Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-277: UMUR PANJANG DIAMPUNKAN DOSA

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

سَأَلْتُ اللهَ فِي أَبْنَاءِ الأَرْبَعِيْنَ مِنْ أُمَّتِيْ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ. قُلْتُ : فَأَبْنَاءِ الخَمْسِيْنَ؟ قَالَ إِنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ. قُلْتُ: فَأَبْنَاءِ السِّتِّيْنَ؟ قَالَ: قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ

Maksudnya: “Aku telah meminta (keampunan) kepada Allah terhadap anak-anak yang berumur 40 tahun daripada umatku.” Maka Allah berfirman: “Wahai Muhammad, aku telah ampunkan mereka.” Aku berkata lagi: “Adakah untuk yang berumur 50 tahun juga.” Allah berfirman lagi: “Aku telah mengampunkan mereka semua.” Aku berkata sekali lagi: “Adakah untuk yang berumur 60 tahun juga.” Allah berfirman lagi: “Aku telah mengampunkan mereka semua.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Setiap manusia tidak mengetahui bilakah usianya akan berakhir. Akan tetapi, semua ini telah ada di dalam ilmu Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam banyak ayat al-Quran ketika membicarakan berkaitan ajal manusia. Di samping itu juga, Nabi SAW pernah menyebut di dalam sebuah hadith berkaitan usia atau umur umatnya iaitu:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ

Maksudnya: “Umur-umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu.” [Riwayat al-Tirmizi (3550)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi]

 

Tambahan pula, jika Allah SWT melanjutkan usia atau umur seseorang itu adalah bertujuan agar mereka berfikir serta mempelajari agama ini. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran menerusi firman Allah SWT:

 

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ

al-Fatir:37

Maksudnya: “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir.”

 

Syeikh Sayyid al-Tantawi menyatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT menegur insan-insan yang terus kekal dan lalai dengan kehidupan dunia sedangkan usia mereka itu mampu untuk mencari kebenaran atau cahaya keimanan. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 352/11]

 

Berdasarkan soalan di atas, riwayat tersebut ada dinukilkan di dalam kitab al-Jami’ al-Saghir karya Imam al-Suyuthi. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 455/1, no. Hadith 4600] Akan tetapi, riwayat tersebut sanadnya dinilai sebagai dhaif sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab al-Siraj al-Munir. [Lihat: al-Siraj al-Munir, 205/3]

 

Tambahan pula, riwayat ini juga dinilai dhaif oleh al-Albani ketika beliau mentakhrijkan hadith-hadith di dalam kitab al-Jami’ al-Saghir ini. [Lihat: Dhaif al-Jami’, 472/1] Selain itu, Syeikh Ali bin Hasan bin Ali al-Halabi meletakkan riwayat ini di dalam kumpulan hadith-hadith dhaif dan palsu. [Lihat: Mausu’ah al-Ahadith wa al-Athar al-Dha’ifah wa al-Mawdhu’ah, 200/5]

 

Untuk itu, kami cenderung bahawa riwayat tersebut adalah dhaif. Akan tetapi berkaitan umur ini ada disebutkan oleh Nabi SAW di dalam hadith-hadith yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga Imam Ahmad iaitu:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَعْذَرَ اللَّهُ إِلَى امْرِئٍ أَخَّرَ أَجَلَهُ، حَتَّى بَلَّغَهُ سِتِّينَ سَنَةً

Maksudnya: “Allah SWT menghilangkan keuzuran bagi sesiapa yang dilewatkan ajalnya (dipanjangkan usianya) ketika dia sampai usia 60 tahun.” [Riwayat al-Bukhari (6419)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ عُمِّرَ سِتِّينَ سَنَةً، أَوْ سَبْعِينَ سَنَةً، فَقَدْ عُذِرَ إِلَيْهِ فِي الْعُمُرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun atau 70 tahun, maka Allah tidak menerima alasam disebabkan umurnya itu.” [Riwayat Ahmad (9251)][Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ أَتَتْ عَلَيْهِ سِتُّونَ سَنَةً، فَقَدْ أَعْذَرَ اللهُ إِلَيْهِ فِي الْعُمُرِ

Maksudnya: “Sesiapa yang sampai usianya 60 tahun, maka Allah tidak menerima alasan disebabkan umurnya itu.” [Riwayat Ahmad (8262)][Riwayat ini sanadnya adalah kuat menurut Syeikh Syu’aib dan riwayat ini dijadikan sebagai syawahid (sokongan kepada hadith lain) oleh Imam Muslim]

 

Hadith-hadith di atas menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Allah SWT memanjangkan usia seseorang itu adalah supaya mereka menggunakan peluang tersebut pada perkara-perkara ketaatan supaya ia tidak menjadi hujjah di akhirat kelak disebabkan sedikitnya amalan seseorang itu.

 

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, makna hadith tersebut adalah tidak berbaki lagi keuzuran (tidak menerima alasan) bagi sesiapa yang telah dipanjangkan usianya oleh Allah SWt seperti mereka berkata “jika Allah memanjangkan usia aku pasti aku melakukan apa yang telah diperintahkan.” Dihilangkan keuzuran (tidak diterima alasan) tersebut adalah kerana seseorang itu telah mencapai penghujung kepada keuzuran dan mereka juga mampu untuk melakukannya di samping tiada lagi keuzuran buatnya untuk meninggalkan ketaatan kerana mereka mampu untuk melakukannya apabila dikurniakan usia yang sedemikian. Maka, tidak layak seseorang itu ketika berada pada usia sedemikian menyibukkan diri mereka melainkan pada perkara seperti istighfar (memohon ampun kepada Allah), melakukan ketaatan dan juga mempersiapkan diri sepenuhnya untuk menghadapi hari Akhirat. [Lihat: Fath al-Bari, 240/11]

 

Penutup

Kesimpulannya, setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan juga hari akhirat tidak boleh mensia-siakan usia yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Usia atau umur tesebut perlulah diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti melakukan amal soleh dan menuntut ilmu. Akhirnya, marilah bersama-sama kita merenung sabda Nabi SAW apabila Baginda SAW ditanya berkaitan siapakah manusia yang terbaik.

 

  • Daripada Abi Bakrah RA berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?.” Rasulullah SAW menjawab:

 

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ

Maksudnya: “Siapa yang usianya dan baik amalannya.” [Riwayat al-Tirmizi (2330)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

 

Semoga Allah SWT memberkati usia kita dan memimpin kita agar terus beristiqamah dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT supaya kita semua akan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT di akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam