Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

wakaf pendidikan dan manfaat.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga hari kesudahan.

Seperti yang dimaklumi, wakaf memainkan peranan utama dalam permulaan sejarah tamadun Islam untuk meningkatkan ekonomi serta memberikan hak kepada golongan tertentu seperti fakir miskin, anak yatim dan juga pembinaan masjid, surau, madrasah, tahfiz, asrama anak yatim serta tanah perkuburan. Sistem wakaf dikembangkan lagi melalui ijtihad ulama’ berdasarkan kepada istinbat hukum mengikut realiti dan kesesuaian maslahat semasa.

Justeru, tidak hairanlah pelbagai bentuk wakaf dikemukakan kepada masyarakat Islam sehingga kita mula mendengar wakaf tunai, wakaf manfaat, wakaf saham dan lain-lain lagi. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami telah memilih tajuk Wakaf Pendidikan dan Manfaatnya. Semoga perbincangan ini memberi sebuah kefahaman kepada kita betapa meluasnya konsep wakaf dan keperluan ummah untuk memahami konsep wakaf dengan lebih besar lagi sesuai dengan sifat keanjalan Islam dan kesejagatan ummah.

 

Konsep dan Pengertian Wakaf

Wakaf menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Wakaf berasal dari bahasa Arab waqf, iaitu nama terbitan (masdar) dari kata kerja waqafa. Ia mempunyai pelbagai makna mengikut tujuan dan penggunaan ayat itu sendiri. Dari segi bahasa, waqf membawa maksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس). (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/359) Dari segi istilah wakaf adalah menahan benda agar tidak dimiliki serta agar manfaatnya boleh disedekahkan. Maka jadilah pemilikan harta tersebut beralih kepada pemilikan Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, 1/85)

Kami kemukakan di sini beberapa definisi wakaf oleh para ulama’:

  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan yang dibolehkan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 25/307)
  • Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat al-Mughni, 12/175)
  • Sayyid Sabiq menyebut wakaf ialah menahan benda yang menjadi milik pewaqaf dan menyedekahkan manfaatnya di jalan Allah SWT. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/515)
  • Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebut, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan dan ia diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan ia dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 8/155)

Berdasarkan definisi yang dikemukakan, dapat disimpulkan bahawa wakaf ialah satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan. Harta yang hendak diwakafkan perlu jelas pemilikannya dan juga perlulah memberi manfaat dan faedah. Begitu juga harta tersebut perlulah bersifat kekal fizikalnya.

 

Dalil Pensyariatan Wakaf

Wakaf merupakan satu amalan yang dianjurkan serta dipraktikkan sejak daripada zaman Baginda Rasulullah SAW lagi. Ia bertitik tolak daripada galakan al-Quran dan al-Sunnah agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Allah SWT menyebut betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang membelanjakan harta untuk mendapat keredaan-Nya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

(Surah al-Baqarah: 261)

Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud ayat ini berkata: “Ini merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT mengenai pelipatgandaan pahala bagi orang yang menafkahkan harta kekayaannya di jalan-Nya dengan tujuan untuk mencari keredaan-Nya.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/457)

Sebahagian ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan R.Anhuma. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk bagi sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW serta membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Wasith, 1/602)

Allah SWT juga berfirman:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali Imran: 92)

Ibn Kathir menyebut, Waki’ dalam tafsirnya meriwayatkan daripada ‘Amr bin Maimun, berkata: Maksud “الْبِرّ” ialah syurga. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/73)

 

Kisah Sahabat Mewakafkan Harta

Terdapat satu kisah yang menarik berkaitan reaksi sahabat apabila diturunkan sahaja ayat di atas. Dalam satu hadis Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW:

...وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءَ وَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ فَضَعْهَا حَيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ...

Maksudnya: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

Riwayat al-Bukhari (2769)

Kisah ini menunjukkan betapa para sahabat begitu bersungguh-sungguh dalam berlumba-lumba melakukan kebajikan seperti bersedekah dan berwakaf bagi merebut ganjaran pahala yang besar. Perkara seperti ini juga dapat dilihat dalam kisah Saidina Umar R.A yang mewakafkan tanahnya yang bernilai tinggi di Khaibar kerana mengikut saranan Rasulullah SAW bagi tujuan mencari keredaan Allah SWT. Begitu juga dalam kisah yang masyhur, di mana Saidina Uthman bin ‘Affan R.A membeli sebuah perigi yang amat diperlukan kaum Muslimin pada ketika itu, lalu disedekahkannya untuk kegunaan orang-orang Islam di Madinah.

Daripada kisah-kisah yang dirakamkan tersebut, jelaslah menunjukkan betapa para sahabat sangat menghayati kelebihan dan keutamaan yang diperolehi melalui amalan bersedeqah dan berwakaf. Hal ini terzahir dalam tindakan mereka dalam menyahut seruan Rasulullah SAW untuk memberikan manfaat kepada orang ramai bagi meraih ganjaran besar daripada Allah SWT. Ini kerana mereka menyedari besarnya kelebihan serta ganjaran pahala lantaran sifatnya yang berkekalan dan berpanjangan selagi mana perkara yang diwakafkan itu terus dimanfaatkan dan tidak musnah.

 

Amalan Yang Berkekalan

Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (4310), al-Tirmizi (1376) dan al-Nasa’ie (3651)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadis ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 3/89)

Para ulama’ menyebut sedekah jariah ditafsirkan sebagai wakaf disebabkan pahalanya yang terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya. Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: “Sedekah jariah ditafsirkan sebagai wakaf oleh para ulama’ sepertimana disebut oleh al-Rafi’i kerana sedekah yang selainnya tidak berterusan mengalir (pahalanya).” (Lihat Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syarbini, 10/87)

Oleh itu, jelaslah wakaf mempunyai keutamaan serta kelebihan yang besar dalam Islam. Ia adalah satu bahagian yang amat penting dalam kehidupan ekonomi umat Islam. Konsep wakaf ini telah wujud sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi dan ia diikuti oleh para sahabat dan berterusan sehinggalah ke hari ini. Harta yang diwakafkan itu merupakan hak Allah SWT yang tidak boleh dimiliki, dijual, diwarisi atau dihebahkan kepada sesiapa pun. Ganjaran pahala bagi mereka yang berwakaf akan terus mengalir selagimana ianya diguna dan dimanfaatkan.

 

Sejarah Universiti al-Azhar dan Wakaf

Kami kemukakan di sini sejarah Universiti al-Azhar yang membangun dengan harta wakaf kerana ia simbol sistem pendidikan Islam terulung dan tertinggi di dunia. Ia dilihat begitu berjaya hasil sumbangan wakaf.

Universiti al-Azhar diasaskan penubuhannya pada 359 Hijri bersamaan 969 Masihi oleh Jauhar al-Siqali, seorang ketua tentera ketika pemerintahan Khalifah al-Muiz Lidiniah al-Fatimi. Pada zaman al-Aziz bi Allah (365-386 H), sistem wakaf telah diwujudkan dengan pembelian gedung-gedung perniagaan dan juga ladang-ladang bagi membiayai al-Azhar.[1]

Pada zaman al-Hakim bi Amr Allah (386 – 411 H), sistem wakaf telah dikemaskini dengan penubuhan institusi wakaf yang bernama Dar al-Qurb atau Dar al-Kharq al-Jadidah. Beliau menjadikan al-Azhar sebagai sebuah institusi yang lebih bersistematik.

Hasil pemilikan dana wakaf yang ampuh, al-Azhar mampu menaja pengajarnya untuk melanjutkan pelajaran di segenap pelusuk dunia. Pembiayaan belanja masjid dan universiti serta pembayaran gaji pengajarnya dibuat hasil daripada pendapatan pasaran wakaf bangunan al-Azhar. Pihak universiti hanya mengenakan jumlah bayaran yuran yang kecil kepada pelajar yang diterima masuk malah turut membantu segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pengajian.[2]

Dicatatkan pada 1986, Universiti al-Azhar telah memperuntukkan sebanyak £147,324,300 untuk pembiayaan aktiviti-aktiviti pembangunan dan pendidikan. Ia termasuk perbelanjaan mengurus 55 buah fakulti dengan bilangan 6154 kakitangan tenaga pengajar (849 profesor, 819 profesor madya, 1517 pensyarah, 1456 pembantu pensyarah dan 1510 readers.[3]

Dana wakaf ini telah banyak membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menjadikan kelas pembelajaran tidak dimonopoli oleh golongan berada sahaja. Sehingga kini al-Azhar terus ditadbir dengan menggunakan dana wakaf.

 

Wakaf Pendidikan di Malaysia

Sememangnya diakui bahawa amalan wakaf ini telah diamalkan sejak dari dahulu lagi. Amalan ini dikatakan telah wujud sejak akhir abad ke 19 hingga awal abad ke 20. Amalan ini dicetuskan dengan kehadiran agama Islam di Tanah Melayu atau Malaysia. Contoh wakaf pendidikan yang mula-mula dilakukan adalah wakaf asrama pelajar, wakaf biasiwa, wakaf saraan, wakaf bangunan dan wakaf alat pembelajaran seperti buku, meja dan lain-lain.[4]

 

Pelaksanaan Wakaf Pendidikan di Malaysia

Kami kemukakan di sini beberapa cadangan untuk menjana dana wakaf dalam pelaksanaan wakaf pendidikan di Malaysia.[5]

  1. Menjadikan bangunan yang sedia ada sebagai harta wakaf.
  • Aset yang sedia ada (bangunan, dewan kuliah, hentian bas) boleh dijadikan harta wakaf. Al-waqif (pewakaf) akan bertanggungjawab penuh terhadap aset yang telah dijadikan aset wakaf tersebut. Kos penyelenggaraan atau segala kos-kos yang terlibat semasa menguruskan aset tersebut adalah menggunakan hasil dari wang yang diberikan oleh al-waqif (pewakaf).
  1. Menjadikan tanah yang sedia ada sebagai harta wakaf.
  • Aset ini boleh dibangunkan mengikut kesesuaian seperti pembinaan asrama pelajar, makmal dan kemudahan latihan. Tanah seperti ini juga boleh dibangunkan untuk projek pertanian.
  1. Menjadikan kemudahan serta peralatan yang telah sedia ada sebagai harta wakaf.
  • Amalan wakaf seperti ini akan memberi manfaat kepada warga universiti secara keseluruhan. Antara kemudahan yang boleh diwakafkan adalah seperti kemudahan peralatan makmal, audio visual peralatan, unit penghawa dingin, kerusi dan meja serta lain-lain. Alatan dan kemudahan seperti ini boleh diletakkan dalam bangunan yang diwakafkan.
  1. Menjadikan wang tunai sebagai harta wakaf.
  • Pihak universiti boleh menganjurkan wakaf tunai untuk menerima sumbangan wang tunai daripada alumni, kakitangan, rakan strategik dan orang awam. Sumbangan seperti ini boleh disalurkan melalui penjualan kupon, urusniaga atas talian atau wang tunai yang diserahkan secara terus kepada kaunter wakaf yang dibuka.
  1. Menjadikan sesuatu aset tak ketara (intangible assets) sebagai harta wakaf.
  • Pihak universiti boleh memanfaatkan aset tidak ketara (paten, reka bentuk perindustrian, hak cipta, tanda dagangan dan lain-lain bentuk harta intelek) sebagai wakaf.

 

Halangan Dan Rintangan Wakaf

Pada masa kini, amalan wakaf telah semakin berkembang dan hidup dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Kewujudan amalan wakaf ini bukan sahaja boleh dilihat pada peringkat sekolah atau madrasah sahaja, malah ada segelintir universiti di Malaysia turut mengamalkan amalan wakaf. Namun begitu, amalan wakaf ini tidak dapat dijalankan secara menyeluruh disebabkan kurangnya perhatian terhadap isu-isu seperti ini serta terdapatnya kekangan-kekangan yang menjadi penyebab utama amalan tersebut tidak dapat dijalankan seperti:[6]

  • Pengurusan Pentadbiran
  • Pengurusan Sumber Kewangan
  • Pengurusan Tenaga Pengajar
  • Pengurusan Maklumat
  • Pengurusan Pemasaran

 

Antara Model Wakaf Yang Telah Berjaya Dilaksanakan:

Sekolah Dan Madrasah:[7]

Kami dapati sejak dahulu lagi, banyak pondok atau madrasah dibina atas wakafan orang ramai atau individu tertentu. Antaranya:

  • Madrasah Khairiah Islamiah, Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang. Madrasah ini telah diasaskan pada tahun 1933
  • Maktab Mahmud, Kedah. Telah diasaskan pada 16 Jun 1936
  • Madrasah Masyhor Al-Islamiyyah, Pulau Pinang. Telah ditubuhkan pada tahun 1916
  • Maahad Al-Ihya Al-Syarif, Perak. Telah diasaskan pada 15 April 1934
  • Madrasah Arabiah Kluang, Johor. Telah diasaskan pada 8 mei 1946
  • Kolej Islam Malaya, Klang. Selangor. Telah ditubuhkan pada 25 Februari 1955

 

Pengajian Tinggi Dan Universiti:

Pertama: Universiti Awam[8]

Telah terdapat usaha mengumpulkan dana wakaf oleh pihak universiti dengan cara mengikut gaya al-Azhar. Alhamdulillah, usaha seperti ini sedang giat berjalan di kebanyakan universiti di Malaysia. Antaranya:

  • Universiti Putra Malaysia (UPM)

Dana Wakaf Ilmu: Dana Wakaf Ilmu ditubuhkan UPM pada tahun 2011, menawarkan peluang untuk komuniti kampus dan orang awam untuk menyumbang kepada dana waqf. Dana wakaf tersebut mempunyai beberapa skim: Waqf Am, Waqf Kitab, Waqf Kemudahan, dan Waqf Keperluan Khas. Sumbangan Waqf dibuat melalui kaunter waqaf UPM, kotak pengumpulan waqf ditempatkan di pelbagai pejabat di UPM, CIMBClicks, potongan gaji bulanan, dan kemudahan tuntutan kakitangan (e-claim). Sebanyak RM7.1 juta telah dikumpulkan sehingga Mei 2016. Hasil daripada dana wakaf tersebut telah memberi manfaat kepada para pelajar UPM.

  • Universiti Sains Malaysia (USM)

Wakaf Tunai ISDEV: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) telah mendapat kelulusan dana wakaf dari Majlis Agama Islam Pulau Pinang pada 24 November 2009. Dana ini diuruskan oleh Yayasan Universiti Sains Malaysia (USM). Dana wakaf ini dikumpulkan melalui kupon tunai yang dikeluarkan serta pemindahan wang melalui bank. Kemudian ia ditukarkan (badal) kepada aset tetap sebaik sahaja mencukupi jumlah yang sesuai untuk membuat pertukaran. Sebanyak RM 50,000 telah dikumpulkan sehingga Mei 2016. Hasil dana wakaf ini digunakan untuk pendidikan serta pembangunan penyelidikan.

  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Klinik Wakaf (USIM): Sebuah klinik pakar telah dibina sebagai klinik wakaf melalui kerjasama antara USIM dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Klinik ini telah dibuka di Nilai Square dan mula beroperasi pada April 2014. Klinik wakaf ini diberikan dana sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Sebanyak RM 4.25 juta telah disumbangkan oleh kerajaan negeri sehingga Mei 2016. Klinik ini menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada asnaf seperti komuniti miskin dan kurang bernasib baik yang tinggal sekitar kawasan USIM.

  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Dana Wakaf UKM: Dana wakaf ini telah dilancarkan pada 2010. Dana wakaf ini dikumpulkan melalui komunikasi peribadi serta iklan dalaman. Sebanyak RM 365,000 telah berjaya dikumpulkan sehingga Mei 2016. Dana ini digunakan untuk pendidikan serta kebajikan, pembangunan pelajar, penyelidikan akademik dan pembangunan serta menjalinkan hubungan dengan industri dan masyarakat.

  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)

Selain mendapat dana wakaf dari kerajaan Malaysia, dana wakaf turut dikumpulkan melalui sumbangan syarikat-syarikat besar serta yayasan luar negara. Sebanyak RM 3.5 juta dana wakaf yang telah terkumpul sejak tahun 1999. IIUM dicatatkan telah berjaya menaja sebanyak 4000 pelajar secara tahunan hasil daripada dana wakaf yang telah berjaya dikumpulkan.[9]

Kami dapati, hampir semua universiti melaksanakan sistem wakaf. Sebagai contoh universiti yang berada di Wilayah Persekutuan juga memohon kebenaran kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menubuhkan sistem wakaf di universiti mereka.

 

Kedua: Universiti Swasta

Antara universiti swasta yang melaksanakan sistem ini ialah:

  • Universiti Islam Malaysia (IUM)
  • University College Bestari (UCB). Dana wakaf dikumpulkan melalui penjualan tanah universiti sebagai wakaf kepada masyarakat melebihi keluasan seluas 320 ekar di mana dijualkan dengan harga RM 30 bagi setiap 0.2.
  • Universiti Antarabangsa Al-Bukhari (AiU)

 

Fatwa-Fatwa Berkaitan Wakaf Pendidikan

Kami melihat keputusan berkaitan wakaf pendidikan telah diputuskan oleh badan fatwa, bukan semata-mata di Malaysia tetapi di dunia. Kami mulakan dengan fatwa di Malaysia:

  • Majlis Fatwa Kebangsaan

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dan dibenarkan untuk dilaksanakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan umat Islam.

Walaupun ia bermaksud wakaf tunai, tetapi dalam isu pendidikan juga digalakkan untuk memberi wang secara wakaf tunai.

  • Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu (15 Mei 2001)  

Menukarkan Wakaf Khas Tapak Asrama Pelajar-Pelajar Sekolah Kepada Wakaf Khas Untuk Pendidikan

Keputusan: Mesyuarat bersetuju dengan cadangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk menukarkan Wakaf Khas tapak asrama pelajar-pelajar sekolah (KRM 678, Lot 1397, Mukim Kuala Ibai) daripada Tuan Haji Awang Umar bin Haji Muhammad kepada Wakaf Khas untuk pendidikan.

  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka (5 September 2006)

Pentafsiran Hukum Syara’ Ke Atas Wakaf-Wakaf Yang Tidak Jelas Penyerahannya

Antara keputusan: Semua masjid, surau, sekolah agama (institusi pengajian agama) dan tanah perkuburan di negeri Melaka adalah wakaf jika telah ditentukan oleh waqif bagi tujuan tersebut untuk dinikmati manfaat dan faedahnya oleh orang ramai.

  • Fatwa kerajaan Jordan

Fatwa tersebut mentakrifkan waqaf sebagai: “Tanah, harta yang boleh dipindahkan atau tidak boleh dipindahkan yang diberi atas sebab kebaikan yang tidak terputus sampai bila-bila. Ianya merangkumi masjid dan kawasannya, makam-makam, zawiyah, kubur kaum muslimin yang dikhususkan. Dan juga (yang diwaqafkan) itu sama ada untuk pendidikan atau bukan.”

 

Pendidikan Berteraskan Wakaf di Turki

Di Turki, dana daripada wakaf telah terbukti mampu menggerakkan institusi pendidikan mereka. Terdapat sebanyak 195 Universiti di Turki pada tahun 2016. Sebanyak 75 daripadanya adalah waqaf dan yang selebihnya adalah institusi pendidikan yang diuruskan oleh kerajaan.[10]

Dalam usaha untuk mempertahankan kelangsungan dana wakaf, universiti menjalankan beberapa jenis perniagaan untuk menyokong aktiviti pendidikan seperti menyewakan tapak kereta dan menjalankan khidmat kegiatan sosial dalam universiti. Wang yang diperolehi daripada aktiviti perniagaan akan digunakan untuk menampung biasiswa kepada pelajar, membiayai penyelidikan yang dijalankan oleh pensyarah, menguruskan sistem keselamatan dan sebagainya.[11]

Antara waqaf yang sangat terkenal di Turki ialah Yayasan Ilim Yayma yang telah menyumbang kepada sektor pendidikan sejak sekian lama. Yayasan ini telah menubuhkan Istanbul Sabahattin Zaim University pada tahun 2010. Institusi ini merupakan merupakan salah satu daripada contoh kejayaan Universiti Waqaf di Turki.

Waqaf di Turki merupakan satu contoh yang unik kerana ia tidak mengaitkan ideologi politik sebaliknya didasarkan pada sifat tolong-menolong dan hormat menghormati sesama manusia.[12]

 

Penutup

Seorang pakar sejarah wakaf, Prof Murat Cizakca menyebut, Barat telah meniru dan mengambil konsep institusi wakaf Islam lalu berjaya menggunakannya dalam mengembangkan ekonomi dalam masyarakat Barat.

Penubuhan Merton College yang merupakan institusi asas Universiti Oxford[13] adalah antara contoh yang terawal. Penubuhan Merton College tersebut diuruskan oleh sebuah yayasan yang telah mengambil struktur wakaf Islam. Konsep ini kemudiannya digunakan oleh universiti lain di Barat antaranya Universiti Harvard[14] dan Stanford[15] yang merupakan antara yang terkaya di dunia setelah harta korporat universiti bernilai tinggi berjaya dihimpunkan oleh yayasan masing-masing.[16]

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami cadangkan agar para ulama’ perlu berijtihad dalam memperluaskan erti dan makna wakaf selaras dengan suasana semasa dan terkini. Ini akan memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk berwakaf walaupun seringgit cuma.

Oleh itu, umat Islam sewajarnya berusaha bagi membangunkan dan memanfaatkan semula institusi wakaf agar peranannya yang ampuh dapat digerakkan semula.

Kami berdoa kepada Allah, semoga amalan wakaf begitu subur di kalangan masyarakat Islam di Malaysia seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara dan umat Islam. Saya menyeru kepada khalayak masyarakat untuk beriltizam berwakaf sekalipun nilainya kecil kerana inilah yang akan menjadi sedekah jariah kita pada hari akhirat kelak. Amin.

Akhukum Fillah,

Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

 

Nota Hujung:

[1] Lihat buku Wakaf: Pengurusan dan Sumbangannya Terhadap Pendidikan Islam di Malaysia, hlm. 100-101.

[2] Lihat buku Potensi Wakaf Pendidikan Tinggi di Malaysia oleh Ahmad Shaifful Anuar, hlm. 33-35.

[3] Lihat Kelestarian Program Akademik Dan Kewangan Dalam Pengajian Tinggi Islam oleh Mohd Mizan Mohammad Aslam dan Wan Mohd Dhaiyudeen Helmy Wan Mohar, hlm. 3-4.

[4] Lihat Wakaf Pendidikan Di Malaysia : Satu Pengenalan oleh Mohd Syakir Mohd Taib et al. hlm. 390.

[5] Ini juga adalah sebagaimana yang dikemukakan dalam buku “Buku Ungu” yang bertajuk Enhancing University Income Generation, Endowment & Waqf yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, (Putrajaya, 2016), hlm. 60.

[6] Lihat Wakaf: Pengurusan dan Sumbangan Terhadap Pendidikan Islam di Malaysia oleh Ahmad Zaki Hj. Abd. Latif et al., hlm. 130.

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[9] Razak, Dzuljastri Abdul, et al. "A study on sources of waqf funds for higher education in selected countries." International Symposium on Waqf and Higher Education (ISWHE 2016) Istanbul, Turkey. 2016. hlm. 118.

[10] Lihat A Study on Sources of Waqf Funds for Higher Education in Selected Countries oleh Dzuljastri Abdul Razak, et al. International Symposium on Waqf and Higher Education (ISWHE 2016) Istanbul, Turkey. 2016. hlm. 120-121.

[11] Ibid.

[12] Lihat Kelestarian Program Akademik Dan Kewangan Dalam Pengajian Tinggi Islam oleh Mohd Mizan Mohammad Aslam dan Wan Mohd Dhaiyudeen Helmy Wan Mohar, hlm. 3-4.

[13] Universiti Oxford yang terletak di bandar raya Oxford, England, ialah universiti yang tertua di dalam dunia pertuturan bahasa Inggeris. Universiti ini menyusur-galur asalnya pada sekurang-kurang akhir abad ke-11, walaupun tarikh pengasasan yang tepat masih tidak jelas. Pentarikhan ini menyebabkan tempoh kewujudannya sama sahaja dengan Akademi Plato (400-an SM hingga 500-an Masihi). Menurut legenda, selepas sebuah rusuhan antara pelajar-pelajar dengan orang-orang bandar tercetus pada tahun 1209, sesetengah pensyarah dari University of Oxford melarikan diri ke bandar Cambridge di arah timur laut dan mengasaskan Universiti Cambridge. Sejak masa itu, kedua-dua universiti ini telah mempunyai sejarah persaingan yang lama antara satu sama lain, dan merupakan universiti-universiti yang paling susah masuk di United Kingdom (sila lihat Persaingan Oxbridge). (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Universiti_Oxford)

[14] Universiti Harvard (bahasa Inggeris: Harvard University) adalah universiti swasta di Cambridge, Massachusetts, AS dan anggota Ivy League. Universiti ini didirikan pada 8 September 1636 dan merupakan universiti tertua di Amerika Syarikat. Awalnya bernama New College, ia dinamakan semula menjadi Harvard College pada 13 Mac 1639 untuk menghormati penyumbang terbesarnya, John Harvard, seorang mantan mahasiswa Universiti Cambridge.

[15] Leland Stanford Junior University, (lazimnya dikenali sebagai Universiti Stanford atau Stanford sahaja), adalah sebuah universiti swasta yang terletak kira-kira 60 kilometer di tenggara San Francisco dan kira-kira 30 km di timur laut San Jose di wilayah Santa Clara yang belum dirasmikan sebagai kota. Stanford terletak di kota Palo Alto, California, Amerika Syarikat tepat di tengah Lembah Silikon baik secara geografi mahupun sejarah. Universiti Stanford terletak di kampus universiti kedua terbesar di dunia, dan terdiri atas Sekolah Teknik, Perundangan, Kedoktoran, Pendidikan, Perniagaan, Geosains, dan Humanistik serta Sains. Universiti ini mempunyai sejumlah program dan sebuah hospital pendidikan selain pelbagai kegiatan menjangkau kepada masyarakat dan inisiatif sukarelawan.

[16] Lihat Wakaf agenda utama World Islamic Economic Forum (WIEF) oleh Muhammad Ali Hashim, 10 November 2014.