Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1395: HIKMAH DITETAPKAN MAS KAHWIN DALAM PERKAHWINAN

MAS KAHWIN DLM ISLAM.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Kenapa Islam menetapkan mas kahwin dalam perkahwinan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Surah al-Nisa’ (4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad RA katanya:

أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ امْرَأَةٌ، فَقَالَتْ: إِنَّهَا قَدْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا لِي فِي النِّسَاءِ مِنْ حَاجَةٍ»، فَقَالَ رَجُلٌ: زَوِّجْنِيهَا، قَالَ: «أَعْطِهَا ثَوْبًا»، قَالَ: لاَ أَجِدُ، قَالَ: «أَعْطِهَا وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ»،

Maksudnya: “Seorang perempuan menyerahkan dirinya untuk dikahwini oleh Nabi SAW kerana Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: Aku tidak berhajat kepada perempuan. Lalu seorang lelaki berkata: Kahwinkanlah aku dengan perempuan itu. Sabda Baginda: “Engkau berikan perempuan itu sehelai pakaian.” Dia menjawab: “Aku tidak memilikinya. Lalu Baginda bersabda lagi: “Engkau berikanlah dia walaupun sebentuk cincin besi.”

Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis ini menyebut: “Hadis ini menunjukkan bahawa mahar itu boleh sedikit (bernilai rendah) dan boleh juga banyak (bernilai tinggi) apabila kedua pasangan saling redha, kerana cincin dari besi menunjukkan nilai mahar yang murah. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’i dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan salaf dan khalaf.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 9/190)

Menjawab persoalan di atas, penetapan mas kahwin dalam perkahwinan mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Kami kemukakan di sini beberapa hikmah pensyariatan mas kahwin dalam Islam.

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dinyatakan: Mas kahwin disyariatkan bagi menzahirkan keinginan bakal suami yang benar-benar menggauli isterinya dengan pergaulan yang baik dan membina rumahtangga yang mulia. Begitu juga untuk membolehkan bakal pengantin perempuan menyediakan dirinya dengan keperluan perkahwinan, seperti pakaian dan perbelanjaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/586)

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi menyebut, Allah SWT memfardukan mas kahwin ke atas pihak lelaki untuk diberikan kepada pasangan wanitanya adalah sebagai bukti ikatan cinta antara kedua-duanya. Ia juga bertindak mengikat perhubungan kedua-dua pasangan dengan kasih sayang dan belas kasihan di bawah pimpinan pasangan lelaki tersebut. (Lihat Ahkam al-Usrah li Bait al-Muslim, hlm. 75)

Syeikh Mustafa al-Siba’ie menyebut, pemberian mas kahwin disyariatkan sebagai lambang kemuliaan dan penghargaan terhadap wanita melalui sesebuah perkahwinan. (Lihat al-Mar’ah Baina al Fiqh wa al-Qanun, hlm. 56)

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, mas kahwin bertujuan untuk menzahirkan keutamaan dan kepentingan sebuah perkahwinan di samping memuliakan kedudukan wanita. Penyediaan mas kahwin di dalam Islam juga dilihat sebagai ukuran tahap persediaan pasangan dalam menempuh alam perkahwinan yang lebih mencabar. Mas kahwin yang diberikan turut menjadi perlambangan kesucian dan keikhlasan pihak suami untuk menjalani kehidupan bersama-sama pasangan wanita yang dipilihnya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/239)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam menjelaskan hikmah disyariatkan mas kahwin menyebut, antaranya:

  • Penetapan mas kahwin adalah bagi menunjukkan kemuliaan kaum wanita. Hal ini menandakan bahawa merekalah yang dicari, bukan mencari, dan yang mencarinya ialah lelaki, bukan dia yang berusaha mencari lelaki. Lelaki itulah yang mencari, berusaha, dan mengeluarkan hartanya untuk mendapatkan wanita. Berbeza dengan bangsa-bangsa atau umat yang membebani kaum wanita untuk memberikan hartanya atau harta keluarganya untuk lelaki, sehingga si lelaki ingin mengahwininya.
  • Bagi menzahirkan cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya, sehingga pemberian harta itu sebagai nihlah daripadanya, iaitu sebagai pemberian, hadiah, dan hibah, bukan sebagai pembayar harga seseorang wanita sepertimana didakwa oleh sesetengah pihak. Kerana itu al-Qur'an menyatakan dengan bahasa yang jelas:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

Surah al-Nisa’ (4)

  • Mas kahwin juga menunjukkan sebagai lambang kesungguhan. Pernikahan bukanlah sesuatu yang dapat dipermainkan kaum lelaki dengan begitu saja, dengan mengatakan kepada seseorang wanita: "Saya nikahi engkau," sehingga menjadikannya terikat. Kemudian tidak lama setelah itu si wanita dilepaskan begitu saja, dan dia mencari lagi wanita lain untuk diperlakukan sama dengan yang pertama, dan seterusnya.... Pemberian harta ini menunjukkan bahawa lelaki bersungguh-sungguh dalam mendekati wanita, bersungguh-sungguh dalam membina hubungan dengannya.

Apabila dalam hubungan yang tahapnya masih di bawah hubungan perkahwinan pun manusia mahu memberikan cenderamata, perlindungan dan hadiah – sebagai tanda kesungguhan – maka dalam jalinan kehidupan kekeluargaan tentu lebih utama memberikannya. Kerana itu Islam mewajibkan kepada lelaki membayar separuh mahar jika dia menikah dengan seorang wanita tetapi kemudian menceraikannya sebelum melakukan hubungan suami-isteri. Hal ini sebagai penghormatan terhadap perjanjian yang berat dan perhubungan yang suci, juga sebagai petanda bahawa persetubuhan bukanlah tujuan paling utama – kerana dalam kes ini belum terjadi hubungan persetubuhan. Allah berfirman:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ

Maksudnya: Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya).

Surah al-Baqarah (237)

  • Hikmah disyariatkan mas kahwin juga kerana bahawa Islam meletakkan tanggungjawab keluarga di tangan lelaki (suami), kerana kemampuan fitriahnya dalam mengendalikan emosi (perasaan) lebih besar dibandingkan kaum wanita. Dia (lelaki) lebih mampu mengatur kehidupan bersama ini. Oleh kerana itu, wajarlah jika lelaki membayar kerana ia memperoleh hak seperti itu, dan di sisi lain ia akan lebih bertanggungjawab serta tidak semudah-mudahnya menghancurkan rumahtangga hanya kerana perkara remeh-temeh. Dialah yang mendanai pembangunan keluarga atau rumah tangga itu, maka apabila bangunan itu runtuh tentu akan menimpa dirinya. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 2/322)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, jelas bahawa penetapan mas kahwin mempunyai pelbagai hikmah yang tersendiri. Antaranya termasuklah bagi menzahirkan kemuliaan kaum wanita dan sebagai lambang kesucian dan ketinggian wanita dalam Islam. Begitu juga ia sebagai tanda kesungguhan lelaki dalam membina hubungan dengan seseorang wanita.

Kami berpendapat, mas kahwin akan membawa perasaan redha oleh banyak pihak termasuklah isteri dan keluarga masing-masing. Ini melambangkan perbezaan yang ketara antara akad nikah Islam dengan yang lain.

Semoga pencerahan yang dinyatakan itu menambahkan lagi ikatan kasih sayang, mawaddah dan rahmah antara pasangan suami isteri yang menatijahkan Baiti Jannati. Kami menutup dengan berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)