Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1547: HUKUM MENERIMA RASUAH BAGI MENAMPUNG KOS RAWATAN

 

RASUAH

Soalan :

Adakah dibolehkan mengambil rasuah untuk menampung kos rawatan atas alasan darurat ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil pengharaman rasuah daripada al-Quran mahupun al-Sunnah:

Allah SWT berfirman:

سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ

MaksudnyaMereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)

Surah al-Maidah (5:42)

Perkataan as-suht  menurut  bahasa ialah kemusnahan. Sementara, Ibn Mas’ud RA dan selainnya  memberi maksud perkataan  as-suht  sesuatu  yang haram adalah rasuah. [al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (6:182-183)]

Sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Maksudnya“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”

   Riwayat Abu Daud (3580), al-Tirmizi (1337)  dan Ibn Majah (2313)

Pelaku rasuah  berhak dilaknat jika mendapatkan sesuatu yang bukan haknya  selain bertujuan menyakiti Muslim yang lain. [Lihat al-Kabair :132].  Amalan rasuah termasuk dalam  dosa besar kerana   ancaman laknat. Hal ini berdasarkan kalam  Ibn al-Solah “Ada beberapa tanda yang menunjukkan suatu dosa termasuk daripada dosa besar iaitu; pelakunya menjadi fasiq dan dilaknat.”. Sementara,  Ibn Abd al-Salam menyebut: “Dosa besar ialah dosa yang disertakan dengan balasan buruk atau laknat.”

Bacaan lanjut berkaitan rasuah rujuk artikel kami pada ruangan

  • al-Kafi # 771: Apakah hukum menjadi perantaraan dalam perbuatan rasuah
  • al-Kafi # 1273: Rasuah sudah menjadi budaya rakyat Malaysia

Berbalik  kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat menerima tawaran  rasuah bagi menampung kos rawatan adalah ditegah  berdasarkan hadis yang menyatakan penerima rasuah turut dilaknat. Tambahan pula, keadaan mendapatkan sumber kewangan  bagi menampung kos rawatan tidak dikatakan pada situasi terdesak kerana masa  masih terdapat saluran lain untuk mendapatkan bantuan kewangan. Sehubungan itu, kami mengesyorkan untuk membuat permohonan  bantuan perubatan daripada pelbagai pihak mahupun agensi kerajaan seperti berikut:

  • Permohonan Bantuan Perubatan daripada Baitulmal
  • Permohonan Tabung Bantuan Perubatan  (TBP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
  • Permohonan bantuan kos rawatan daripada Jabatan Kebajikan masyarakat
  • Permohonan menampung pembiayaan kos perubatan daripada zakat  negeri 
  • Kutipan derma kilat daripada orang ramai dengan memaparkan surat pengesahan penyakit daripada hospital.

Penutup

Konklusinya, jalan pintas menerima  rasuah  bagi kegunaan kos rawatan  tidak dianggap darurat kerana masih terdapat saluran bantuan kewangan daripada pelbagai pihak.   Tidak dinafikan   rawatan  merupakan salah satu usaha  memelihara nyawa  namun pada masa yang sama mencari sumber kewangan yang halal turut dituntut oleh syarak.  Tambahan pula, ujian  ditimpa penyakit  merupakan salah satu wasilah  untuk penghapusan dosa . Hal ini bertepatan  hadis daripada Abu Sa'id Al Khudri dan Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلا وَصَبٍ وَلا هَمٍّ وَلا حُزْنٍ وَلا أَذًى وَلا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Maksudnya "Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.

Hadith riwayat al-Bukhari (5641), Muslim (2573)

Seseorang hamba yang bersabar ditimpa  musibah penyakit dan kesusahan akan diampuni dosanya. Oleh yang demikian,usaha merawat penyakit mestilah dengan cara yang diredhai  Allah SWT.  Mereka  yang ditimpa  kesempitan  kewangan bagi menampung kos rawatan perlu sedaya upaya  mencari alternatif   mendapatkan bantuan kewangan  yang patuh syariah berbanding menerima rasuah.  Tambahan pula, pelaku rasuah mendapat kemurkaan Allah serta dijauhkan daripada rahmatNya. Akhir sekali, marilah kita menghindarkan diri dari  gejala rasuah  yang boleh menghakis keberkatan rezeki dan berdoa agar Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik   dalam beragama