Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-220: HAJJAJ BIN ARTHOH

Soalan: Siapakah Hajjaj bin Arthoh dan bagaimanakan dengan riwayatnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan seorang peribadi yang bernama Hajjaj bin Arthoh yang mana namanya sering kita dengar ketika membahaskan berkaitan ilmu rijal (ilmu berkaitan perawi-perawi). Imam al-Nawawi mensifatkan Hajjaj sebagai seorang imam di dalam hadith, fiqh dan beliau adalah selepas daripada generasi Tabi’in. [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 152/1] Maka dengan itu, sebelum kami nyatakan berkaitan hukum riwayat Hajjaj, adalah lebih baik jika kami nukilkan sedikit berkaitan latar belakangnya terlebih dahulu secara ringkas berdasarkan karya Imam al-Zahabi iaitu Siyar ‘alam al-Nubala’:

 

Latar Belakang Hajjaj

Nama beliau ialah Hajjaj bin Arthoh bin Thaur bin Hubairah al-Nakha’ie. Beliau merupakan seorang imam, alim, faqih, mufti bagi negeri Kufah bersama dengan Abu Hanifah dan juga seorang hakim. Selain itu, beliau lahir ketika Anas bin Malik (sahabat Nabi SAW) masih lagi hidup dan beberapa orang lagi sahabat Nabi SAW yang dikenali dengan sahabat yang kecil (صغار الصحابة) disebabkan usia mereka masih muda ketika Nabi SAW wafat.

 

Beliau meriwayatkan hadith daripada Ikrimah, Atha’, al-Hakam, Nafi’, Makhul dan ramai lagi. Adapun orang yang mengambil hadith daripadanya ialah Mansur bin al-Mu’tamir, Qais bin Sa’ad, Ibn Ishak, Syu’bah dan ramai lagi selain daripada yang disebutkan ini. Akan tetapi, walaupun beliau dikenali sebagai lautan ilmu (disebabkan banyak ilmunya), beliau turut diperkatakan orang berkaitan sikap sombongannya, tadlisnya di dalam hadith dan kurang hafalannya tetapi beliau tidaklah diabaikan (riwayat tidak diabaikan oleh ulama’ hadith). [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 68-69/7]

 

Tambahan pula, al-Haitham bin ‘Adiy mengatakan bahawa Hajjaj wafat di Khurasan.

Hukum Riwayatnya

Di sini kami nyatakan pendapat ulama’ berkaitan peribadi yang bernama Hajjaj ini:

 

  • Kata Yahya bin Ma’in: “Beliau adalah Soduq, tidak kuat dan melakukan tadlis terhadap Muhammad bin Ubaidillah al-‘Arzamiy.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 69/7]

 

  • Kata Yahya bin Said: “Hajjaj bin Arthoh dan Ibn Ishak disisiku adalah sama. Aku meninggalkan Hajjaj (riwayatnya) secara sengaja dan aku tidak menulis daripadanya satu hadith pun.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 69/7]

 

  • Kata Abu Zur’ah: “Hajjaj seorang yang soduq dan mudallis.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 69/7]

 

  • Kata Abu Hatim: “Beliau seorang yang soduq, melakukan tadlis terhadap perawi-perawi yang lemah dan ditulis hadithnya.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 69/7]

 

  • Kata Ibn al-Mubarak: “Kadang-kadang Hajjaj ini melakukan tadlis (di dalam riwayatnya).” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 70/7]

 

  • Kata al-Nasa’ie: “Hajjaj seorang perawi yang tidak kuat.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 70/7]

 

  • Kata al-Daraquthni: “Tidak boleh berhujah dengan Hajjaj (riwayat Hajjaj).” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 71/7]

 

  • Kata Ibn ‘Adiy: “Hajjaj adalah salah seorang perawi yang ditulis hadithnya.” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 70/7]

 

  • Kata Abu Bakar al-Khatib: “Hajjaj ialah salah seorang ulama’ di dalam hadith dan juga salah seorang huffaz (penghafal hadith yang banyak).” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 70/7]

 

  • Kata Syu’bah: “Tulislah daripada Hajjaj dan Ibn Ishak kerana keduanya adalah hafiz (di dalam hadith).” [Lihat: Siyar ‘alam al-Nubala’, 72/7]

 

  • Kata al-Nawawi: “Ulama bersepakat bahawa beliau melakukan tadlis dan jumhur telah mengdhaifkannya. Untuk itu, tidak boleh berhujah dengannya walaupun Syu’bah mengthiqahkannya dan juga sebahagian kecil ulama’ yang lain. [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 153/1]

 

  • Kata Ibn Hajar al-Asqalani: “Hajjaj adalah salah seorang daripada fuqaha’, banyak melakukan kesilapan dan beliau tergolong dalam kalangan orang yang melakukan tadlis pada tahap yang ketujuh.” [Lihat: Taqrib al-Tahzib, 152/1]

 

Pendapat Yang Dipilih

Setelah melihat sebahagian besar pendapat ulama’ di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa riwayat Hajjaj yang tidak boleh dijadikan hujjah melainkan riwayat tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa Hajjaj mendengar daripada perawi tersebut seperti lafaz “Telah diceritakan kepada kami (حدثنا).”

 

Pendapat ini adalah selari dengan pendapat Abu Hatim sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya: [Lihat: Tabaqat al-Mudallisin, 49/1]

 

إِذَا قَالَ حَدَّثَنَا فَهُوَ صَالِحٌ

Maksudnya: “Apabila dia menyebut “Telah diceritakan kepada kami (حدثنا)” maka ia adalah baik (boleh dijadikan hujjah).”

 

Selain itu juga, Syeikh Waliyuddin al-Iraqi berkata:

 

“Antara perawi yang mana ulama’ bersepakat bahawa riwayatnya tidak boleh dijadikan hujjah melainkan riwayatnya yang jelas menunjukkan bahawa dia mendengarnya daripada perawi tersebut disebabkan banyak melakukan tadlis terhadap perawi-perawi yang dhaif dan majhul (tidak dikenali) seperti Ibn Ishak dan Hajjaj bin Arthoh. Riwayat mereka ini dengan menggunakan “daripada (عَنْ)” dihukum sebagai mursal.” [Lihat: al-Mudallisin,110/1]

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam ilmu Hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.

 

Wallahua’lam