Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #616 : DARAH YANG KELUAR DARI FARAJ AKIBAT PEMBEDAHAN

Soalan:

Assalamualaikum

Selepas perempuan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam rahim dan keluar dari kemaluannya seperti darah kotor, wajibkah dia sembahyang?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut mazhab al-Syafie, sewaktu darah itu keluar dan berterusan keluar maka hendaklah wanita itu menegah diri daripada solat dan perkara-perkara yang diharamkan sewaktu haid. Kemudian hendaklah dia menunggu dan menilik darah tersebut sehingga sehari semalam (24 jam). Jika darah itu berterusan keluar atau berada dalam keadaan fatrah, yakni jika dimasukkan kapas ke dalam kemaluan, nampak darah apabila dikeluarkan, selama 24 jam, secara berturut-turut atau terputus-putus, maka ia dihukum sebagai darah haid. Jika tidak cukup sehari dan semalam, maka ia bukan darah haid sebaliknya darah fasad. Jika darah fasad, maka hendaklah diganti semula solat fardu yang ditinggalkan pada waktu keluar darah tersebut.

Rujuk al-Iqna’ oleh Imam al-Khatib al-Syarbini (hal. 140)

Ini tertakluk juga dengan tempoh minimum suci 15 hari, yakni jika darah tersebut keluar semasa tempoh suci perempuan itu, maka ia dikira darah istihadah. Justeru, wajib bagi perempuan itu solat jua seperti cara orang yang kencing tidak lawas (Rujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-148: Wudhu’ Bagi Mereka Yang Kencing Tidak Lawas (Salisi Al-Baul) Dan Hukum Berimamkan Mereka; Al-Kafi #600: Hukum Darah Keluar Disebabkan Memakan Ubat)

Wallahua’lam.