Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-289: MENCIUM AL-QURAN

 

 

 

 

ih289.png

 

Soalan

Adakah benar mencium al-Quran merupakan amalan Ikrimah bin abu jahal kerana cintanya akan al-Quran?

 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk menceritakan secara ringkas berkaitan Ikrimah bin Abi Jahal:

Nama sebenar beliau ialah Ikrimah bin ‘Amru bin Hisyam bin al-Mughirah al-Qurasyi al-Makhzumi. Bapa beliau ialah Abu Jahal yang mana kunyah (كُنْيَة) beliau yang sebenar ialah Abu al-Hakam. Akan tetapi, Rasulullah SAW menukar kunyahnya kepada Abu Jahal (daripada Abu al-Hakam). Ikrimah merupakan seorang yang sangat bermusuh dengan Rasulullah SAW pada zaman Jahiliyyah sama dengan bapanya. Beliau juga merupakan seorang tentera kuda yang masyhur dan beliau melarikan diri ketika pembukaan kota Makkah. [Lihat: al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab, 1082/3]

Menurut Imam Abu Nu’aim al-Asbahani, Ikrimah telah memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah dan syahid ketika zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab di al-Yarmouk. Dikatakan juga bahawa beliau telah syahid di Ajnadain. [Lihat: Ma’rifah al-Sahabah, 2171/4]

Berbalik kepada soalan di atas, hukum mencium al-Quran telah menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’. Ini kerana, tidak ada dalil yang jelas daripada Nabi SAW bahawa baginda SAW menciumnya. Namun, sebahagian ulama’ yang cenderung kepada keharusannya bersandarkan kepada sebuah athar yang disandarkan kepada perbuatan Ikrimah bin Abi Jahal. Athar tersebut adalah:

 

كَانَ عِكْرِمَةُ بْنُ أَبِي جَهْلٍ يَأْخُذُ الْمُصْحَفَ فَيَضَعُهُ عَلَى وَجْهِهِ وَيَبْكِي وَيَقُولُ: كَلَامُ رَبِّي كِتَابُ رَبِّي

Maksudnya: “Adapun Ikrimah bin Abi Jahal RA mengambil mushaf (al-Quran), lalu meletakkannya di wajahnya dan menangis sambil berkata: Ini adalah ucapan Tuhanku, ini kitab Tuhanku.” [Riwayat al-Thabarni di dalam Mu’jam al-Kabir (1018), al-Hakim di dalam al-Mustadrak (5062) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (2037)]

Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak menyatakan hukum riwayat ini adalah mursal. Tambahan pula, Imam al-Nawawi mengatakan bahawa athar ini sanadnya adalah sahih disisi al-Darimi, daripada Ibn Abi Mulaikah, daripada Ikrimah. Justeru, kami katakan bahawa riwayat Ikrimah ini adalah dhaif disebabkan sanadnya terputus kerana salah seorang perawi bernama Ibn Abi Mulaikah tidak bertemu dengan Ikrimah bin Abi Jahal kerana jarak yang amat jauh dan kebarangkalian untuk bertemu adalah mustahil.

Adapun, berkaitan hukum mencium al-Quran pula, di sini kami datangkan beberapa pandangan para ulama berkaitan hal ini. Di antaranya:

  • Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari, dinukilkan daripada Ibn Abi al-Saif al-Yamani salah seorang ulama’ Makkah daripada kalangan ulama’ bermazhab al-Syafie bahawa dibolehkan untuk mencium al-Quran. [Lihat: Fath al-Bari, 475/3]
  • Kata al-Bujairimi dan Imam al-Subki menjadikan dalil dibolehkan mencium al-Quran adalah dengan diqiyaskan dengan perbuatan mencium al-Hajar al-Aswad. [Lihat: Hawasyi al-Syarawani, 155/1]
  • Kata al-Safarini (bermazhab al-Hanbali) dibolehkan mencium al-Quran, sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ahmad bahawa digalakkan kerana Ikrimah bin abi jahal RA melakukan perbuatan tersebut. Ia diriwayatkan oleh Jemaah di antaranya al-Darimi dengan sanad yang sahih. [Lihat: Ghiza’ al-Albab, 316/1]
  • Kata Imam al-Zarkashi bahawa digalakkan untuk mencium al-Quran kerana Ikrimah bin Abi jahal menciumnya. Perkara ini diqiyaskan dengan mencium Hajar al-Aswad. Ini kerana, al-Quran merupakan hadiah untuk hamba-hamba-Nya maka digalakkan untuk menciumnya sebagaimana digalakkan untuk mencium anak-anak kecil. [Lihat: al-Burhan fi Ulum al-Quran, 478/1]

Tambahan pula, di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan bahawa hukum mencium al-Quran di sisi mazhab al-Hanafi adalah dibenarkan dan ini juga merupakan pendapat yang masyhur di dalam mazhab Imam Ahmad. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan bahawa Umar al-Khattab RA dan Uthman bin Affan RA melakukan hal sedemikian. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 133/13]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, maka kami cenderung kepada pandangan bahawa dibolehkan untuk mencium al-Quran sebagai tanda cinta dan tingginya nilai al-Quran itu. Walaupun di sana terdapat pandangan ulama yang bermazhab al-Maliki mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah makruh sepertimana dinyatakan di dalam kitab Manh al-Jalil kerana di sana tidak terdapat nas yang jelas bahawa Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut.

Penutup

Kesimpulannya, riwayat Ikrimah adalah dhaif kerana ia dinilai sebagai dhaif disebablkan sanadnya terputus. Walaupun begitu, al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang mulia dan wajib ke atas kita untuk memuliakannya. Selain itu, perbuatan tersebut bukanlah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu melakukannya dengan bertujuan untuk meninggikan al-Quran serta menzahirkan kecintaannya terhadap al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati kita semua dengan al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai syafaat untuk kita semua di hari Akhirat kelak. Amin.