Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

nabi diracun.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah Rasulullah SAW pernah diracun dan bagaimana kisahnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan daripada Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakpuri dalam bukunya, beliau berkata:

“Selepas Rasulullah SAW berasa tenteram daripada ancaman Khaibar selepas penaklukannya, Zainab bint Harith, isteri Salam ibn Misykam memberinya daging biri-biri panggang. Sebelum itu dia bertanya kepada orang ramai, bahagian manakah yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Telah dikatakan kepadanya bahawa bahagian yang paling disukai oleh Baginda adalah bahagian paha. Maka Zainab lalu meletakkan racun yang sangat banyak pada bahagian paha tersebut. Kemudian bahagian-bahagian lain juga diletakkan sedikit racun. Selepas itu, dia membawanya kepada Rasulullah SAW.

Apabila hidangan tersebut diletakkan di hadapan Rasulullah SAW, Baginda terus mengambil bahagian paha. Baginda mengunyahnya sekali, tetapi tidak menelannya dan terus memuntahkannya. Kemudian Baginda bersabda:

إِنَّ هَذَا الْعَظْمَ لَيُخْبِرُنِي أَنَّهُ مَسْمُومٌ

Maksudnya: Sesungguhnya tulang kambing ini memberitahuku bahawa ia telah diracun.

Selepas itu Baginda memanggil Zainab binti Harith untuk menghadap dan dia pun mengakui perbuatannya. Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang mendorongmu untuk berbuat demikian?” Dia menjawab: “Jika engkau seorang raja, maka pasti engkau akan terus mati. Jika engkau seorang nabi, maka engkau akan diberi perlindungan oleh Allah.” Maka Rasulullah SAW membiarkannya.

Ketika itu Bisyr ibn Barra’ ibn Ma’rur ada bersama-sama dengan Baginda. Dia telah menelan daging, lalu dia terus meninggal dunia. Riwayat-riwayat yang lain, ada juga berbeza dalam berpendapat, adakah Rasulullah SAW membiarkan wanita itu atau membunuhnya. Jika dilihat kembali, pada awalnya Rasulullah SAW membiarkannya. Namun setelah Bisyr meninggal, Rasulullah SAW membunuhnya sebagai qisas. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/139-140; Fath al-Bari, 7/497. Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 558-559)

Semoga Allah selamatkan kita daripada diracun dan disihir serta daripada mereka yang mempunyai hasad dengki. Amin.