Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Soalan

Bilakah masa bagi melontar Jamratul Kubra dan apakah amalan-amalan sunat yang digalakkan?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Daripada Jabir R.Anhu berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ ‏ "‏ يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasaie (3062)

Berdasarkan kepada sunnah Baginda Nabi SAW, melontar tujuh biji anak batu di Jamratul Kubra merupakan amalan yang pertama dilaksanakan oleh jemaah haji pada 10 Zulhijjah di Mina. Perkara ini merupakan tahiyyat (penghormatan) bagi Mina. Masa yang sesuai untuk melakukan lontaran di Jamratul Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah dan berakhir apabila terbenam matahari (masuk waktu maghrib) pada 13 Zulhijjah. Namun begitu, waktu afdhal untuk melontar pada 10 Zulhijjah ialah apabila masuk waktu Dhuha sehingga gelincir matahari (masuk waktu Zohor) pada hari tersebut.

Antara amalan-amalan sunat yang digalakkan dibuat semasa melakukan lontaran Jamratul Kubra ialah:

  1. Berhenti bertalbiah apabila melakukan lontaran yang pertama dan digantikan dengan takbir.
  2. Bertakbir setiap kali melontar.
  • Melontar dengan menggunakan tangan kanan. Bagi lelaki, disunatkan mengangkat tangan dengan tinggi manakala bagi wanita, tidak disunatkan berbuat demikian.
  1. Anak batu yang digunakan untuk melontar hanyalah sebesar kacang kuda.
  2. Melontar dalam keadaan kiblat di sebelah kirinya dan Arafah di sebelah kanannya dan menghadap takungan Jamrah.
  3. Melontar secara berturutan (muwalat).
  • Melontar dengan batu yang tidak bernajis.

Kesimpulan

Jamratul Kubra merupakan termasuk di dalam perkara-perkara wajib haji. Walaupun Jamratul Kubra bukanlah satu rukun, namun Nabi SAW telah menunjukkan sunnahnya di dalam melaksanakan Jamratul Kubra ini. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya pelaksanaan Jamratul Kubra bagi mereka yang melaksanakan ibadah haji. Justeru, telah dinyatakan secara jelas beberapa amalan-amalan sunat yang boleh diamalkan oleh para jemaah haji ketika melaksanakan Jamratul Kubra agar ibadah tersebut lebih sempurna dan mengikut acuan yang dibuat oleh Nabi SAW.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai olehNya seterusnya hidup dibawah rahmatNya. Amin.