Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AF 1355 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya soalan berkaitan solat.Rukun qauli itu wajib. Bagaimana sekiranya seseorang yang ada sakit ulser dalam mulut sehingga menyukarkannya untuk menyebut bacaan-bacaan rukun qauli. Bagaimanakah dengan solatnya?. Adakah sah?

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan, sebagai makluman tambahan kepada saudara yang bertanya, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, ulser menyebabkan rasa ketidakselesaan pada mulut, sakit serta sukar untuk makan, minum dan bercakap.[1]

Maka dapat kita faham bahawa ulser bukanlah satu penyakit akan tetapi ianya merupakan tanda klinikal bagi suatu penyakit yang sedia ada.Kesan daripada ulser akan menyebabkan penghidapnya menghadapi kesukaran untuk bercakap dan sebagainya.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, rukun solat ada tiga belas (13). Rukun solat itu pula dibahagikan kepada 4 bahagian. Pertama ialah rukun qauli. Kedua ialah rukun fi’li. Ketiga ialah rukun qalbi iaitu niat dan akhir sekali adalah rukun maknawi iaitu tertib.

Kesemua ini adalah berdasarkan kepada hadis yang oleh Abu Hurairah ketika mana Rasulullah SAW menegur seorang lelaki yang menunaikan solat tidak cukup rukunnya. Lalu Nabi memerintahkan lelaki itu untuk solat semula seraya bersabda :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudnya :” Jika engkau telah berdiri untuk menunaikan solat maka bertakbirlah kemudian bacalah apa-apa daripada Al-Quran yang mudah bagi engkau kemudian rukuklah sehingga engkau tenang sebentar ketika rukuk. Kemudian bangun semua sehingga engkau betul-betul berdiri. Kemudian sujudlah sehingga engkau tenang sebentar ketika sujud. Kemudian bangun sehingga engkau tenang sebentar ketika duduk kemudian sujudlah sehingga engkau tenang sebentar ketika sujud. Kemudian lakukanlah perbuatan tersebut di dalam kesemua solat engkau.”

Riwayat Al-Bukhari (757 &759)

Begitu juga di dalam hadis yang lain daripada Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :

مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُ ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Maksudnya :” Kunci solat ialah bersuci, pengharamannya (daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan solat ialah) takbir dan penyelesainya ialah memberi salam.”

Riwayat Abu Daud (61)

Dan banyak hadis-hadis lain yang menyebut tentang rukun-rukun utama di dalam solat. Jika mana-mana rukun solat tersebut ditinggalkan atau tidak dilakukan maka terbatal solatnya dan wajib mengulanginya semula.

Di antara rukun yang utama di dalam solat ialah rukun qauli. Ianya dinamakan sebagai rukun qauli disebabkan rukun-rukun ini wajib untuk dibaca oleh orang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinganya sendiri. Rukun qauli ada 5 iaitu takbiratul ihram, bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan tasyahhud akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahhud akhir dan salam.

Kesemuanya rukun-rukun qauli ini perlu dibaca,disebutkan dan dilafazkan sehingga mengeluarkan suara sekadar bacaan yang boleh didengari oleh dirinya.Sheikh Sulaiman Al-Bujairimi menyebut di dalam hasyiahnya bahawa lafaz takbir perlu diperdengarkan oleh dirinya sendiri begitu juga dengan rukun qauli yang lain. (Hasyiah Al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj Al-Tullab, 1/189).

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap iaitu bacaan tersebut boleh didengari oleh dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengar.(Rujuk Raudhah Al-Tolibin Wa Umdah Al-Muftin, 1/242)

Beliau menyebut lagi di dalam Al-Majmu’ :

Bagi makmum maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya. Ini termasuklah bacaan Al-Fatihan, surah,tasbih, tasyahhud, salam,doa dan lain-lain. Tidak kiralah bacaan yang wajib mahupun sunat.Kesemuanya tidak dikira sehinggalah dia mendengar sendiri apa yang dibaca.”(Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/394)

Namun begitu ada beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang sukar untuk membaca rukun qauli disebabkan ada sakit atau uzur seperti contoh ulser lidah,sakit mulut, hipersalivasi[2] dan lain-lain lagi. Keadaan-keadaan sebegini menyukarkannya untuk bercakap apatah lagi membaca rukun qauli. Jika seseorang berada di dalam keadaan sebegini, maka tidak wajib untuknya memperdengarkan bacaan rukun qauli tersebut kepada dirinya.

Imam Al-Nawawi telah memberikan satu pandangan yang tuntas. Beliau menyebut jika lidah seseorang sakit sehingga susah untuk bercakap, maka dia hanya perlu mengerakkan lidahnya sekadar yang dia mampu. Jika dia sudah selepas itu maka dia tidak perlu lagi mengulangi solatnya. Ini kerana solat yang telah ditunaikan itu adalah solat yang sah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/394).

Ibnu Roslan menyebut bahawa orang yang sukar untuk bercakap disebabkan sakit maka dia hanya menggerakkan lidah sekadar yang mampu ketika mengucapkan takbiratul ihram. Begitu juga dengan bacaan yang lain seperti tasyahhud, dalam dan rukun-rukun yang lain. (Ghayah Al-Bayan Syarh Zubad Li Ibni Roslan, 1/83).

Perkara ini sesuai dengan firman Allah SWT :

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:” Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah Al-Taghabun : 16)

Begitu juga Nabi SAW bersabda :

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya :” Jika aku larang kalian dari buat sesuatu perkara maka jauhilah ia dan jika kau perintahkan sesuatu maka buatlah semampu kalian.”

Riwayat Al-Bukhari (6744)

Kesimpulannya, bagi mereka yang mempunyai kesakitan seperti ulser yang menyebabkan kesukaran untuk menyebut rukun qauli seperti biasa maka dia hanya perlu menggerakkan lidahnya semampu yang mungkin. Jika dia sembuh selepas itu maka tidak perlu untuk mengulangi solat tersebut.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk sentiasa memelihara solat walaupun ketika sakit. Wallahu’alam.

[1] Rujuk laman web My Health Kementerian Kesihatan Malaysia di pautan http://www.myhealth.gov.my/lepuh-a-ulser-mulut/

[2] Kami pernah menjelaskan hukum bacaan solat bagi orang yang menghidap hipersalivasi di dalam Irsyad Al-Fatwa siri ke 301. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3324-irsyad-al-fatwa-siri-ke-301-bacaan-dalam-solat-untuk-orang-yang-menghidapi-hipersalivasi