Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-301: YASIN DAN TAHA MERUPAKAN NAMA NABI MUHAMMAD SAW

 

 

ih301.png

 

Soalan: Apakah benar Taha dan Yasin merupakan nama nabi Muhammad SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Nabi Muhammad SAW mempunyai beberapa nama atau gelaran yang lain sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih. Antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

 

  • Daripada Mut’im, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لِي خَمْسَةُ أَسْمَاءٍ: أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ وَأَنَا المَاحِي الَّذِي يَمْحُو اللَّهُ بِي الكُفْرَ، وَأَنَا الحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي، وَأَنَا العَاقِبُ

Maksudnya: “Aku mempunyai lima nama iaitu Muhammad, Ahmad, aku juga penghapus yang mana Allah SWT menghapuskan kekufuran denganku, aku penghimpun yang mana manusia akan berhimpun di bawah kakiku dan aku juga nabi terakhir.” [Riwayat al-Bukhari (3532)]

 

Tambahan pula, terdapat sebuah lagi riwayat yang sahih daripada Imam Muslim yang menceritakan nama-nama Nabi SAW yang lain:

 

  • Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Nabi SAW pernah menyebut kepada kami beberapa nama Baginda SAW:

 

أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَحْمَدُ، وَالْمُقَفِّي، وَالْحَاشِرُ، وَنَبِيُّ التَّوْبَةِ، وَنَبِيُّ الرَّحْمَةِ

Maksudnya: “Aku adalah Muhammad, Ahmad, Nabi yang terakhir, aku penghimpun, nabi yang mengajar taubat dan nabi yang membawa rahmat.” [Riwayat Muslim (2355)]

 

Melihat kepada dua buah hadith di atas, maka kita fahami bahawa Rasulullah SAW mempunyai beberapa nama yang Baginda SAW sendiri menamakannya dengan dirinya. Adapun di dalam al-Quran, terdapat terlalu banyak nama atau gelaran yang diberikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW seperti:

 

  • Firman Allah SWT:

 

وَقُلْ إِنِّي أَنَا النَّذِيرُ الْمُبِينُ

al-Hijr:89

Maksudnya: “Dan katakanlah: Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar).”

 

Berdasarkan soalan di atas, nisbah Yasin dan Taha kepada salah satu daripada nama nabi Muhammad SAW adalah datang daripada sebuah riwayat yang dinukilkan Imam al-Qadhi bin ‘Iyadh di dalam kitabnya al-Syifa tetapi dengan sighah tamridh. [Lihat: al-Syifa, 448/1] Selain itu, ia juga dinukilkan oleh Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya [Lihat: Tarikh Dimashq, 28-29/3] dan Ibn ‘Adiy di dalam kitabnya al-Kamil. [Lihat: al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal, 509/4] Selain itu, dikatakan juga bahawa ia terdapat di dalam syair-syair arab.

Bagi menjawab persoalan ini, di sini kami cuba untuk menukilkan beberapa pandangan daripada ahli tafsir di dalam hal ini. Antaranya, Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya menyatakan bahawa Taha adalah salah satu daripada jumlah huruf al-Muqatha’ah yang terdapat pada permulaan banyak surah dan ia bukanlah daripada nama Nabi SAW. [Lihat: Taysir al-Karim al-Rahman, 501/1]

Adapun pandangan Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, pandangan yang menyatakan bahawa Taha adalah merupakan nama Nabi Muhammad SAW adalah pendapat yang diterima. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 1509/2] Manakala Yasin pula dikatakan ia adalah nama Nabi Muhammad SAW dan ia juga dikatakan sebagai huruf al-Muqatha’ah. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 2144/3]

Justeru itu, kami katakan bahawa ulama’ berbeza pandangan dalam masalah ini dan kami juga menyatakan bahawa tidak menjadi masalah untuk memilih mana-mana pandangan di dalam isu ini kerana ia tidak melibatkan hukum-hakam atau usul di dalam aqidah.

 

Penutup

Kesimpulannya, menisbahkan Rasulullah SAW dengan nama-nama yang baik tidak menjadi masalah walaupun ia datang daripada riwayat yang dhaif. Sebahagian para ulama’ bertasahul (tidak terlalu rijid) dalam masalah ini selagimana ia tidak menyentuh hal berkaitan halal haram dan usul aqidah. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama dan kekuatan dalam mencontohi sifat keperibadian Nabi Muhammad SAW. Amin.

 

Wallahua’lam