Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

 

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin memohon penjelasan dari Dato’ Seri Mufti berkaitan “Dam haji”. Saya salah seorang jemaah yg InsyAllah akan menunaikan haji pada tahun ni dan dijangka akan berlepas ke Tanah Suci pada 2/8/2018 ini. Saya akan melaksanakan haji tamattu’. Dimana saya dimaklumkan oleh Tabung Haji untuk membuat pembayaran dam di kaunter Tabung Haji. Sekali dengan bayaran qurban. Sekarang ini timbul kecelaruan pula, dimana ada sesetengah ahli agama berpendapat membayar dam di Malaysia tidak boleh kerana kita masih belum membuat ibadat tersebut & bayaran hanya boleh dibuat di Arab Saudi. Mohon penjelasan Dato Seri’ Mufti, seandainya tidak boleh apa yg seharusnya kami buat untuk memperbaiki semula kesilapan ini sebelum kami berangkat ke sana. Bolehkah Dam itu dibayar di Malaysia? Jazakallah Dato’ Seri Mufti. 

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat. Kami menerima soalan berkenaan perlaksanaan Dam yang dibayar ketika berada di Malaysia sebelum menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci. Adakah ia diterima ataupun sebaliknya?

Pembayaran Dam adalah denda yang wajib dilunaskan oleh jemaah yang melakukan perkara-perkara yang melanggar syarat-syarat ketika menunaikan ibadah haji atau umrah. Mengikut kebiasaan, majoriti jemaah Haji Malaysia menunaikan Haji di Mekah dengan cara Tamattu’. Jemaah yang menunaikan haji dengan cara ini akan dikenakan Dam Tertib dan Takhyir kerana melakukan ibadah umrah dahulu disusuli ibadah Haji selepasnya. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

Bermaksud: “Barangsiapa yang ingin mengerjakan ibadah Umrah sebelum Haji wajiblah keatasnya menyembelih korban yang mudah untuk didapati”

(Al-Baqarah: 197)

Merujuk kepada persoalan di atas, pembayaran dam yang dilakukan di luar Tanah Haram seperti di Malaysia adalah dibolehkan dengan syarat, haiwan itu perlu disembelih dan dilaksanakan di dalam kawasan Tanah Haram bukan di tempat lain. Berikut adalah penerangan lanjut berkenaan isu ini:-

Jemaah Haji Malaysia yang melakukan ibadah Haji Tamattu’ kebanyakan daripada mereka akan mengunakan perkhidmatan Tabung Haji sebagai wakil kepada mereka untuk melakukan pembayaran dam. Menggunakan wakil sebagai penyelaras atau perlaksana terhadap Dam yang dikenakan adalah dibolehkan. Dalam kaedah fiqh cara ini dipanggil sebagai Wakalah. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang menyatakan pengunaan sistem wakalah ini:

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَى خَزَآئِنِ الأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Bermaksud: “Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); Sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan".

(Surah Yusuf: 55)

Ayat Al-Quran tersebut menerangkan bahawa agama Islam membenarkan untuk mewakili atau menyerahkan kepada orang lain sebagai wakil dan penganti untuk melakukan perkara yang tidak mampu dilakukannya.

Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji oleh Lembaga Tabung Haji telah membincangkan dan memutuskan bahawa jemaah haji Malaysia diharuskan dan digalakkan untuk membayar dam pada kadar yang telah ditentukan sebelum sampai di Tanah Haram. Justifikasinya adalah supaya memudahkan pengurusan Tabung Haji untuk membeli binatang ternakan yang akan disembelih di sana. Walaupun wang pembayaran dam diserahkan di Malaysia tetapi penyembelihan tetap dilakukan di Tanah Haram. Pada keadaan ini maka ia dibolehkan (Soal Jawab Haji dan Umrah yang diterbitkan oleh Bahagian Bimbingan Lembaga Tabung Haji, m/s 162). Ini berdalilkan dengan firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

لَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ إِلَى أَجَلٍ مُّسَمًّى ثُمَّ مَحِلُّهَا إِلَى الْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Bermaksud: “Bagi kamu pada binatang-binatang hadyu itu ada beberapa manfaat, sampai kepada waktu yang ditentukan, kemudian tempat wajib (serta akhir masa) menyembelihnya ialah setelah sampai ke Baitul Atiq (Baitullah)”.

(Surah Al-Hajj: 33)

Berdasarkan ayat ini, secara terang di jelaskan tidak boleh untuk memindahkan ke tempat yang lain. Bahkan wajib dilakukan di tempat yang dikhususkan. Maka pembayaran dam dengan maksud penyembelihan haiwan tetap wajib dilakukan di Mekah dan dibahagikan kepada golongan fakir miskin di Mekah. Adapun mendahulukan wang pembayaran dam ketika di Malaysia adalah harus bagi tujuan memudahkan urusan pihak Tabung Haji.

Wallahua’lam.