Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-107: AL-MUTABA’AT (المتابعات) DAN AL-SYAWAHID (الشواهد)

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan Al-Mutaba’at dan al-Syawahid?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berkaitan dengan persoalan di atas, kami ingin menjelaskan maksud kedua istilah tersebut dengan menukilkan sebuah matan yang dikarang oleh al-Hafiz Ibn Hajar daripada kitab beliau yang masyhur iaitu Nukhbah al-Fikar:

وَالفَرْدُ النِّسْبِيُّ إِنْ وَافَقَهُ غَيْرُهُ فَهُوَ المُتَابِعُ، وَإِنْ وُجِدَ مَتْنٌ يُشْبِهُهُ فَهُوَ الشَّاهِدُ، وَتَتبُّعُ الطُّرُقِ لِذَلِكَ هُوَ الاعْتِبَارُ

Maksudnya: “Adapun al-Fard al-Nisbi apabila ia (hadith fard) disokong oleh hadith lain yang sama dikenali sebagai al-Mutabi’ (dengan syarat hadith tersebut daripada guru yang sama).  Jika ditemui matan (hadith) yang hampir serupa dengan hadith tersebut maka ia dikenali dengan al-Syahid. Perbuatan mencari atau memeriksa sanad-sanad untuk perkara ini dikenali dengan al-I’tibar”.

 

Berdasarkan matan di atas, terdapat tiga istilah yang penting tetapi kami ingin menjelaskan hanya dua sahaja daripada tiga istilah tersebut pada Irsyad al-Hadith kali ini iaitu:

  • Al- Mutabi’ atau Al-Mutaba’at
  • Al-Syahid atau Al-Syawahid

 

Pertama: al-Mutaba’ah atau al-Mutaba’at

Definisi

Mutaba’at adalah jama’ bagi perkataan mutaba’ah (متابعة) yang bermaksud apabila seorang perawi meriwayatkan sebuah hadith dan dalam masa yang sama terdapat perawi yang lain bersama dengannya iaitu meriwayatkan hadith yang sama daripada guru (sahabat) yang sama.

 

Pembahagian al-Mutaba’ah atau al-Mutaba’at

Al-Mutaba’ah atau al-Mutaba’at terbahagi pada dua:

  • Mutaba’ah Tammah (متابعة تامة) iaitu penyertaan itu bermula daripada peringkat gurunyanya sehinggalah ke penghujung sanad.
  • Mutaba’ah Qasirah (متابعة قاصرة) iaitu penyertaan itu bermula daripada peringkat selepas daripada gurunya sehinggalah ke penghujung sanad.

 

Kedua: al-Syahid atau al-Syawahid

Definisi

Al-Syawahid adalah jama’ bagi perkataan al-Syahid yang bermaksud apabila  terdapat hadith lain yang diriwayatkan oleh sahabat yang lain dan hadith tersebut menyokong samada dari sudut lafaz atau makna hadith yang ingin disokong itu. Untuk itu, setiap seorang daripada mereka merupakan syahid kepada yang lain.

 

Contoh

Di sini kami akan nyatakan contoh bagi menjelaskan kedua istilah ini agar kita dapat memahaminya dengan lebih jelas:

 

  • Daripada Abu Salamah bin Abdulrahman, daripada Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW telah bersabda:

دَخَلَتِ امْرَأةٌ النَّارَ فِيْ هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا...

Maksudnya: “Telah dimasukkan seorang wanita ke dalam neraka disebabkan dia telah mengurung seekor kucing…”.

[Riwayat Imam Ahmad, no. Hadith 7232]

 

Setelah para ulama’ melakukan penelitian terhadap hadith ini, maka para ulama’ menjumpai bahawa hadith ini juga diriwayatkan oleh beberapa orang perawi yang lain antaranya Humaid bin Abdulrahman daripada Abu Hurairah RA. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 5621] Untuk itu, riwayat Humaid bin Abdulrahman ini dinamakan mutaba’ah atau tabi’ (تابع) bagi riwayat Abu Salamah.

Selain itu juga, para ulama’ juga menemui hadith ini telah diriwayatkan oleh sahabat yang lain selain daripada Abu Hurairah RA. Antara sahabat RA yang meriwayatkan hadith ini ialah Abdullah bin Umar RA, Jabir bin Abdillah RA dan Asma’ bin Abi Bakar RA. Untuk itu, riwayat-riwayat ini (iaitu riwayat Abdullah bin Umar RA, Jabir bin Abdillah RA dan Asma’ bin Abi Bakar RA) dinamakan syawahid atau syahid (شاهد) bagi riwayat Abu Hurairah RA.

Di sana terdapat sebahagian ulama’ mengatakan dalam menentukan samada ia mutaba’ah atau syawahid bukannya melihat pada makhraj hadith (sahabat) tetapi ia perlulah dilihat atau diukur pada lafaz atau makna hadith tersebut. Jika sama dari sudut lafaz dan makna maka ia dinamakan mutaba’ah. Manakala apabila berbeza lafaz tetapi maknanya sama maka ia dinamakan syawahid. Ini adalah pendapat al-Hakim dan juga Ibn Salah.

 

Faedah al-Syawahid

Antara faedah al-Syawahid adalah:

  • Menguatkan darjat hadith daripada hasan kepada sahih atau daripada dhaif kepada hasan.
  • Mengangkat atau menghilangkan keganjilan hadith tersebut.
  • Menafsirkan hadith yang mujmal dan menjelas yang mubham (tidak jelas).
  • Kadang-kadang ia boleh menjelaskan sebab wurud al-hadith.

 

Faedah al-Mutaba’ah

Antara faedah al-Mutaba’ah adalah:

  • Mengangkat atau menghilangkan keganjilan hadith tersebut.
  • Menafsirkan hadith yang mujmal dan menjelas yang mubham (tidak jelas).
  • Kadang-kadang ia boleh menjelaskan sebab wurud al-hadith.
  • Kadang-kadang apa yang datang daripada mutaba’ah boleh menghilang kecacatan yang terdapat dalam sesebuah riwayat yang lain.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.