Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

sahkah solat jenazah kubur.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah sah solat Jenazah dilakukan atas kubur?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Walaupun kami pernah menjawabnya pada Irsyad al-Fatwa Siri ke-90, tetapi kami jawab sekali lagi dengan penambahbaikan dan kemaskini jawapan tersebut.

Sah solat jenazah di atas kubur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, daripada Abi Hurairah R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ - أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ - كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ ، فَمَاتَ ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ ، قَالَ أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ ، دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ - أَوْ قَالَ قَبْرِهَا - فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Maksudnya: Bahawasanya seorang lelaki kulit hitam – atau perempuan kulit hitam – yang biasa membersihkan masjid telah mati. Maka Nabi SAW bertanya tentangnya, lalu sahabatnya menjawab dia telah mati. Nabi SAW berkata: "Mengapa kamu tidak memberitahuku tentangnya? Bawalah aku ke kuburnya." Nabi SAW lalu datang ke kuburnya dan solat ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (458)

Hukum solat jenazah di kubur adalah dibolehkan jika seseorang itu tidak sempat untuk menyembahyangkannya di masjid atau tempat lainnya. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

مَاتَ إِنْسَانٌ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُهُ فَمَاتَ بِاللَّيْلِ فَدَفَنُوهُ لَيْلاً، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَخْبَرُوهُ فَقَالَ ‏ “‏ مَا مَنَعَكُمْ أَنْ تُعْلِمُونِي ‏”‏‏.‏ قَالُوا كَانَ اللَّيْلُ فَكَرِهْنَا ـ وَكَانَتْ ظُلْمَةٌ ـ أَنْ نَشُقَّ عَلَيْكَ‏.‏ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.

Maksudnya: Telah mati seseorang yang Rasulullah SAW selalu menziarahinya maka matinya pada waktu malam dan dikebumikan juga pada waktu malam. Apabila subuh, mereka memberitahu Rasulullah SAW maka berkata Rasulullah SAW: “Apa yang menghalang kalian dari memberitahuku?”. Mereka berkata: “Sudah malam dan gelap dan kami tidak mahu menyusahkan kamu”. Rasulullah SAW telah pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya.

Riwayat Al-Bukhari (1247), Ibn Majah (1530)

Al-Imam Badruddin al-‘Aini (wafat 855H) Rahimahullah di dalam kitabnya ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari dalam mensyarahkan hadis di atas menukilkan beberapa pendapat yang mengatakan boleh solat jenazah di kubur. Antaranya Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad dan Ishak bin Rahawaih. Begitu juga dengan Abdullah bin al-Mubarak yang mengatakan sekiranya jenazah telah dikebumikan dan tidak disolatkan lagi, maka solat di atas kubur. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 8/26)

Begitu juga dengan hadis Nabi SAW daripada Abi Hurairah RA:

أَنَّ امْرَأَةً، سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ – أَوْ شَابًّا – فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا مَاتَ ‏.‏ قَالَ: ‏”أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي”‏ ‏.‏ قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا – أَوْ أَمْرَهُ – فَقَالَ ‏”‏دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ”‏ ‏.‏ فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ:‏ إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِي عَلَيْهِمْ‏”.

Maksudnya: Sesungguhnya terdapat seorang wanita (ataupun pemuda) kulit hitam yang selalu membersihkan masjid dan Rasulullah SAW lama tidak melihatnya maka ditanyakan soalan tentangnya dan mereka berkata bahawa dia telah mati. Berkata Rasulullah SAW: “Mengapa kalian tidak memberitahuku, seakan kalian meremehkan urusannya. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh agar ditunjukkan kuburnya lalu Rasulullah SAW solat di situ kemudian berkata: “Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan ke atas ahlinya dan Allah ‘Azza wa Jalla menyinarinya dengan solatku ini ke atas mereka.”

Riwayat Muslim (956)

Al-Khattabi berkata: Padanya jelas menunjukkan harus solat atas kubur bagi sesiapa yang tidak sempat solat jenazah sebelum dikebumikan. (Lihat Ma'alim al-Sunan, 1/315)

Kami nukilkan beberapa pandangan dari tokoh ulama’ dalam membicarakan mengenai hukum ini. Antaranya:

Pertama: Al-Imam al-Mawardi (wafat 450H) Rahimahullah menukilkan perbahasan ini di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir dengan menyebut: “Barangsiapa yang tidak berkesempatan untuk solat (jenazah) dikalangan wali (si mati) ataupun selainnya, maka disolatkan kali kedua sebelum dikebumikan dan selepas dikebumikan di kubur dan itulah yang paling utama bahkan al-Syafi’e memakruhkan solat sebelum dikebumikan kerana takut akan rosaknya mayat.” Ini merupakan pendapat sebahagian Sahabat seperti Ali, Umar, Ibn Umar, Abu Musa dan ‘Aisyah Radhiyallahu’anhum. Manakala dikalangan tabi’en seperti al-Zuhri dan selainnya, dikalangan fuqaha’ seperti al-Auza’ie, Ahmad dan Ishak. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/59).

Kedua: Di dalam al-Majmu’, al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) Rahimahullah menyebut: “Jika hadir sesiapa yang belum sempat untuk solat ke atas jenazah selepas dikebumikan atau berkehendakkan solat ke atas jenazah di negeri yang lain dibolehkan dan tiada khilaf padanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/247)

Ketiga: Begitu juga di dalam mazhab Hanbali seperti yang telah dinukilkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi (wafat 620H) Rahimahullah iaitu bagi siapa yang terlepas solat jenazah sehingga telah dikebumikan, maka solat dikuburnya dan dibolehkan untuk solat di situ selama satu bulan. Begitulah pendapat ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW dan selain mereka dan itu juga pendapat al-Auza’ie dan al-Syafi’e. (Lihat al-Mughni, 2/381)

Justeru, selapas nukilan daripada pendapat para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa solat jenazah di atas kubur jika tidak sempat melakukannya sebelum dikebumikan adalah harus dan dibolehkan. Bahkan dinyatakan oleh Syeikh Daud al-Fatoni sah mengerjakan solat Jenazah di atas kubur dan memadai solat di atas kubur walaupun jenazahnya sudah reput, jika jenazah itu belum lagi disembahyangkan dengan syarat kuburnya belum pernah digali sebelum itu. (Lihat Furu’ al-Masa’il, hlm. 560)

Semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini, maka terjawablah sudah isu berkaitan solat jenazah di atas kubur bagi sesiapa yang terlepas solat bersama sebelum dikebumikan.