ini merupakan pandangan Umar ibn Abd al-Aziz dan Al-Auza’ie.

Namun Menurut Al-Hasan al-Basri, al-Nakha’ie, Qatadah, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’e dan jumhur ulama: jenazah orang yang membunuh diri perlu disolatkan, dan mereka memahami keengganan Nabi SAW untuk solat ke atasnya adalah supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak terjebak dengan perbuatan membunuh diri ini, sedang para sahabat solat ke atasnya. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 7/47)

Disebalik hadith-hadith yang menjelaskan besarnya dosa dan beratnya azab bagi mereka yang membunuh diri, ia tidak menghalang kita untuk mendoakan rahmat dan keampunan bagi mereka. Membunuh diri bukanlah satu kekufuran yang mengeluarkan pelakunya daripada agama Islam, dan Allah SWT berhak mengampunkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

Kami tegaskan di sini, sesusah mana hidup pun, jangan sekali-kali kita membunuh diri tetapi yakinlah kepada Allah dengan munajat, doa serta berusaha. Kalau perlu pun mati, maka doalah sebagaimana Nabi ajar kepada kita:

أَلاَ لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ فَإِنْ كَانَ لاَ بُدَّ مُتَمَنِّيًا الْمَوْتَ فَلْيَقُلِ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Maksudnya: “Ketahuilah, Janganlah salah seorang kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpamu. Sekiranya dia terpaksa juga untuk berbuat demikian maka hendaklah dia berdoa:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Ya Allah teruskanlah kehidupanku sekiranya hidup lebih baik bagi aku dan cabutlah nyawaku sekiranya kematian lebih baik buatku.”

Riwayat al-Bukhari (1/107-108) dan Muslim (2680)

Wallahu a’lam.

Nota Hujung:

[i] http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1124-bayan-linnas-siri-74-tekanan-hidup-yang-membawa-bunuh-diri-hukum-dan-penyelesaiannya