Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
×

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 76

 

SOALAN

Adakah sah haji seseorang yang menggunakan wang pampasan takaful?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Sebagai seorang muslim, Allah SWT mewajibkan ke atas setiap hamba-hambanya untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal dan baik serta sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan kepada mereka. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah.” (Surah al-Baqarah: 172)

 

Takaful ialah pelan perlindungan berdasarkan prinsip syariah. Setiap pemegang polisi akan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru’). Pemegang polisi akan menandatangani satu akad bagi membolehkan mereka menjadi peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain sekiranya salah seorang  peserta mengalami kerugian yang telah ditetapkan.

Merujuk kepada persoalan di atas, wang yang diperolehi daripada syarikat takaful tersebut adalah hasil daripada kumpulan wang tabarru’ daripada peserta-peserta. Justeru, wang tabarru’ tersebut adalah dibolehkan dan halal untuk dipergunakan dalam kehidupan seharian termasuklah dalam isu kos perbelanjaan untuk pelaksanaan ibadah haji.

Dalam kaedah fiqh ada dinyatakan:

 

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَة حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيم

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman”.

 

KESIMPULAN

Kami berpandangan bahawa, dibolehkan untuk menggunakan wang pampasan takaful dalam melaksanakan ibadah haji. Hal ini kerana wang pampasan takaful itu juga adalah termasuk daripada sumber yang halal. Justeru, penggunaanya di dalam melaksanakan ibadah haji turut dibolehkan.

Kami juga ingin menasihati kepada yang di luar sana supaya sentiasa menggunakan setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT di jalan yang baik. Gunalah dengan sebaik-sebaiknya dan janganlah membazir kerana Allah tidak menyukai orang yang membazir dengan setiap rezeki yang dikurniakan oleh-Nya.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam