Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-291: JAUHI SIKAP FANATIK DAN TAASUB YANG MELAMPAU

JAUHI_SIKAP_FANATIK_DAN_TAASUB_YANG_MELAMPAU.jpg

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Baru-baru ini, tular berkenaan seorang individu yang mendakwa dirinya berasal dari Maghribi dan merupakan keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW. Individu ini sedang berada dalam pantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai berkait dengan perbuatan mengutip dana awam secara tidak sah oleh mudir sebuah madrasah yang aktif mempromosi individu tersebut. Selain itu, dilaporkan juga bahawa terdapat cubaan untuk mewujudkan satu perkampungan kerajaan 9 di Melaka untuk persiapan menghadapi akhir zaman.[1] Kerajaan Maghribi juga telah memberi kenyataan mengesahkan bahawa beliau berasal dari Algeria dan tidak ada kaitan dengan Sharif Idrisi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain, sebaliknya hanya mengeksploitasi nasab suci Nabi Muhammad SAW untuk menarik perhatian pengikut.

Hal ini menyebabkan beliau mempunyai ramai pengikut dan penyokong yang mempercayainya dan mempertahankannya terutama di laman media sosial yang membawa kepada timbulnya kekecohan dan perdebatan serta pelbagai reaksi daripada banyak pihak sama ada yang mempertahankan atau yang menentang. Perkara ini menimbulkan kerisauan kerana melibatkan eksploitasi nasab mulia Rasulullah SAW untuk tujuan yang salah. Justeru, perlu untuk kami beri penjelasan kepada masyarakat untuk menghadapi isu ini dengan baik supaya tidak terpedaya dengan sebarang penyelewengan melalui penipuan atas nasab junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Pertama sekali, Islam melarang umatnya daripada fanatik atau taasub terhadap seseorang individu. Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٖ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرٗا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ ٧٧ ﴾

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan jangan lah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.

(Al-Maidah:77)

Konteks ayat ini menjelaskan peringatan Allah terhadap ahli kitab pada zaman nabi Muhammad SAW, iaitu Yahudi dan Nasrani supaya berlebih-lebihan dalam perkara yang bercanggah dengan agama sehingga berlaku penyelewengan dengan mereka mengangkat Nabi Isa AS menjadi tuhan. Penyelewengan dan penyesatan ini berlaku kerana mereka hanya mengikut orang-orang terdahulu mereka yang telah sesat dan menyesatkan[2]. Pengajaran juga perlu diambil oleh kita sebagai umat terkemudian untuk bersikap adil dan sederhana serta tidak menyanjung seseorang individu melebihi yang sepatutnya. Firman Allah SWT:

﴿ وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ ﴾

Maksudnya: Dan demikianlah, Kami jadikan kami (Wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan perbuatan kamu.

(Al-Baqarah: 134)

Sebaliknya, agama Islam menyuruh untuk setia dengan kebenaran sahaja yang ditimbang dengan al-Quran dan al-Sunnah, bukan dengan individu tertentu terutamanya yang diragui tahap ilmunya. Sikap taasub terhadap individu ini akan membuka ruang kesesatan dan penyelewengan daripada jalan yang benar kerana mengikuti seseorang itu secara buta dan akhirnya menyebabkan kerosakan kepada agama dan umat. Sabda Nabi SAW:

وإياكم والغلو في الدين، فإنما أهلك من كان قبلكم ‌الغلو في الدين.

Maksudnya: Dan janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama, maka sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kamu itu sikap berlebih lebih-lebihan dalam agama.

(Riwayat an-Nasa’ie)

Nabi SAW juga bersabda:

هلك المتنطعون، قالها ثلاثا.

Maksudnya: Celakalah orang yang melampaui batas (Baginda menyebutnya sebanyak tiga kali).

(Riwayat Muslim)

Kami juga melihat ada daripada masyarakat yang fanatik terhadap individu tersebut sehingga mengatakan wajah individu tersebut mirip dengan Rasulullah SAW, dan ini merupakan dakwaan bahaya dan memerlukan kepada kajian yang terperinci dengan merujuk kepada para ulama yang mengetahui sifat rupa paras Nabi SAW berdasarkan hadis-hadis yang diriwayatkan. Hal ini untuk mengelakkan kita menisbahkan kepada nabi perkara yang tidak sabit sekali gus menyebabkan kita terjerumus dalam golongan yang berdusta atas nama Nabi SAW seperti sabda Baginda SAW:

من كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار.

Maksudnya: Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di neraka.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa tiada beza dalam pengharaman sama ada berdusta atas nama nabi dalam hukum syariat atau dalam perkara yang tiada hukum seperti untuk tujuan targhib dan tarhib, nasihat, dan lain-lain. Hal ini kerana semua itu haram dan termasuk antara doa yang paling besar secara ijmak[3]. Dalam konteks isu ini, ancaman ini menuntut kita untuk lebih berhati-hati dalam menisbahkan persamaan wajah seseorang individu kepada Rasulullah SAW. Selain itu, penisbahan ini juga akan menyebabkan masyarakat mudah terikut dan menjadi taasub kepada individu tersebut sehingga mereka sanggup membuat apa sahaja untuk menyokong dan mempertahankan individu itu walaupun perbuatan itu jelas bersalahan dengan syariat dan undang-undang. Tambahan pula, jika dakwaan itu benar sekalipun tetap tidak menjamin segala perbuatan dan perkataan individu tersebut benar, ia masih perlu dinilai dari kaca mata agama.

Dalam hal ini, sesungguhnya golongan salaf al-salih amat ketat dalam menentukan kebenaran seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Rasulullah SAW. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Ibn al-Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari bahawa apabila seseorang mendakwa dia bermimpi melihat Rasulullah SAW kepada Ibn Sirrin, beliau akan menyuruhnya untuk menyifatkan karakteristik Rasulullah SAW. Jika dia menyifatkan kepada beliau sifat yang tidak diketahuinya tentang Rasulullah SAW, maka beliau akan berkata, ‘kamu tidak melihatnya’.[4]

Hal ini dikuatkan lagi daripada sikap Ibn ‘Abbas RA yang bertabayyun terhadap dakwaan seseorang yang mendakwa dia bermimpi berjumpa Baginda SAW. Dalam satu riwayat daripada Yazid al-Farisi bahawa dia berkata kepada Ibn Abbas RA bahawa beliau melihat Rasulullah SAW dalam mimpi. Lalu Ibn ‘Abbas meminta beliau untuk menyifatkan susuk tubuh yang beliau lihat dalam mimpi tersebut untuk memastikan kebenarannya.[5] Sikap ini menunjukkan bahawa golongan salaf al-salih begitu ketat untuk menerima dakwaan terhadap Rasulullah SAW contohnya seseorang itu mendakwa bermimpi berjumpa Rasulullah. Maka apatah lagi jika dakwaan yang lebih besar daripada itu seperti mendakwa seseorang sangat mirip dengan Rasulullah SAW.

Di samping itu juga, sesuatu dakwaan mestilah didatangi dengan bukti yang jelas dan kukuh. Hal ini dapat dibuktikan antaranya dengan persaksian daripada kalangan para sahabat R.Anhum yang pernah memandang wajah mulia Rasulullah SAW terhadap individu-individu yang mirip menyerupai Rasulullah SAW dengan dikuatkan seperti seorang tabi’in yang bernama Kabis Ibn Rabi’ah al-Samiy.[6] Walau bagaimanapun, pada zaman kini sukar untuk menentukan dakwaan tersebut kerana tiada cara untuk mengesahkannya kecuali dengan kefahaman para ulama berpandukan kepada hadis berkaitan syamail Rasulullah SAW.

Hal ini menuntut kita lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya terhadap dakwaan tersebut. Tambahan pula, jika dakwaan tersebut adalah sesuatu yang palsu dan sengaja direka-reka bagi tujuan memperoleh keuntungan dunia dan mendapatkan pengaruh yang luas dalam kalangan masyarakat. Tindakan mengambil kesempatan atas perkara ini merupakan suatu perkara yang tercela kerana melibatkan dakwaan yang palsu terhadap kemuliaan Rasulullah SAW.

Selain daripada itu, perlulah disemat dalam hati bahawa sesungguhnya nilai kemuliaan yang dipandang oleh Allah SWT adalah keimanan dan ketakwaan kepada-Nya dan tidak hanya bergantung kepada ketinggian nasab. Ini juga digambarkan dalam firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

(Surah al-Hujurat: 15)

Kemuliaan nasab pula tidak menjadikan seseorang itu lebih mulia berbanding golongan yang lain jika dia kurang dari sudut amalan kebaikannya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bahawa:

‌من ‌بطأ ‌به ‌عمله لم يسرع به نسبه

Maksudnya: Sesiapa yang lambat dari sudut amalannya, maka tidak akan dipercepatkan dengan nasabnya.

(Riwayat Muslim)

Menurut al-Baydawi, hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang lambat dari sudut amalannya iaitu disebabkan kekurangan dan kelemahan dirinya, maka kemuliaan nasabnya tidak akan membantu untuk menjadikannya lebih terkehadapan berbanding yang lain.[7] Oleh yang demikian, seseorang yang lebih banyak amalannya walaupun bukan daripada nasab keturunan yang mulia, maka dia lebih mulia berbanding seorang yang mulia nasabnya tetapi kurang amalannya.

Kesimpulan

i. Kita hendaklah mengambil tindakan yang rasional dan tidak bersikap fanatik dan taasub secara membuta-tuli terhadap individu tersebut sehingga melebihi daripada apa yang sepatutnya dilakukan. Hal ini kerana kemuliaan dan ketinggian darjat di sisi Allah SWT yang utama adalah dari sudut keimanan dan ketakwaannya, dan bukan hanya kepada kemuliaan nasabnya sahaja.

ii. Kita juga mencontohi golongan salaf al-salih yang mengambil sikap berwaspada dan berhati-hati terhadap apa jua dakwaan melibatkan Rasulullah SAW, khususnya berkaitan nasab keturunan Rasulullah SAW yang mulia dan kemiripan individu tertentu dengan susuk tubuh mulia Baginda SAW. Jika seseorang mendakwa dia bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW ditanya dan diminta untuk memberi penjelasan tentang sifat-sifat Rasulullah SAW, maka apatah lagi dakwaan seorang yang dikatakan mirip dengan wajah Rasulullah SAW dan digunakan bagi mendapatkan pengaruh dan keuntungan duniawi.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan:

[1] Rujuk Berita Harian, 21 Februari 2024, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1215184/pihak-berkuasa-pantau-kegiatan-lelaki-dakwa-jalur-ke-38-keturunan

[2] Ibn Kathīr, Ismail bin Umar bin Kathir, Tafsīr al-Qurān al-`Azhim, Tahkik: Samī bin Muḥammad Salāmah, Riyadh: Dar Taibah, Cetakan kedua, 1999, 3/159. Al-Baghawi, al-Husayn bin Mas`ud, Ma`ālim al-Tanzīl fī Tafsīr al-Qurān, Tahkik: Muhammad Abdullah al-Namr, Riyadh: Dar Taibah, Cetakan keempat: 1997, 3/83.

Teks arab daripada Tafsir Ibn Kathir:

"ثم قال: {قل يا أهل الكتاب لا تغلوا في دينكم غير الحق} أي: لا تجاوزوا الحد في اتباع الحق، ولا تطروا من أمرتم بتعظيمه فتبالغوا فيه، حتى تخرجوه عن حيز النبوة إلى مقام الإلهية، كما صنعتم في المسيح، وهو نبي من الأنبياء، فجعلتموه إلها من دون الله، وما ذاك إلا لاقتدائكم بشيوخ الضلال، الذين هم سلفكم ممن ضل قديما، {وأضلوا كثيرا وضلوا عن سواء السبيل} أي: وخرجوا عن طريق الاستقامة والاعتدال، إلى طريق الغواية والضلال."

Teks arab daripada Tafsir al-Baghawi:

"{قل يا أهل الكتاب لا تغلوا في دينكم غير الحق} أي: لا تتجاوزوا الحد، والغلو والتقصير كل واحد منهما مذموم في الدين، وقوله: {غير الحق} أي: في دينكم المخالف للحق، وذلك أنهم خالفوا الحق في دينهم، ثم غلوا فيه بالإصرار عليه"

[3] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Al-Minhāj Syarḥ Ṣaḥīḥ Muslim bin al-Ḥajjāj, Beirut: Dar Iḥya’ Al-Turath Al-`Arabi, Cetakan kedua, 1392H, 1/70

"لا فرق في تحريم الكذب عليه صلى الله عليه وسلم بين ما كان في الأحكام وما لا حكم فيه كالترغيب والترهيب والمواعظ وغير ذلك فكله حرام من أكبر الكبائر وأقبح القبائح بإجماع المسلمين"

[4] Al-Asqalani, Ibn Hajar, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, (Kaherah: Maktabah Salafiyyah, 1390H), 12:384.

قال: كان محمد - يعني ابن سيرين - إذا قص عليه رجل أنه رأى النبي صلى الله عليه وسلم قال: صف لي الذي رأيته، فإن وصف له صفة لا يعرفها قال: لم تره وسنده صحيح.

‌ووجدت ‌له ‌ما ‌يؤيده: فأخرج الحاكم من طريق عاصم بن كليب: حدثني أبي قال: قلت لابن عباس رأيت النبي صلى الله عليه وسلم في المنام قال: صفه لي، قال: ذكرت الحسن بن علي فشبهته به، قال: قد رأيته وسنده جيد.

[5] Al-Bajuri, Ibrahim Ibn Muhammad, al-Mawahib al-Laduniyyah ala al-Syamail al-Muhammadiah, (Damsyik: Dar al-Minhaj, 2011), 685.

قال رايت رسول الله صلى الله عليه وسلم في النوم ‌زمن ‌ابن ‌عباس رضي الله عنهما وكان يزيد يكتب المصاحف، قال فقلت لابن عباس أني رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في النوم، قال ابن عباس فإن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقول أن الشيطان لا يستطيع أن يتشبه فمن رآني في النوم فقد رآني فهل تستطيع أن تنعت لنا هذا الرجل الذي رأيت قال قلت نعم، رأيت رجلا بين الرجلين جسمه ولحمه أسمر إلى البياض، حسن المضحك، أكحل العينين، جميل دوائر الوجهن قد ملئت لحيته من هذه إلى هذه حتى كادت تملأ نحره، قال عوف لا أدري ما كان مع هذا من النعت، قال فقال ابن عباس لو رأيته في اليقظة ما استطعت أن تنعته فوق هذا.

[6] Ibn Jawziy, Abd al-Rahman Ibn Ali, Kasyf al-Musykil Min Hadis al-Sahihain, (Riyadh: Dar al-Watan, 1431H), 1:42.

وَكَانَ من التَّابِعين رجل يُقَال لَهُ كابس بن ربيعَة السَّامِي، ... كَانَ يُشبههُ ، فَبعث إِلَيْهِ مُعَاوِيَة فَقبل بَين عَيْنَيْهِ ، وأقطعه قطيعة ، وَكَانَ أنس بن مَالك إِذا رَآهُ بَكَى.

[7] Al-Baydawi, Nasiruddin, Tuhfat al-Abrar Syarh Masabih al-Sunnah, (Kuwait: Kementerian Wakaf Kuwait, 2012), 1:150.

وقوله:" ‌من ‌بطأ ‌به [‌عمله] لم يسرع به نسبه " أي: من أخره عمله لسوئه أو قصوره ، لم يقدمه شرف نسبه.