Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

muntah wudhu.JPG

 

Soalan:

Adakah muntah membatalkan wudhu? Saya pernah mendengar ada hadith yang menyuruh kita berwudhu setelah muntah.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut Imam al-Syafi’e, muntah tidak membatalkan wudhu, dan inilah pandangan yang sahih kerana tiada dalil yang menunjukkan bahawa muntah membatalkan wudhu. Pandangan ini juga dipegang oleh Imam Muhammad al-Baqir dan Imam Ja’far al-Sadiq. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 2/63-65 dan Nailul Autor, 1/237)

Namun disana terdapat pandangan daripada Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah yang menyatakan muntah membatalkan wudhu, dan Imam Ahmad mensyaratkan bahawa muntah yang membatalkan wudhu itu dalam jumlah yang banyak. Imam Abu Hanifah pula mensyaratkan muntah itu  berasal dari dalam perut, memenuhi mulut, dan keluar secara sekaligus. (Al-Mughni 1/247-250 dan Nailul Autor, 1/237)

Disana terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, dimana Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَصَابَهُ قَىْءٌ أَوْ رُعَافٌ أَوْ قَلَسٌ أَوْ مَذْىٌ فَلْيَنْصَرِفْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesiapa yang muntah, berdarah hidung, sendawa atau keluar air mazi di dalam solatnya, hendaklah dia berhenti dari solatnya lalu berwudhu.

Sunan Ibnu Majah (1221)

Begitu juga dengan riwayat daripada Abu Dardaa’ R.A:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَاءَ فَأَفْطَرَ فَتَوَضَّأَ ‏.‏ فَلَقِيتُ ثَوْبَانَ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ صَدَقَ أَنَا صَبَبْتُ لَهُ وَضُوءَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW muntah, dan membatalkan puasa Baginda lalu berwudhu. Kemudian aku (Abu Dardaa’) bertemu dengan Tsauban di Masjid Damsyik dan menyebut hal itu kepadanya, lalu Tsauban berkata “Benar, akulah yang membawakan air wudhu kepada Baginda”.

Sunan Tirmizi (87)

Namun menurut Syeikh Ahmad Syakir dalam komentar beliau terhadap kitab al-Raudhah al-Nadiyyah: Hadith-hadith yang diriwayatkan dalam isu batalnya wudhu disebabkan muntah kesemuanya adalah lemah, dan tidak boleh dijadikan hujjah. (Rujuk Al-Raudhah al-Nadiyyah 1/174)

Menurut Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah pula, wudhu setelah muntah adalah disunatkan, kerana terdapat riwayat daripada Nabi SAW dan para sahabat yang melakukan demikian, adapun yang menyatakan ia wajib, maka tiada dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan perkara tersebut. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa 21/242) Beliau turut menambah bahawa perbuatan Nabi SAW semata-mata tidak menunjukkan bahawa ianya wajib. (Rujuk Majmu’ al-Fatawa 25/222)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa muntah tidak membatalkan wudhu, sebagaimana yang tsabit dalam mazhab Syafi’e dan sekian ramai ulama yang lain. Namun disunatkan bagi mereka yang muntah untuk memperbaharui wudhu, sebagaimana yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah berdasarkan riwayat daripada para sahabat.

Adapun hadith yang dijadikan sandaran untuk mewajibkan wudhu bagi sesiapa yang muntah, ia telah dijelaskan oleh Syeikh Ahmad Syakir bahawa kesemuanya adalah tidak sahih, maka kembali kepada hukum asal bahawa wudhu tidak batal sehingga datangnya dalil yang sahih dan sarih (jelas) yang menyatakan sebaliknya.

Wallahu a’lam.