Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-274: PENGHARAMAN ROKOK DAN ROKOK ELEKTRONIK

PENGHARAMAN_ROKOK_DAN_ROKOK_ELEKTRONIK.jpg

 

Pendahuluan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Rabb al-Alamin. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, kaum keluarga, para Sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Perbahasan sebelum ini berkaitan merokok telah dibincangkan dalam dua artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang bertajuk:

  1. Bayan Linnas Siri Ke-18: Merokok, Hukum Dan Penyelesaiannya
  1. Irsyad Al-Fatwa Ke-63: Hukum Penggunaan Rokok Elektronik/Vapor

Mengambil kesempatan sempena pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam, PMWP ingin menyiar kembali berkaitan pengharaman rokok dan rokok elektronik daripada sudut kaca mata Syariah, Perbahasan ini diharap mampu memberikan pencerahan dan kesedaran bagi umat Islam berkenaan pengharaman dan kesan buruknya agar mereka menjauhkan diri daripada tabiat merokok.

Definisi Rokok dan Rokok Elektrik

Rokok menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tembakau yang digulung dalam daun nipah atau kertas. Manakala rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) pula adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masa kini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor. Perkataan 'vape' berasal daripada perkataan Inggeris, daripada perkataan ‘vaporization’ yang membawa maksud proses pengewapan dan juga merujuk kepada 'vaporizer' iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain. Kamus Oxford mendefinisikan vape sebagai:

an act of inhaling and exhaling the vapour produced by an electronic cigarette or similar device”

Maksudnya: perbuatan menyedut dan menghembuskan wap yang dihasilkan oleh rokok elektronik atau peranti yang seumpamanya). Perkataan vape juga boleh merujuk kepada alat peranti elektronik yang digunakan.[1]

Jenis-Jenis Penyakit Akibat Merokok

Terdapat banyak jenis penyakit akibat daripada merokok. Antaranya termasuklah:

  1. Kanser kerongkong: Asap rokok yang disedut akan melalui kerongkong dan menjadi punca kanser.
  2. Kanser mulut: kesukaran untuk makan kerana kesakitan yang berpanjangan.
  3. Katarak: Sejenis penyakit mata yang menyebabkan kanta mata menjadi legap dan rabun.
  4. Ulser Perut: Masalah makanan yang tidak hadam, perut yang tidak selesa selepas memakan makanan yang banyak dan sakit atau pedih ulu hati.
  5. Penyakit Jantung: Aktiviti harian yang terhad. Risiko kematian yang tinggi
  6. Strok: Penyakit gangguan fungsi otak yang berlaku secara tiba-tiba.

Adapun berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik, perbahasan telah dibuat berdasarkan pendapat pakar dalam artikel bertajuk Irsyad Al-Fatwa Ke-63: Hukum Penggunaan Rokok Elektronik/Vapor seperti berikut:

  1. Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
  1. Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
  1. Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “Tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian niklotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”. 
  1. Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh American Lung Association (ALA), pihak ALA menyatakan kegusaran mereka terhadap penggunaan rokok elektronik kerana kajian awal telah mendapati bahawa rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin bahkan terdapat juga bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti carcinogens. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa rokok elektronik yang menggunakan voltage yang tinggi dan mempunyai kandungan  formaldehyde yang tinggi. Formaldehyde juga merupakan bahan kimia yang merbahaya kepada tubuh manusia. 
  1. Pihak FDA (Food and Drug Administration) Amerika Syarikat telah menjalankan uji kaji makmal terhadap kandungan rokok elektronik dan di dalam satu sampel kajian, mereka telah mendapati bahan diethylene glycol iaitu bahan yang digunakan di dalam proses anti-beku dan ianya sangat berbahaya kepada tubuh manusia. 
  1. Menurut Dr. Daniel Lee, Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil daripada rokok elektronik adalah dari cecair biasa dan bukannya dari nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang mana boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.
  1. Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin ketika dihubungi mengatakan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan oleh rokok elektronik, akan disedut oleh pengguna, dan wap nikotin ini mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Tambah beliau lagi, asid nitrik merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia. Selain itu, cecair nikotin, walaupun sukatannya sedikit, dikhuatiri resapannya ke dalam saluran darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin. 
  1. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ashok Zachariah Philip juga berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudharatan kepada penggunanya. Tambah beliau lagi, kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok kenvesional juga terdapat di dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah. Beliau juga melalui persatuan menggesa agar Kementerian Kesihatan mempertimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. 
  1. Pakar Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Khairulfaizi Haron berkata, walaupun peratusan untuk pengguna vape mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati. Beliau juga menegaskan bahawa sangkaan menggunakan rokok elektronik adalah lebih selamat berbanding rokok adalah tidak benar. 
  1. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahya dalam satu kenyataan mengatakan bahawa di dalam rokok elektronik terdapat nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet. Bahan pengawet inilah yang meningkatkan kemungkinan kanser dalam tubuh badan. 
  1. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok. Ia juga tidak selari dengan perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005. KKM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkai Kesan Rokok Elektronik Dan Shisha Terhadap Kesihatan  pada bulan Ogos tahun 2013. Jawatankuasa ini mengambil masa selama setahun  empat bulan untuk membuat penetapan kerana ketika itu kurang kajian-kajian saintifik berkaitan rokok elektronik dan vape. Jawatankuasa ini telah meneliti beberapa kertas kajian saintifik dan laporan-laporan terutama daripada WHO FCTC dan International Union Against Tubercolosis and Lung Disease.

Dalil Pengharaman Perkara yang Memudaratkan

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Surah al-Baqarah (195)

Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infak di jalan Allah tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Shawkani:

وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ

Maksudnya:Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Oleh itu, setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari[2].

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمًا

Maksudnya: “Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri[3]. Ayat ini secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan tabiat merokok dan menghisap vape bercirikan amalan yang membunuh diri sendiri.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Samit RA sabda Rasulullah SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”

(Riwayat Ibn Majah)

Dalam buku Rokok dan Keharamannya yang memuatkan tulisan Abdullah bin Abdul Rahman al-Sind:

“Nikotin merupakan suatu bahan beracun (sejenis dadah yang terdapat dalam daun tembakau) yang lebih bias(keras) kesannya daripada segala racun. Seandainya setitik daripada nikotin diletakkan di atas lidah seekor anjing, nescaya anjing itu akan mati serta merta, sedangkan anjing itu sejenis haiwan yang lebih tahan menghadapi racun daripada manusia. Satu suntikan yang mengandungi 70 miligram nikotin dapat membunuh manusia dalam beberapa minit sahaja.”

Menurut Pengarah Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Dzulkifli Abdul Razak, bahawa setiap rokok mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun.

Manakala berkenaan rokok elektronik kenyataan pakar menunjukkan ia lebih memudaratkan berbanding daripada rokok. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti. Di samping itu rokok atau rokok elektronik juga boleh memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar.

Dalil Pengharaman Perkara yang Membazir

Pembaziran yang berlaku sama ada pada rokok itu sendiri mahupun rokok elektronik merupakan suatu yang diharamkan oleh Allah SWT Firman Allah SWT:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

surah al-Isra’ (26-27)

Imam Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla[4]  menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan pembaziran yang haram adalah:

  1. Membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, samada banyak ataupun sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
  2. Pembaziran yang tidak ada keperluannya atau tidak diperlukan.
  3. Membazirkan wang walaupun dalam jumlah yang kecil dan membazirkan wang tanpa tujuan adalah sia-sia.

Sabda Rasulullah SAW daripada al-Mughirah bin Syu’bah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ: عُقُوقَ الأُمَّهَاتِ، وَوَأْدَ البَنَاتِ، وَمَنَعَ وَهَاتِ، وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ المَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu penderhakaan terhadap ibu-ibu, membunuh anak-anak perempuan, menegah daripada banyak karenah, benci kepada kamu bercakap yang bukan-bukan dan banyak soal serta membazir harta.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga dalil-dalil yang dinyatakan maka dapat disimpulkan bahawa penggunaan rokok dan rokok elektronik hukumnya adalah HARAM. Ini kerana ‘illahnya adalah memudaratkan dan pembaziran.

Pengharaman Rokok dan Rokok Elektronik daripada Sudut Kemaslahatan Umum

Pihak berkuasa boleh mengambil keputusan untuk mengharamkan rokok atau rokok elektronik jika terdapat kemaslahatan umum. Ini berdasarkan kepada tanggungjawab pemerintah yang terungkap dalam kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ

Maksudnya:Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah bergantung kepada maslahah.[5]

Jika sekiranya wujud maslahah ammah yang sebenar dalam pengharaman vape, maka adalah menjadi kewajipan semua rakyat untuk mematuhinya, sebagaimana sesetengah pemerintah pada zaman dahulu pernah membuat larangan rokok berdasarkan kepada maslahah ammah dan ulama mewajibkan rakyat mematuhinya.

Al-Syarawani seorang ulama dalam mazhab Syafi’i ketika membicarakan berkenaan kewajipan mentaati pemerintah dalam perkara yang melibatkan maslahat umum(maslahah ammah) telah memberi contoh larangan merokok berdasarkan maslahat umum seperti berikut:

“Jika pemerintah membuat arahan supaya tidak menghisap rokok yang dikenali pada zaman ini, maka wajib ke atas mereka (rakyat) untuk mentaatinya. Pada waktu yang lalu, Timbalan Pemerintah pernah mengeluarkan arahan di Mesir supaya tidak merokok di jalan-jalan dan kafe-kafe, lalu ramai yang mengingkarinya, maka mereka adalah pelaku maksiat[6]”.

Sejarah tersebut menunjukkan bahawa pengharaman rokok berdasarkan kepada maslahah ammah adalah suatu yang pernah berlaku pada masa lalu, dan ulama mengiktiraf ia sebagai larangan yang wajib dipatuhi. Justeru, pengharaman rokok atau rokok elektronik boleh dikuatkan dengan kewujudan elemen maslahat umum.

Fatwa Mengenai Rokok

Berikut adalah senarai fatwa ulama berkenaan dengan hukum merokok samada yang terdahulu atau masa kini:

1. Syeikh Najm al-Ghazzi salah seorang ulama mazhab Syafi’i seperti yang dinukilkan oleh al-Dur al-Mukhtar berkata:

والتتن- أحط الدخان- الذي حدث يدعى شاربه أنه لا يسكر، وإن سلم له فإنه مفتر، وهو حرام. لحديث أحمد عن أم سلمة قالت: "نهى رسول الله صلي الله عليه وسلم عن كل مسكر ومفتر" وليس من الكبائر تناوله المرة والمرتين، ومع نهي ولي الأمر عنه حرم قطعا، على أن استعماله ربما أضر بالبدن. نعم، الأصرار عليه كبيرة كسائر الصغائر

Maksudnya: “Orang yang menghisap al-tutun (rokok yang paling lemah) mendakwa bahawa ia tidak memabukkan, tetapi jika ia diberikan kepadanya, boleh melemahkan (akal dan badan) maka ia adalah haram. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu Salamah RA, dia berkata: “Rasulullah SAW melarang semua jenis yang memabukkan dan yang melemahkan,”. Tidaklah menjadi dosa besar orang yang menghisapnya sekali atau dua kali. Namun jika pemerintah melarangnya, maka hukumnya adalah haram, memandangkan penggunaannya boleh membahayakan tubuh. Ya, berterusan dalam melakukan dosa kecil menjadikannya sama seperti dosa besar sebagaimana dosa-dosa kecil yang lain.”

2. Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf (mantan Mufti al-Diyar al-Misriyyah) dalam kitabnya Fatawa Syar’iyyah wa Buhuth Islamiyyah, mengupas hukum merokok itu:

“Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini, dahulunya belumlah dikenali. Apabila tembakau diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, ulama fiqh dari pelbagai mazhab Islam pun membincangkannya untuk untuk menetapkan hukum berdasarkan prinsip(kaedah) yang telah ditetapkan. Mereka mengatakan: “Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu ialah harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal (keharusan ini), melainkan adanya perkara-perkara mendatang (luaran) yang mengubah hukumnya menjadi haram dan makruh.”

3. Al-Imam al-Akhbar Mahmud Syaltut: Syeikh al-Azhar Mesir dalam al-Fatawa Dirasah li Musykilat al-Muslim al-Mu’asir fi Hayatihi al-Yaumiyyah wa al ‘Ammah, menyebut mengenai bahaya merokok terhadap kesihatan dan harta:

“Walaupun menghisap tembakau itu tidak memabukkan dan tidak merosakkan akal, namun wujud pelbagai kesan yang membahayakan kepada kesihatan perokok itu sendiri dan juga terhadap orang lain yang tidak merokok.”

4. Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang mengumpul sejumlah tokoh ulama dalam kitabnya Min Hady al-Islam Fatawa Mu’asirah antaranya:

  1. Ulama Mesir: Syeikhul Islam Ahmad al-Sanhuri al-Buhuti al-Hanbali dan Syeikhul Malikiyyah Ibrahim al-Laqqani.
  2. Ulama Maghribi: Syeikh Abu Ghaith al-Qasyasyi al-Maliki
  3. Ulama Syam: Syeikh Najmuddin bin Badruddin bin Mufassir al-Qur’an al-Arabi al-Ghazzi al-Amiri al-Syafie
  4. Ulama Yaman: Syeikh Ibrahim bin Jam’an dan muridnya Syeikh Abu Bakar bin Ahdal
  5. Ulama al-Haramain: al-Muhaqqiq Abdul Malik al-Ishami dan muridnya Muhammad bin Allamah dan Sayyid Umar al-Basri
  6. Ulama Turki: Syeikh al-A’zham Muhammad al-Khawajah, Syeikh Isa al-Sahwah al-Hanafi, Syeikh Makki bin Faruh al-Makki dan Sayyid Sa’d al-Balkhi al-Madani.

5. Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid di dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan dari pakar.

Keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI)

  1. Rokok

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia: Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam:

“Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.”

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke 41/1995 yang bersidang pada 29 Julai 1995 telah memutuskan bahawa:

“Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana terdapat kemudaratan.”

Antara negeri yang turut memfatwakan berkaitan rokok termasuklah seperti berikut:

  1. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Perlis pad tahun 1970 memutuskan bahawa menanam tembakau /merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah HARAM.[7]
  2. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Sarawak pada tahun 1995 memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan pada kesihatan dan pembaziran pada perbelanjaan.[8]
  3. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Kedah pada tahun 1995 memutuskan bahawa merokok adalah haram.[9]
  1. Fatwa yang tidak diwartakan di Wilayah Persekutuan pada tahun 1995 memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.[10]
  2. Fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada tahun 1996 memutuskan bahawa merokok adalah haram.[11]
  3. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Melaka pada tahun 2003 memutuskan bahawa menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahawa merokok adalah haram.[12]
  4. Fatwa yang diwartakan di Pulau Pinang pada tahun 2004 memutuskan bahawa Merokok adalah haram.[13]
  5. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Sembilan pada tahun 2012 memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.[14]
  6. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Pahang pada tahun 2012 memutuskan Hukum Merokok adalah haram.[15]
  7. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Johor pada tahun 2016 memutuskan bahawa menghisap rokok adalah haram. Justeru, mereka yang menghisap rokok adalah fasik kerana berkekalan dalam melakukan dosa kecil (menghisap rokok).[16]
  1. Rokok Elektrik

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-93 yang bersidang pada 25 Ogos 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan hukum menghisap rokok elektronik, shisha dan shisha stick. Fatwanya adalah:

“Hukum menghisap rokok elektronik, shisha dan shisha stick adalah haram kerana mendatangkan mudarat kepada tubuh badan manusia. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud “...dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Perkara ini selaras dengan Kaedah Fiqhiyah: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”.”

Pengharaman berkaitan rokok elektronik (vape) juga turut difatwakan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan negeri-negeri yang lain:

  1. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2015 memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.[17]
  2. Fatwa yang diwartakan di Negeri Johor pada tahun 2015 memutuskan bahawa menghisap vape adalah haram kerana ianya satu amalan yang bertentangan dengan hukum syara.[18]
  3. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Kedah pada tahun 2015 memutuskan bahawa hukum menghisap rokok elektronik (vape) dan “shisha stick” adalah HARAM kerana aktiviti tidak sihat ini akan menyebabkan berlaku kemudharatan dan pembaziran kepada masyarakat Islam.
  4. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Sabah pada tahun 2016 memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.[19]
  5. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Sarawak pada tahun 2016 memutuskan bahawa Hukum Rokok Elektronik dan Vape adalah haram di sisi syarak kerana ianya jelas menyalahi ‘maqasid syar’iyyah’ iaitu memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta termasuk dalam perkara keji.[20]
  1. Fatwa yang tidak diwartakn di Negeri Selangor pada tahun 2016 memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.[21]
  2. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Pulau Pinang pada tahun 2016 memutuskan bahawa penggunaan Rokok Elektronik dan Vape adalah haram.[22]
  3. Fatwa yang tidak diwartakan di Negeri Pahang pada tahun 2016 memutuskan Hukum Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape adalah haram kerana ianya memudharatkan kesihatan dan pembaziran.[23]

Manakala di peringkat badan fatwa antarabangsa antara yang mengharamkan rokok termasuklah:

  1. Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah (Badan Fatwa Jordan)[24]
  2. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Badan Fatwa Mesir)[25]
  3. Dar al-Ifta’ Libyah (Badan Fatwa Libya)[26]
  4. Al-Majlis al-Urubba li al-Ifta’ wa al-Buhus (European Council for Fatwa and Research)[27]
  5. Al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ (Badan Fatwa Palestin)[28]

Penutup

Sesungguhnya isu merokok adalah isu yang telah lama dibincangkan mengenai kesan buruk dan pengharamannya. Perlu diingatkan bahawa terdapat banyak akibat yang tidak baik berlaku kepada perokok dan orang sekelilingnya. Selain itu rokok juga menyebabkan pembaziran yang ketara yang melibatkan jutaan ringgit pada setiap tahun. Menurut Dr. Arifin yang merupakan salah seorang pengamal perubatan memaklumkan bahawa lebih tujuh juta daripada kematian di seluruh dunia adalah disebabkan oleh penggunaan tembakau manakala sekitar 1.2 juta adalah akibat daripada bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok[29]. Angka tersebut bertambah dari setahun ke setahun.

Sekali lagi ditegaskan bahawa pendapat yang paling kuat dan rajih hukum merokok adalah haram. Sekalung penghargaan kepada Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat yang bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar perokok di negara ini. Justeru, marilah bersama-sama untuk berganding bahu dan bekerjasama bagi membuang tabiat merokok dalam masyarakat di Malaysia. Marilah bersama-sama berpadu kekuatan untuk terus melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT dalam semua aspek kehidupan.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Rujuk: http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/vape

[2] Muhammad bin Ali, al-Syauwkani, Fathul Qadir, Beirut: Dar Ibn al-Kathir (1414H), jld. 1, hlm. 222.

[3] Ahmad bin Ali, al-Jassas, Ahkam al-Quran, Beirut: Dar al-Kutb al-Ilmiyyah (1994), jld. 3, hlm. 127.

[4] Ali bin Ahmad, Ibn Hazm, al-Muhalla bi al-Athar, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 7, hlm. 503.

[5]Muhammad bin Abdullah, al-Zarkasyi, Bahr al-Muhit fi Usul a-Fiqh, Jeddah: Dar al-Kutbiy (1994), jld. 1, hlm. 309.

[6] Ahmad bin Muhammad, al-Haithami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi  al-Syarwani wa al-Abbadi, Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah (1983), jld. 3, hlm. 69.

[7] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/11082

[8] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/11398

[9] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10669

[10] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15886

[11] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/11789

[12] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10570

[13] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/11260

[14] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/12384

[15] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/12478

[16] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15904

[17] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10333

[18] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15951

[19] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15404

[20] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15424

[21] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15457

[22] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/15428

[23] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/16177

[24] https://www.aliftaa.jo/Question1.aspx?QuestionId=1299

[25]https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/11799/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%AF%D8%AE%D9%8A%D9%86

[26]https://ifta.ly/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D8%AF%D8%AE%D9%8A%D9%86-%D9%88%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%AA%D8%A7%D8%AC%D8%B1%D8%A9-%D9%81%D9%8A%D9%87/3193/

[27]https://www.e-cfr.org/blog/2018/11/07/%d8%ad%d9%83%d9%85-%d8%a7%d9%84%d8%aa%d8%af%d8%ae%d9%8a%d9%86-%d9%88%d8%a7%d9%84%d9%85%d8%aa%d8%a7%d8%ac%d8%b1%d8%a9-%d8%a8%d8%a7%d9%84%d8%aa%d8%a8%d8%ba/

[28] http://www.fatawah.net/Fatawah/615.aspx

[29] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/merokok-lebih-27000-kematian-rakyat-malaysia-setiap-tahun-pengamal-perubatan-347776