Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1961: ADAKAH TIDAK PULANG KE PANGKUAN SUAMI DIKIRA NUSYUZ

ADAKAH_TIDAK_PULANG_KE_PANGKUAN_SUAMI_DIKIRA_NUSYUZ.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai isteri saya yang tidak pulang ke pangkuan saya setelah keluar dari rumah akibat perselisihan faham. Saya sudah berkali-kali memujuk dan meminta agar dia pulang ke rumah. Namun, isteri saya berkeras untuk tidak pulang ke pangkuan saya. Adakah perbuatan ini dikira sebagai nusyuz?.

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Nusyuz seseorang perempuan ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya, sebagai contoh, seorang isteri tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya seperti keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada keuzuran yang membenarkannya.

Dalam hal ini,sebarang penetapan dan pengesahan nusyuz bagi seseorang isteri wajib melalui Mahkamah Syariah dan mengikut prosuder undang-undang keluarga yang betul. Hal ini kerana dibimbangi berlaku ketidakadilan dan sikap bermudah-mudah dalam mensabitkan nusyuz isteri tanpa asas yang kuat dan kukuh. Sebaiknya aduan dikemukakan kepada mahkamah berserta bukti kerana sifat mahkamah adalah muktamad dan menolak sebarang khilaf.

HURAIAN JAWAPAN                             

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Nusyuz dari sudut bahasa bermakna derhaka. Manakala nusyuz menurut definisi syarak ialah derhaka isteri kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Manakala nusyuz bagi lelaki ke atas wanita adalah meninggalkan tanggungjawabnya dan menyakiti pasangannya[1].

(Lihat: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/90)

Firman Allah SWT:

اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ

Maksudnya:Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”.

Surah al-Nisa’ (34)

Perbuatan nusyuz yang dilakukan isteri adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini seperti mana hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya:Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi”.

Riwayat Muslim (1436)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan nusyuz seorang isteri berlaku dalam pelbagai keadaan dan gambaran. Sebagai contoh, seorang isteri tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya seperti keluar rumah tanpa izin suaminya tanpa ada keuzuran seperti keluar berjumpa dengan qadi untuk menuntut keadilan dan mencari nafkah bagi membantu suami yang susah[2].

(Lihat: Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/92)

 

iii.       Hal ini selari dengan Akta Undang-undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan 59 (2):

Tertakluk kepada Hukum Syara' dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain:

(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;

(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;

(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syara'.

 

Kesimpulan

  1. Sebarang penetapan dan pengesahan nusyuz bagi seseorang isteri wajib melalui Mahkamah Syariah dan mengikut prosedur undang-undang yang betul.
  2. Diibimbangi berlaku ketidakadilan dan bermudah-mudahan dalam mensabitkan nusyuz isteri tanpa asas yang kuat dan kukuh.
  3. Sebaiknya aduan dikemukakan kepada mahkamah berserta bukti kerana sifat mahkamah adalah muktamad dan menolak sebarang khilaf. Kaedah Fiqh ada menyebut:

حكم الحاكم يرفع الخلاف

Maksudnya: “Keputusan hakim dapat menolak sebarang kekhilafan.”

 

Wallahu’alam

 

Rujukan:

[1] النشوز لغة: العصيان، ونشزت المرأة من زوجها عصته وامتنعت عليه ونشز الرجل من امرأته : تركها وجفاها، وأساء العشرة.

[2] يكون النشوز بصور كثيرة، وحالات متنوعة، بأن تخرج المرأة عن . زوجها، وعصيانها له كالخروج من المنزل بغير إذن الزوج، ولا عذر لها، كالخروج إلى القاضي لطلب الحق منه ، أو لاكتساب النفقة إذا أعسر بها الزوج،