Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih304.png

 

Soalan: Apakah status dan makna hadith ini?

 

تَخَلَّقُوْا بِأَخْلَاقِ اللهِ

Maksudnya: “Berakhlaklah kamu seperti akhlak Allah.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setiap orang yang beriman itu dituntut untuk mencontohi sifat-sifat yang terpuji. Ini kerana, agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak. Disebabkan itu, antara sebab Nabi SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

 

Di dalam al-Quran juga, Allah SWT telah mengakui bahawa kekasih-Nya Rasulullah SAW adalah merupakan contoh teladan yang terbaik untuk diikuti sebagaimana firman-Nya:

 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

al-Ahzab:21

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

 

Berdasarkan persoalan di atas, kami tidak menemui hadith atau riwayat seperti di atas yang menuntut agar kita berakhlak seperti akhlak Allah di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar. Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya menyatakan athar (riwayat) ini adalah riwayat yang bathil (tidak sahih). [Lihat: Madarij al-Salikin, 227/3]

Akan tetapi, perkara ini ada disebut di dalam kitab-kitab yang menyeru agar berakhlak dengan akhlak Allah SWT. Tetapi mereka menyatakan makna berakhlak dengan akhlak Allah adalah dengan mengikuti sifat-sifat yang mahmudah (terpuji) serta menjauhi sifat-sifat mazmumah (terkeji). Tambahan pula, antara yang menyebut agar berakhlaklah dengan akhlak Allah tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW adalah Imam al-Ghazali di dalam kitab al-Ihya’. [Lihat: Ihya’ Ulum al-Din, 306/4] Di samping itu juga, Imam al-Ghazali ada menamakan salah satu bab daripada karya beliau iaitu al-Maqsad al-Asna dengan bab pada menjelaskan kesempurnaan seorang hamba serta kebahagiannya adalah dengan berakhlak dengan akhlak Allah SWT. [Lihat: al-Maqsad al-Asna, 45]

Selain itu, Syeikh al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 29/6] dan Syeikh al-Abadi di dalam ‘Aun al-Ma’bud juga ada menyebut berkaitan galakan berakhlak dengan akhlak Allah SWT. [Lihat: ‘Aun al-Ma’abud, 36/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith atau riwayat tersebut adalah tidak sahih daripada Nabi SAW dan kita sama sekali dilarang untuk menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan bahawa ia adalah tidak sabit daripada Rasulullah SAW. Akan tetapi, maknanya boleh diterima dengan memahaminya bahawa kita dituntut untuk mengikut segala sifat-sifat kesempurnaan yang ada pada Allah melainkan pada sifat-sifat yang hanya khusus bagi Allah SWT seperti al-khaliq (Yang Mencipta) dan lain-lain lagi. Selain itu, antara sifat Allah yang boleh kita contohi adalah seperti al-Qawi (kuat) kerana Allah SWT sukakan hamba-Nya yang kuat sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith Nabi SAW bahawa Allah SWT kasih kepada hamba-Nya yang kuat berbanding hamba-Nya yang lemah. Akhirnya, marilah sama-sama kita cuba untuk menjadi seorang muslim yang baik pada peribadi atau akhlak dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Amin.

 

Wallahua’lam