Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-121 : NIKAH... MENCARI SAKINAH RAHMAH DAN MAWADDAH

Pada hari ini 07 Dis 2017 di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, saya lakarkan sedikit coretan dan pesanan petua kekeluargaan kepada bakal pengantin baru yang menjadi kelaziman kebanyakkan umat Islam di Negara ini mengadakan kenduri perkahwinan pada musim cuti persekolahan.

Kami juga mendapat banyak warkah undangan, tetapi maaf yang kami pinta kerana sebahagiannya tidak dapat kami penuhi. Coretan ini kami lakarkan khusus buat murid kami Ustaz Hashim dan pasangannya Fatimah.

Muridku, ketahuilah perkara pertama dalam perkahwinan iaitu pembetulan niat, iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Antara tujuan murni ini ialah :

  • Mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  • Mendapatkan zuriat solehah.
  • Memelihara maruah diri.
  • Mencari sakinah (ketenangan jiwa).
  • Memperoleh rahmah.
  • Menghasilkan mawaddah (cinta dan kasih sayang).

Inilah sebahagian cita-cita dan tujuan perkahwinan itu sendiri, benarlah firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.

(Surah Al-Rum: 21)

Demikianlah indahnya ungkapan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan, betapa perlunya kepada perkahwinan dan bagaimanakah terhasilnya perlindungan, kebahagiaan dan ketenteraman.

Muridku, akad nikah dengan lafaz ijab kabul mengesahkan ikatan perkahwinan dengan kalimah Allah SWT. Justeru terpikullah “amanah” kekeluargaan yang wajib dilaksanakan dengan jayanya. Suami mestilah bermusyawarah dengan baik terhadap pasangan  dan keluarga masing-masing.

Isteri pula amat perlu mentaati suaminya dengan penuh keikhlasan dengan cara itu sudah barang tentu rumahtangga akan menjadi harmoni dan melahirkan sakinah, mawaddah dan rahmah. Natijahnya, jadilah rumahtangga idaman iaitu “Baiti Jannati” (Rumahku Syurgaku).

 

Sifat Wanita Solehah

Isteri solehah sukar dicari kerana ramai wanita yang kecundang apabila disuruh mentaati suaminya. Hadis Rasulullah SAW menyebut ramai wanita masuk ke dalam neraka kerana menderhakai suaminya :

لَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى امْرَأَةٍ لَا تَشْكُرُ لِزَوْجِهَا وَهِيَ لَا تَسْتَغْنِي عَنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang kepada seorang wanita yang enggan berterima kasih kepada suaminya dan kepada wanita yang tidak merasa memerlukan suaminya”

Riwayat al-Nasa’ie (9086) dan al-Baihaqi (7/294)

Kesimpulannya, Allah SWT memberikan empat laluan mudah ke syurga bagi para wanita tetapi setiap syarat penuh dengan halangan dan rintangan. Wanita memerlukan mujahadah dan usaha berterusan untuk memperbaiki diri. Hanya iman yang kuat sahaja dapat membantu para muslimah mengawal nafsunya daripada terpedaya dengan pujukan syaitan.

Muridku, dalam perkahwinan bukan semuanya manis dan indah tetapi hakikat kehidupan penuh dengan ranjau dan duri. Inilah yang difirmankan Allah SWT di dalam Al-Quran:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.

(Surah Al-Mulk: 2)

Justeru itu, sebarang bentuk ombak, onak dan duri perlu diselesaikan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Ini akan melahirkan rumahku “Syurgaku”.

Pepatah orang tua, “Buang yang keruh, ambil yang jernih” amatlah baik dihayati dalam menuju ke gerbang kejayaan.

Muridku, bawalah berbincang dan syura  dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga. Ingatlah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ingatlah, syaitan amat suka jika rumahtangga bergoncang dan musnah. Inilah kejayaan mereka.

Oleh itu, jangan ikut nafsu dan jejak langkah syaitan. Sebaliknya, hendaklah iaitu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Muridku, bila ada perasaan tidak baik bertapak, cubalah tafakkur, dan renungkanlah sisi-sisi berikut:

  • Ingatlah kebaikan pasangan masing-masing.
  • Besarkan isu pengorbanan masing-masing.
  • Ingatlah detik terindah dan lafaz janji setia antara pasangan.
  • Buangkan sifat “awak salah” dan saya yang betul. Sebaliknya binalah sifat dan ungkapan bahasa, “maafkan saya”.

Insya Allah, api kemarahan dapat diredakan.

 

Suami Tidak Mampu

Muridku, dalam hal suami tidak mampu memberi kemewahan, seorang isteri perlu faham dan ingat, ajaran Islam secara khususnya meminta para isteri supaya menjadi wanita yang redha dan sentiasa bersyukur dengan pemberian suami. Sikap ini penting demi mempertahankan keharmonian  sebuah rumah tangga. Apakah harta dan wang ringgit lebih penting daripada memiliki keluarga yang bahagia? Janganlah kerana tidak memperolehi nikmat yang Allah SWT rezekikan. Sedangkan di luar sana, masih ramai orang yang belum bertemu jodoh ataupun sudah kematian suami.

Jadilah isteri yang setia bersama suami pada waktu senang atau susah. Ia menjamin ketenangan dan keharmonian rumah tangga , sekaligus memberi pengaruh besar bagi melahirkan rumah tangga bahagia.

Kesetiaan suami isteri diperlukan bagi menjamin rumah tangga yang bahagia dan stabil. Apabila rumah tangga dibina berasaskan hukum Islam di mana suami dan isteri tahu dan sedar tujuan perkahwinan, masing-masing akan berusaha mencapai tujuan itu. Dengan demikian, sikap curang dapat dielakkan.

 

Muridku, semua pasangan yang berkahwin bertekad untuk mendapat kebahagiaan dan rumah tangga yang bahagia, tetapi hakikat tidak ramai yang dapat merasakannya.

Dalam pengamatan kami, antara asbab bahagia itu:

  • Kejujuran dalam melayari bahtera kehidupan.
  • Setiap pasangan bertangungjawab dan peranan masing-masing.
  • Lebih besar dari itu, mereka hendaklah menzahirkan pengorbanan. Inilah kebahagiaan hakiki.
  • Sentiasa mengutamakan solat berjemaah dan solat malam, Inilah ikatan paling kukuh dan paling baik nuntuk pasangan. Bila kukuh “Hablun Mina Allah” maka ikatan suami isteri juga akan kukuh sama.
  • Mengambil ikhtibar dari pasangan lain, yang baik dijadikan teladan dan yang tidak baik dijadikan sempadan.
  • Perbanyakkan doa seperti yang diajar oleh Islam itu sendiri. Inilah senjata ampuh bagi umat Islam.

 

Didik Anak

Mendidik anak ibarat membuat kuih. Bagaimana acuannya, begitulah bentuk kuih yang terhasil. Ibu sebagai acuan, perlu menjaga akhlak kerana anak-anak akan terkesan dengan sikap dan tauladan yang dipamerkan. Ibu dan bapa sepatutnya menjadi role model atau contoh ikutan anak-anak yang paling berkesan. Maka tentulah menjadi role model perlu mengusahakan segala sifat baik yang dianjurkan oleh Islam dengan mengamalkan ilmu dan panduan daripada al-Quran dan Sunnah. Jika tidak, usaha pendidikan itu pasti gagal.

Silaplah jika kita sibuk melatih anak-anak menghafal abjad dan nombor tanpa berusaha menanamkan jiwa tauhid yang kukuh. Anak-anak yang dikenalkan kepada Allah SWT sejak kecil, akan tahu kepada siapa hendak bengantung dan bagaimana untuk meminta pertolongan daripada Allah SWT ketika menghadapi kesulitan hidup. Kesan jangka panjangnya, mereka tidak mudah menghadapi tekanan jiwa hingga berpaling kepada dadah atau hiburan yang melalaikan.

 

Muridku, akhirnya kami zahirkan rasa syukur dengan termeterai ikatan nikah yang sah ini, dan jadikan pesanan dari petua ini sebagai azimat. Hiduplah susah sama susah senang sama senang. Insha Allah sinar bahagia akan bertapuk dalam jiwa kamu. Kami ucapkan,

 

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ وَأَسْأَلُ اللهَ العَظِيمَ أَن يُدِيَم عَلَيْكُمَا السَعَادَةَ وَالْمَوَدَّةَ وَالرَّحْمَة وَالمحَبَّةَ

Maksudnya“Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu dan keatas kamu (dalam masa senang dan susah), serta semoga kamu berdua disatukan dalam kebaikan. Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung agar mengekalkan kebahagiaan, kasih sayang, rahmat dan mahabbah (cinta) kepada kamu berdua.”

Akhir sekali, kami menutup dengan doa,

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)