Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

serangan christchurch.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada hari Jumaat, 15 Mac 2019, ketika saya berada di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur untuk menyampaikan tazkirah dan khutbah Jumaat di Masjid al-Barakah, saya ditunjukkan insiden yang berlaku Di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand. Justeru, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan rasaan dukacita melalui khutbah dengan tajuk Imarah Masjid dan Insiden di Masjid al-Noor.

Kemudian pada sebelah malamnya pula, kami telah membuat kenyataan berkenaan peristiwa tersebut dengan penuh perasaan duka dan amat sedih serta simpati kepada keluarga yang terbabit dalam pembunuhan secara tragis. Memandangkan isu ini cukup besar dan ulasannya bersifat dunia oleh tokoh-tokoh dan pemimpin, maka kami cuba mengemukakan dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Insiden di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand: Kenyataan Kami.

Sehingga saat ini, jumlah yang terkorban seramai 51 mangsa dan yang terakhir dikenalpasti adalah warganegara Malaysia bernama Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

Pada hari Jumaat 22 Mac 2019, genap seminggu tragedi berdarah berlaku. Makanya, kami melihat pendekatan dan tindakan yang diambil oleh kerajaan New Zealand diketuai oleh Perdana Menterinya, Jacinda Ardern serta rakyatnya yang menunjukkan solidariti serta kebersamaan dengan kaum keluarga mangsa tragedi tersebut. Sikap mereka sewajarnya dipuji dan menjadi teladan dengan pelbagai tindakan dan pembaharuan undang-undang bagi mempertahankan keharmonian New Zealand tersebut.

Pada hari ini pula, Sabtu, 23 Mac 2019, sekitar jam 7.45 pagi, kami menyertai Solidarity for Peace bagi menunjukkan sokongan kepada umat Islam di New Zealand dan tragedi yang berlaku, di samping menzahirkan betapa kita inginkan sebuah kedamaian dan keamanan dalam melayari bahtera kehidupan. Kita menentang keganasan dan sifat melampau sehingga membawa aksi yang menatijahkan kehilangan nyawa dan kemalangan jiwa.

Semoga ia menatijahkan kebaikan kepada kita semua untuk sentiasa bermuhasabah di samping mengambil tindakan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh mencabar di samping merealisasikan Fiqh al-Ta’ayush dengan sebaik mungkin. Kami berdoa kepada Allah SWT semoga peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi terutamanya di dalam masjid dan rumah Allah. Amin.

 

New Zealand dan Populasi Penduduk

New Zealand adalah sebuah negara kepulauan di barat daya Lautan Pasifik mengandungi dua pulau besar yang utama (Pulau Utara dan Pulau Selatan) serta sejumlah pulau-pulau yang kecil. New Zealand terkenal dengan kedudukan geografinya yang terpencil, terletak kira-kira 2000 km (1250 batu) di tenggara Australia merentasi Laut Tasman. Kejiranannya yang terdekat adalah New Caledonia, Fiji dan Tonga.

Kebanyakan penduduknya terdiri daripada masyarakat berketurunan Eropah dan etnik peribumi Maori yang menjadi kaum minoriti terbesar. Masyarakat berketurunan Asia dan bukan Maori Polynesia juga menjadi kaum minoriti yang signifikan, terutamanya di bandar-bandar besar.[1] Sehingga Mac 2019, populasi penduduk New Zealand berjumlah 4,947,100.[2]

Christchurch pula adalah sebuah bandar yang terletak di pesisir timur Pulau Selatan di New Zealand dan merupakan bandar terbesar di pulau itu. Ia juga merupakan kawasan urban kedua terbesar di New Zealand selepas Auckland. Sehingga Jun 2010, jumlah populasi penduduk bandar ini adalah seramai kira-kira 376,700 orang.[3]

Komuniti Muslim merupakan kumpulan agama yang paling pantas berkembang di New Zealand dengan penganutnya bertambah sebanyak enam kali ganda antara tahun 1991 hingga 2006. Pada masa sekarang, orang-orang Islam mewakili 1% daripada keseluruhan populasi negara tersebut. Sebanyak 77% orang Islam di New Zealand dilahirkan di luar negara, iaitu India (29%) dan negara-negara Timur Tengah (21%) seperti negara-negara Arab, Iran dan Iraq.[4]

Menurut data pada tahun 2013 pula, populasi Muslim di New Zealand meningkat sebanyak 28% sejak tahun 2006 yang menyaksikan peningkatan dari 36,072 kepada 46,149. [5]

 

Kronologi Insiden

Berikut kami kemukakan kronologi insiden tersebut:

  • Dalam media sosial sebelum serangan, akaun Twitter dipercayai milik salah seorang penyerang menyiarkan pautan manifesto setebal 87 muka surat yang penuh dengan maksud anti-pendatang, anti-Muslim dan penjelasan mengenai serangan. [6]
  • Penembakan pertama adalah berlangsung di Masjid al-Noor, di pusat bandar Christchurch.
  • Seorang pemuda bersenjata menyiarkan secara langsung aksi penembakan melalui Facebook dengan alat kamera yang dipasang di kepala.
  • Tayangan menunjukkan pemuda tersebut menembak pemuda, perempuan, dan anak-anak di dalam masjid dari jarak dekat menggunakan senjata api semi-automatik.
  • Tayangan tersebut dimulakan dari kawasan industri di Leslie Hills Drive, sebelah barat Masjid Al Noor.
  • Kelihatan dia memandu sebuah kereta dari Mandeville Street dan Blenheim Road menuju pusat kota kemudian membelok ke utara menuju Deans Avenue.
  • Beberapa minit kemudian dia memarkir kereta di sebelah masjid dan menempatkan kenderaan menghadap Deans Avenue.
  • Suspek kemudian keluar dari kereta, memilih senjata dari dalam bagasi, dan berjalan menuju dewan solat masjid dan melepaskan tembakan ke arah jemaah. Ia terjadi sekitar pukul 1.40 PM waktu tempatan.
  • Tembakan berlaku selepas azan pertama solat Jumaat, iaitu ketika orang ramai mula memasuki masjid al-Noor.
  • Enam minit kemudian, dia memandu melintasi Deans Avenue, menuju Botanic Gardens ke Bealey Avenue. Di sinilah tayangan kamera berhenti.
  • Serangan berdarah di Masjid al Noor, Christchurch tersebut telah distrim secara langsung selama 17 minit oleh penyerang.
  • Serangan kedua berlangsung beberapa saat kemudian di Masjid Linwood, lima kilometer dari Masjid Al Noor dan sebelah timur dari pusat kota.

 

Sejarah Pembunuhan di Masjid pada Zaman Moden

Kami nyatakan di sini sejarah pembunuhan di masjid pada zaman moden ini untuk kita mengambil iktibar supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang. Antaranya:

  • Pembunuhan beramai-ramai Masjid Kattnakudy

Pembunuhan beramai-ramai Masjid Kattnakudy merupakan pembunuhan lebih 147 umat Islam lelaki dan remaja lelaki dalam masjid di Kattnakudy oleh kader-kader yang dilatih Harimau Pembebasan Tamil Eelam pada 4 Ogos 1990. Sekitar 30 pemberontak Tamil menyerbu empat masjid serentak di bandar Kattnakudy, di mana lebih 300 orang sedang sujud ketika solat Isyak.[7]

  • Tragedi Masjid Ibrahimi, Hebron

Peristiwa ini berlaku pada 25 Februari 1994. Tragedi ini akan terus diingati dengan Israel yang hanya membiarkan golongan ekstremis Yahudi melakukan apa sahaja yang dapat mengukuhkan kuasa Israel di Tebing Barat.

Baruch Kopel Goldstein adalah seorang doktor perubatan lulusan Universiti Yeshiva di New York, USA. Beliau juga merupakan ahli kepada Jewish Defense League (JDL), kumpulan ekstremis Yahudi yang berpangkalan di New York. Kumpulan ini memperjuangkan nasionalisme Israel melalui pendekatan yang dianggap rasis, melampau, dan tidak bimbang untuk mengambil jalan keganasan.

Goldstein nekad untuk memanfaatkan Perayaan Hari Purim untuk mengganas dan membunuh umat Islam Palestin di Hebron pada pagi 25 April 1994 ketika mereka sedang menunaikan solat Subuh. Goldstein telah memasuki perkarangan masjid yang dikawal oleh lebih 10 pegawai ‘tanpa mereka sedari’ dan melepaskan tembakan rambang ke arah jemaah solat yang membunuh 29 orang (5 daripadanya kanak-kanak) dan mencederakan 125 orang yang lain. Goldstein mati ditempatkan kejadian; dipukul sampai mati oleh mereka yang cuba menghentikan tindakan gila beliau.

Tindakan Goldstein menyebabkan rakyat Islam di Hebron dan beberapa lagi bandar di Palestin terutamanya Gaza bangkit membuat bantahan dan menuntut keadilan. Namun, bantahan mereka berakhir dengan 44 lagi kematian dan 800 kecederaan apabila IDF bertindak keras menghentikan bantahan; lebih buruk daripada pembunuhan oleh Goldstein.[8]

  • Tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan, Narathiwat

Tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan Narathiwat berlaku pada Isnin malam, 8 Jun 2009 jam 8.00 malam. 10 jemaah masjid terbunuh ketika menunaikan solat Isyak manakala seorang lagi di hospital manakala 12 lagi yang cedera masih dirawat di hospital. Masjid kecil itu terletak di Kampung Air Tempayan, daerah Cha-airong, Narathiwat.

Terdapat 24 orang dalam Masjid Al-Furqan. Kebanyakannya orang tua yang menunaikan solat Isya dengan disertai oleh sebuah kumpulan tabligh dari kampung berhampiran. Tiba-tiba ada dua orang bertopeng yang masuk dari jalan belakang berhampiran kebun getah dan menembak rambang. Seramai 22 orang terkena tembakan.[9]

  • Kematian Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti

Syeikh al-Buti menghadapi banyak tribulasi termasuk kematiannya yang penuh tragis. Beliau telah dibunuh pada hari Khamis malam Jumaat, 21 mac 2013 bersamaan dengan 19 Jamadil Awal 1434 Hijrah ketika sedang memberi pengajian agama di Masjid al-Iman, Damsyiq. Beliau terbunuh melalui letupan bom yang telah membawa kepada kematian seramai 42 orang termasuk cucunya dan 84 yang lain cedera.

 

Kenyataan Pemimpin Negara

Kami kemukakan di sini kenyataan media pemimpin negara:

  • Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda menzahirkan kesedihan ke atas berita menyedihkan yang turut membabitkan tiga rakyat Malaysia.

“Baginda mengutuk tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan kepada masyarakat yang tidak berdosa dan berharap mereka (penembak) terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Doa kami bersama mereka yang tercedera dan mereka yang kehilangan orang tersayang.”[10]

  • YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia

Beliau menyatakan rasa kesal dengan tercetusnya tragedi tembakan secara rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand ketika solat Jumaat. Menurut beliau dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman Facebook, beliau berharap kerajaan New Zealand akan menangkap pengganas yang terlibat dalam kejadian itu dan melakukan perkara yang perlu di bawah undang-undang negara berkenaan.

"Kerajaan akan melakukan apa sahaja tindakan bagi memastikan rakyat Malaysia di sana selamat. Doa dan ingatan kami bersama-sama dengan mangsa dan keluarga insiden tembakan itu."[11]

  • Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern

Beliau melabelkan lelaki bersenjata yang melakukan serangan di dua buah masjid di Christchurch sebagai pengganas. NZ Herald melaporkan, Arden menyampaikan mesej yang tegas dari New Zealand kepada lelaki bersenjata yang terlibat dalam serangan terburuk tersebut bahawa mereka tiada tempat di negara tersebut.

“Kamu mungkin telah memilih kami, kami menolak dan mengutuk kamu.

“Mereka ini saya sifatkan mempunyai pemikiran ekstremis yang sama sekali tidak mempunyai tempat di New Zealand dan sebenarnya tidak mempunyai tempat di dunia.”[12]

Semasa bercakap dalam ucapan pembukaan sesi Parlimen pada 20 Mac 2019, beliau tegas menyatakan bahawa pengganas terbabit akan berdepan hukuman setimpal susulan jenayah keganasan yang dilakukannya.

"Dia mempunyai banyak motif di sebalik serangan keganasan tersebut, antaranya meraih publisiti. Atas sebab itulah, anda tidak akan mendengar saya menyebut namanya.

"Dia seorang pengganas, penjenayah dan ekstremis dan saya tidak akan sesekali menyebut namanya."[13]

  • Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan

Beliau menyifatkan serangan pengganas itu adalah contoh "Islamophobia dan penindasan terhadap kaum yang semakin meningkat."

"Bagi pihak negara saya, saya mengucapkan takziah kepada dunia Islam dan rakyat di New Zealand, yang telah disasarkan oleh perbuatan yang agak menyedihkan ini."

  • Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan

Beliau sangat terkejut dengan tragedi tembakan rambang itu. Dalam reaksi yang dikongsi di laman Twitter, beliau berkata, tindakan keganasan itu tidak mempunyai agama.

“Doa mengiringi mangsa dan keluarga mereka.”

  • Perdana Menteri Australia, Scott Morrison

“Saya terkejut dengan laporan yang saya ikuti berhubung tembakan serius di Christchurch, New Zealand. Situasi masih berlaku tetapi ingatan dan doa kami bersama sepupu-sepupu kami warga New Zealand.”

 

Kenyataan Ulama dan Badan Berautoriti

Seterusnya kami kemukakan di sini kenyataan ulama’ dan badan berautoriti dunia:

  • Al-Azhar al-Syarif melalui Syeikh al-Azhar, Prof. Dr Muhammad Ahmad Tayyib

"Al-Azhar memberi amaran bahawa serangan seperti ini akan menatijahkan ucapan-ucapan kebencian (hate speech) serta permusuhan antara orang asing (foreigners) dan juga tersebarnya islamophobia di beberapa buah negara Eropah. Termasuklah negara yang terkenal dengan budaya taáyush antara penduduknya.

Al-Azhar al-Syarif menegaskan dengan setegasnya bahawa ini merupakan serangan pengganas yang telah mencemarkan kehormatan rumah Allah serta menumpahkan darah-darah yang tidak berdosa.

Wajib untuk kita membunyikan penggera amaran untuk tidak bermudah-mudahan dengan pelbagai aliran pemikiran, kumpulan-kumpulan fanatik yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini. Ini juga termasuk keperluan untuk ditambah usaha-usaha dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan toleransi serta kesepakatan yang positif sesama masyarakat yang satu tanpa kita memandang kepada agama-agama dan budaya masing-masing.”

  • Syeikh Abdullah bin Bayyah, Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu

Beliau menegaskan: Sesungguhnya kita menentang sekeras-kerasnya penumpahan darah yang ganas, yang sengaja ditujukan kepada orang yang solat di dua buah masjid, di Christchurch, New Zealand.

Kami berdoa agar mereka yang mati syahid diberi keampunan dan yang cedera diberi kesembuhan serta kaum keluarga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan. Kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya perbuatan keganasan perkauman dan jenayah kejam ini yang telah dilakukan oleh sekelompok manusia yang telah membuang pakaian keinsanan serta nilai kasih sayang.

Kami bersama-sama menyokong kerajaan New Zealand, penduduknya termasuk dari kalangan orang Islam untuk kita menyeru dan mengajak saudara-saudara kita orang Islam untuk bersabar dan menunjukkan toleransi kerana mengikut pedoman Rabbani:

أُولَـٰئِكَ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُم مَّرَّتَيْنِ بِمَا صَبَرُوا وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ

Maksudnya: Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan.

Surah al-Qasas (54)

ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ السَّيِّئَةَ ۚ نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَصِفُونَ

Maksudnya: Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka katakan itu.

Surah al-Mukminun (96)

Maka ketika ini, kesabaran adalah sepuncak-puncak kebaikan dan kesudahan. Kami akhiri dengan kalimah “إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”.

  • Syeikh Abdul Rahman al-Sudais

Syeikh Abd al-Rahman al-Sudais, Pengerusi Umum Masjidil Haram dan Masjid Nabawi merangkap Imam dan Khatib Masjidil Haram, Mekah, yang mewakili imam-imam dan khatib-khatib di Masjidil Haram dan Masjid al-Nabawi berkata dengan tegas bahawa mereka menentang sekeras-kerasnya tindakan pelampau yang menghalakan serangan kepada dua buah masjid di New Zealand. Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai jenayah, perlakuan kerosakan dan permusuhan serta melampau/ekstrem sedangkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ

Maksudnya: dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak).

Surah al-An’am (151)

Allah SWT juga berfirman:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Surah al-Nisa’ (93)

Sesungguhnya Syariat Islam yang suci datang untuk memelihara darah dan nyawa. Mereka juga memberi amaran daripada mengikut cara-cara yang sesat seperti ini, sebaliknya hendaklah mentahqiqkan keamanan dalam apa jua sekalipun terutama terhadap nyawa dan tubuh badan.[14]

 

Tindakan Ketika Menerima Berita Yang Sedih

Pertamanya, suka kami nyatakan apabila kita menerima berita yang sedih seperti insiden di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini, apabila dipastikan kesahihannya, maka kita mulakan seperti berikut:

  • Lafaz “إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ” untuk menyedarkan hakikat diri kita adalah milik Allah dan kita pasti kembali kepada-Nya.
  • Mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dan yang tercedera serta mendoakan kebaikan untuk mereka.
  • Menghiasi diri dengan kesabaran dan menasihati rakan-rakan kita untuk bersabar dengan mengikut nas Ilahi:

وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr: 3)

Imam al-Tabari berkata: “Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Lihat Jamiʿ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan, 24/590)

  • Mendoakan kepada yang gugur syahid agar diberi keampunan oleh Allah dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Begitu juga, mendoakan kepada mangsa keganasan yang cedera agar diberi kesembuhan di samping mendoakan afiyat kepada mereka yang diuji.

اَللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

  • Mengelak seupaya mungkin daripada tindakan yang tidak menguntungkan Islam dan umat Islam. Syabas kepada masyarakat Islam New Zealand yang menzahirkan imej Islam dengan dihiasi kesabaran dan tidak mengambil tindakan berdasarkan emosi. Sikap seperti ini mempamerkan ketinggian akhlak dan keluhuran budi.
  • Jangan menyiarkan gambar video rakaman peristiwa kejam dan tragis tersebut kerana pelbagai persepsi yang tidak baik boleh berlaku. Sementelahan lagi, sifat kekejaman tidak perlu dipromosi kepada khalayak.
  • Dalam kes seperti ini, sewajarnya kita memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan New Zealand yang bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan tindakan polis yang pantas menunjukkan mereka amat runsing dan tidak selesa dengan tindakan pengganas tersebut.

 

Sikap Terpuji Keluarga Mangsa

Di sebalik tragedi hitam ini, kita dapati banyak sisi-sisi positif manusiawi yang dizahirkan oleh pelbagai pihak. Contoh jelas yang kita dapati ialah sikap keluarga mangsa yang berlapang dada dan sanggup memaafkan pengganas seperti yang dilaporkan beberapa akhbar.[15] Ini merupakan salah satu bukti jelas bahawa Islam merupakan agama tasamuh yang penuh dengan sifat rahmat, toleransi dan kemaafan.

Begitu juga, apabila ditemuramah kepada keluarga mangsa, jelas terbayang sifat kasih sayang dan kemaafan sentiasa meniti di bibir mulut mereka. Inilah sebuah nilai akhlak yang unggul dan tinggi.

 

Sikap Terpuji Pemerintah dan Rakyat New Zealand

Tindakan pantas dan sikap empati yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern juga mendapat pujian seluruh dunia. Beliau tanpa sikap apologetik telah menamakan tragedi ini sebagai satu tindakan pengganas (terrorist act) dan menyelar kenyataan Senator Fraser Anning sebagai satu yang memalukan. Beliau telah melawat komuniti Muslim dan imigran di New Zealand sambil memakai hijab dan berpakaian serba hitam sebagai tanda hormat dan sokongan moral kepada mereka. Beliau juga menyeru agar seluruh negara bersatu dalam menghadapi tragedi ini, selain berjanji untuk berusaha ke arah mengetatkan undang-undang pemilikan senjata yang merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada tragedi ini. [16]

Pada hari Jumaat 22 Mac 2019, seminggu selepas kejadian, beliau telah menyertai upacara sembahyang Jumaat oleh umat Islam dan merasa sebak ketika mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Beliau juga telah mengisytiharkan New Zealand berkabung atas tragedi tersebut.

Saya sempat melihat seorang wanita New Zealand yang bukan Islam ketika ditanya berkenaan pemakaian bertudungnya dalam majlis solat Jumaat, 22 Mac 2019 lalu beliau menjawab: “Saya mahu bersama mereka yang melaksanakan ibadat dan jika musuh datang untuk menembak mereka, maka mereka tidak lagi mengenali antara Muslim dan bukan Muslim, jadi saya dapat mempertahankan mereka.” Inilah ketulusan hati mereka yang tidak suka sifat ekstrem, ganas, brutal dan samseng. Tiada dalam kamus kehidupan masyarakat yang hidup harmoni suka akan tindakan yang menggambarkan Islamofobia serta memperlihatkan kebencian terhadap umat Islam.

Di sini jelas menunjukkan bahawa tindakan New Zealand yang terus menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap mangsa serangan pengganas di Christchurch melambangkan komunitinya berakhlak tinggi walaupun ia bukan sebuah negara Islam.

Kesatuan rakyat New Zealand juga sangat menyentuh hati. Ada warga non-Muslim yang datang ke masjid-masjid dan pusat Islam berdekatan dengan mereka untuk memberi sokongan moral, ada yang membawa kalungan bunga sebagai tanda takziah, bahkan ada yang secara sukarela datang untuk mengawal keselamatan orang-orang Islam yang sedang solat berjemaah di dalam masjid.

Hal-hal ini menjadi bukti bahawa dalam setiap ujian yang Allah SWT timpakan kepada hamba-Nya, pasti Allah SWT akan bukakan pintu-pintu bantuan dan rahmat. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran itu akan disertai dengan kemudahan.

Surah al-Syarh (6)

Pada hari Sabtu, 23 Mac 2019, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage, ketika menyampaikan ucapan di Dataran Merdeka antara lain menyatakan pihaknya berterima kasih kepada Malaysia yang menganjurkan program Solidariti Kedamaian bagi memperingati mangsa-mangsa yang terlibat selain menolak keganasan.

“Lapan hari lalu, New Zealand menghadapi tempoh yang mengerikan dan serangan tidak berhati perut daripada pengganas. New Zealand berasa sangat sedih. Seluruh New Zealand berasa sedih. Terima kasih kerana berada di sini untuk solidariti untuk keamanan.

“Di New Zealand, terdapat banyak perhimpunan awam seperti ini (Solidariti Keamanan) dan banyak ratapan. Semalam, merupakan refleksi seluruh negara apabila seluruh rakyat diminta untuk berdoa. A minute of silence (bertafakur).[17]

 

Khutbah Jumaat di Pekarangan Masjid al-Noor

Kerajaan New Zealand telah menyiarkan seruan azan secara langsung di saluran televisyen dan radio nasional negara itu pada Jumaat, 22 Mac 2019. Ini merupakan titik sejarah yang amat luar biasa bagi sebuah negara seperti New Zealand. Hadirin yang menghadiri upacara memperingati mangsa serangan pengganas, yang diadakan sebelum solat Jumaat di Hagley Park, di sini, memberi penghormatan dengan berdiam diri sepanjang azan dilaungkan Imam Lateef.

Khutbah disampaikan di pekarangan Hegley Park, Christchurch sebagai khutbah yang pertama selepas peristiwa berdarah. Ia disampaikan oleh Imam Gamal Fouda yang merupakan Imam Masjid al-Noor. Khatib telah menyatakan penghargaan komuniti Islam kepada beliau dan pada ketika itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern dilihat cuba menahan sebak dan terharu.

"Kepada Perdana Menteri kami, terima kasih. Terima kasih atas kepimpinan anda yang kini dijadikan teladan buat pemimpin dunia lain. Kepada warga New Zealand, terima kasih. Terima kasih atas tangisan, terima kasih atas (persembahan) haka, terima kasih atas pemberian bunga, terima kasih atas cinta dan kasih sayang anda." jelas khutbah Imam Gamal.

[18]

Kenyataan khatib dalam khutbah jelas menunjukkan toleransi Islam dan sikap penentangan kepada keganasan. Antara kenyataan lain beliau ialah:

  • "Di tempat saya berdiri ini saya dapat lihat cinta dan kasih sayang di mata jutaan warga New Zealand dan manusia dari pelbagai negara yang hatinya penuh dengan kasih sayang."
  • "Pengganas cuba untuk memecahkan kita sebagai sebuah negara dengan idealogi jahatnya tetapi kita tunjukkan bahawa New Zealand tidak boleh dipecahkan."
  • "Kita di sini, masih hidup dan berikrar tidak akan membenarkan sesiapa memecahbelahkan kita."
  • "Darah mereka sudah menyemai benih harapan dan menonjolkan keindahan Islam."
  • "Mereka bukan sahaja syahid untuk Islam tetapi juga syahid untuk New Zealand."[19]

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Bagi Wilayah Persekutuan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Bil. 2/2019 pada 20 Mac 2019 telah bersetuju dengan usul mengutuk sekeras-kerasnya serangan di dua buah masjid di Christchurch yang mengorbankan sehingga kini mencecah 51 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia.

Allah SWT berfirman:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Maksudnya: Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

Surah al-Buruj (8)

Mereka tidak menyeksa orang beriman hanya kerana sesuatu yang tidak boleh diseksa, bahawa menjadi hak tiap-tiap orang untuk melakukannya dan mengajak orang lain mengikutinya, iaitu beriman kepada Allah SWT. Allah menyaksikan perbuatan orang kafir ke atas orang Mukmin dan Dia akan membalas seluruh perbuatan mereka. Penerangan ini mententeramkan hati orang-orang Mukmin dan memberi ancaman kepada orang-orang kafir yang berbuat makar dan bermaharalela terhadap orang Islam bahawa cukuplah Allah SWT sebagai saksi dan pelindung. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 10/300-301; Tafsir al-Munir, 15/459 dan Tafsir al-Maraghi, 15/7516)

Sehingga artikel ini ditulis, kami mendapat perkhabaran kira-kira 51 orang terbunuh dalam serangan berdarah di Masjid al-Noor, Christchurch, New Zealand manakala ramai dilaporkan mengalami cedera parah. Ini merupakan suatu perkara yang amat malang.

Peristiwa seperti ini adalah peristiwa yang cukup tragis, yang bagi kami adalah satu peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, mereka yang berada dalam masjid, kita mengharapkan mendapat syahid daripada Allah SWT. Kita mengharapkan mereka diganjarkan pahala kerana semangat mereka datang ke masjid, mengimarahkannya, berada dalam masjid dan ingin melaksanakan solat Jumaat secara berjemaah.Namun apa yang berlaku, kematian menanti mereka.

Kami menyokong kenyataan tegas Syeikhul Azhar dan ulamanya yang berkata: Al-Azhar al-Syarif menegaskan dengan setegasnya bahawa ini merupakan serangan pengganas yang telah mencemarkan kehormatan rumah Allah serta menumpahkan darah-darah yang tidak berdosa.

Wajib untuk kita membunyikan penggera amaran untuk tidak bermudah-mudahan dengan pelbagai aliran pemikiran, kumpulan-kumpulan fanatik yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk seperti ini. Ini juga termasuk keperluan untuk ditambah usaha-usaha dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan toleransi serta kesepakatan yang positif sesama masyarakat yang satu tanpa kita memandang kepada agama-agama dan budaya masing-masing.

Yakin dan percayalah bahawa tindakan seperti itu adalah satu tindakan yang benar-benar menggusarkan. Ia seolah-olah menyimbah minyak kepada api bagi siri-siri penindasan terhadap umat Islam. Umat Islam sudah tentu akan merasa sedih yang amat sangat di atas tindakan oleh beberapa individu yang tidak bertanggungjawab ini. Semoga Allah SWT akan membalas tindakan mereka.

Kita merasa amat kesal serta merasa amat dukacita di atas apa yang berlaku. Saya percaya mereka yang terkorban ini termasuk dalam golongan syuhada’. Walaupun mereka mati, tetapi hakikatnya mereka hidup. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Surah al-Baqarah (154)

Sementelahan pula, mereka menghadap Allah dalam keadaan berwuduk, dalam keadaan di dalam rumah Allah, pada hari Jumaat yang penuh dengan keberkatan – kesemuanya itu terangkum kebaikan demi kebaikan, mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diganjarkan balasan yang sebaiknya di sisi Allah SWT, ditempatkan mereka sebagaimana yang disebut:

فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا

Maksudnya: Maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Surah al-Nisa’ (69)

Marilah kita berdoa kepada Allah supaya api-api fitnah seperti ini dapat dipadamkan. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh dengan agamanya, menginsafi dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Maka insha Allah, sinar kebahagiaan ummah dalam keadaan perpaduan yang utuh, dalam keadaan kesatuan yang cukup kuat akan menatijahkan kebaikan dan kebahagiaan kepada umat ini.

Firman Allah SWT:

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Maksudnya: Dan orang-orang itupun merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Surah Ali Imran (54)

Kami nyatakan di sini bagaimana ketegasan firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّـهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ ۚ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ

Maksudnya: Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

Surah Ibrahim (42)

Semoga kabus hitam berarak lalu dan cahaya kebahagiaan dan kedamaian menanti kita. Amin.

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
23 Mac 2019 bersamaan 11 Rejab 1440 Hijrah

 

Nota Hujung:

[1] https://ms.wikipedia.org/wiki/New_Zealand

[2] https://en.wikipedia.org/wiki/New_Zealand#Demography

[3] https://ms.wikipedia.org/wiki/Christchurch

[4] Lihat "Muslims in New Zealand". Centre for Applied Cross-cultural Research. [https://www.victoria.ac.nz/cacr/research/identity/muslims-in-new-zealand]

[5] Lihat "Kiwi converts among New Zealand's Muslim community". stuff.co.nz. [https://www.stuff.co.nz/life-style/life/73973867/null]

[6] http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ringkasan-terkini-serangan-christchurch-1.862153

[7] https://ms.wikipedia.org/wiki/Pembunuhan_beramai-ramai_Masjid_Kattnakudy

[8] http://www.aqsasyarif.org.my/v3/index.php/rujukan/artikel-palestin/2482-hari-ini-dalam-sejarah-25-februari-1994-tragedi-masjid-ibrahimi-hebron

[9] https://ms.wikipedia.org/wiki/Tragedi_pembunuhan_di_Masjid_Al-Furqan_,_Narathiwat

[10] Lihat portal Berita Harian, Agong kutuk serangan kejam terhadap umat Islam di New Zealand, 16 Mac 2019. [https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/541615/agong-kutuk-serangan-kejam-terhadap-umat-islam-di-new-zealand]

[11] http://www.astroawani.com/berita-dunia/tragedi-solat-jumaat-tun-mahathir-pemimpin-dunia-kutuk-tembakan-rambang-di-masjid-201248

[12] Lihat portal Utusan Online, New Zealand tolak pengganas - Jacinda Ardern, 15 Mac 2019. [http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/new-zealand-tolak-pengganas-jacinda-ardern-1.861960]

[13] Lihat Sinar Harian, PM NZ jijik sebut nama pengganas Christchurch, 19 Mac 2019. [https://www.sinarharian.com.my/article/18874/GLOBAL/PM-NZ-jijik-sebut-nama-pengganas-Christchurch]

[14] http://www.al-jazirahonline.com/news/2019/20190315/147450

[15] Rujuk https://www.channelnewsasia.com/news/world/christchurch-shootings-terror-attack-gunman-victim-11357316 dan https://www.bbc.com/news/av/world-asia-47602781/christchurch-shooting-survivor-says-he-forgives-his-wife-s-killer

[16] Rujuk https://www.washingtonpost.com/world/2019/03/18/new-zealands-prime-minister-wins-worldwide-praise-her-response-mosque-shootings/?noredirect=on&utm_term=.a407a80515be

[17] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/new-zealand-bersimpati-mohon-maaf-kepada-malaysia-1.867858

[18] http://www.astroawani.com/berita-dunia/jacinda-ardern-sebak-ketika-dengar-khutbah-201843

[19] http://www.astroawani.com/berita-dunia/new-zealand-berkabung-semoga-allah-lindungi-nz-imam-gamal-201835