Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih303.png

 

 

Soalan: Apakah dibenarkan untuk menyapu muka selepas berdoa?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Doa merupakan satu ibadah yang dituntut ke atas setiap insan sama ada dalam keadaan senang atau susah. Ini kerana, doa akan menghubungkan secara terus di antara insan itu dengan Tuhannya. Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat sebuah hadith yang menceritakan bahawa Nabi SAW tidak akan meletakkan tangannya selepas berdoa melainkan setelah Baginda SAW menyapu mukanya:

 

  • Daripada Umar bin al-Khattab berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW mengangkat kedua tangannya ketika berdoa dan Baginda tidak akan meletakkan kedua tangannya sehingga Baginda menyapu keduanya ke muka Baginda SAW.” [Riwayat al-Tirmizi (3386)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hadith yang gharib]

 

Imam al-San’ani menyatakan bahawa hadith ini mempunyai beberapa syawahid (sokongan). Antaranya di sisi Abu Daud daripada riwayat Ibn Abbas R.anhuma dan selain daripada beliau. Dengan itu, kesemua jalur atau riwayat yang ada itu mengangkat hadith tersebut ke tahap hasan. [Lihat: Subul al-Salam, 709/2]

Syeikh al-Mubarakfuri berkata, hadith ini menjadi dalil atau petunjuk akan tuntutan menyapu muka dengan dua tangan selepas selesai berdoa. Dikatakan bahawa di antara munasabah bahawa Allah SWT tidak tidak akan memulangkan orang yang berdoa dengan kosong, menunjukkan bahawa seakan-akan rahmat Allah itu jatuh di atas kedua tangan tersebut. Maka, ia (kedua tangan) diletakkan di muka kerana muka adalah anggota badan yang paling mulia dan paling berhak untuk dimuliakan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 232/9]

Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa menyapu muka selepas selesai daripada berdoa termasuk di dalam adab-adab berdoa. Hal ini ada disebutkan di dalam kitab al-Majmu’:

 

وَمِنْ آدَابِ الدُّعَاءِ كَوْنُهُ فِي الْأَوْقَاتِ وَالْأَمَاكِنِ وَالْأَحْوَالِ الشَّرِيفَةِ وَاسْتِقْبَالُ الْقِبْلَةِ وَرَفْعُ يَدَيْهِ وَمَسْحُ وَجْهِهِ بَعْدَ فَرَاغِهِ

Maksudnya: “Antara adab berdoa adalah memilih waktu-waktu, tempat-tempat dan keadaan-keadaan yang mulia, mengadap ke arah kiblat, mengangkat tangan, menyapu muka selepas selesai daripadanya.[Lihat: al-Majmu’, 655-656/4]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, isu menyapu muka selepas daripada berdoa merupakan masalah yang diperselisihi oleh para ulama’. Ada yang menyatakan bahawa hadith yang menunjukkan perbuatan Nabi SAW menyapu muka selepas daripada berdoa adalah hadith yang dhaif dan tidak boleh dijadikan hujjah. Sebahagian lagi menyatakan ia boleh dijadikan hujjah sebagaimana yang kami nukilkan daripada Imam al-San’ani bahawa hadith tersebut menjadi hasan dengan syawahid (sokongan daripada riwayat yang lain). Justeru itu, kami cenderung kepada pandangan yang menyatakan bahawa tidak menjadi masalah untuk menyapu muka selepas daripada berdoa kerana ia termasuk di dalam adab-adab berdoa sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

 

Penutup

Kesimpulannya, menyapu muka selepas daripada berdoa termasuk di dalam adab-adab berdoa tetapi jika seseorang itu tidak menyapu mukanya selepas berdoa tidaklah menjadi kesalahan kerana perbuatan tersebut bukanlah bersifat wajib. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini. Amin.

 

Wallahua'lam