Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-320: FIQH HADITH DARIPADA HADITH BERDUSTA DI ATAS NAMA NABI SAW

 

ih320.png

 

Soalan: Apakah fiqh atau faedah yang boleh difahami daripada hadith ini?

 

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (110)]

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdusta atau berbohong atau menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW adalah dilarang sama sekali. Bahkan, perbuatan tersebut adalah haram dilakukan. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah tempatnya di neraka. Banyak hadith-hadith berkaitan larangan berdusta di atas nama Nabi SAW di antaranya adalah hadith di atas.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan nukilan daripada Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417 H) yang mana beliau memuatkan pendapat Imam al-Nawawi (676 H) pada menyatakan beberapa fiqh hadith atau kaedah-kaedah yang boleh diambil daripada hadith yang penting ini. Di antaranya adalah:

 

  • Pertama: Menurut kaedah ahli sunnah, berdusta adalah satu khabar daripada seorang yang memang sengaja atau lalai terhadap sesuatu yang mana khabar tersebut menyalahi hakikat yang sebenar.
  • Kedua: Besarnya pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW dan ia merupakan perkara yang begitu keji dan termasuk di dalam dosa-dosa besar. Akan tetapi, seseorang itu belum lagi kufur jika dia berdusta melainkan sekiranya dia menghalalkan perbuatan tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur dalam kalangan mazhab daripada pelbagai sudut.
  • Ketiga: Tidak ada perbezaan pada pengharaman berdusta di atas nama Nabi SAW sama ada pada hukum-hakam atau tidak seperti pada bab targhib (galakan) atau tarhib (ancaman), mawa’izh (peringatan) dan sebagainya. Ini kerana, kesemuanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa yang besar serta seburuk-buruk perkara menurut ijma’ umat Islam.
  • Keempat: Haram meriwayatkan sesebuah hadith yang mana diketahui akan kepalsuannya atau seseorang itu merasakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Barangsiapa yang meriwayatkan sesebuah hadith yang diketahui akan kepalsuannya atau pada sangkaannya hadith tersebut adalah palsu dan dia tidak menjelaskan hal tersebut, maka dia termasuk di dalam ancaman hadith ini.

 

Tambahan pula, Imam al-Nawawi menutup perbahasan ini dengan menyatakan bahawa sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka disebabkan perkara ini, maka dia tidak akan kekal di dalamnya. Ini kerana, seseorang itu akan dikeluarkan daripada neraka dengan kelebihan dan rahmat Allah SWT selagimana ada iman atau tauhid di dalam jiwanya. [Lihat: Lamhat Min Tarikh al-Sunnah Wa Ulum al-Hadith, 83-89]

Selain itu, kepada sesiapa yang ingin membaca dan mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan hadith palsu ini berkaitan definisi, sejarah, tujuan, hukum, tanda-tanda dan sebagainya, bolehlah membacanya di laman web rasmi kami pada kolum Irsyad al-Hadith siri ke-249 kerana kami telah membahasnya secara panjang lebar.

 

Penutup

Justeru itu, menjadi kewajipan terhadapa kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampai sesebuah hadith Nabi SAW, perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut sebelum menyebarkannya kepada orang lain kerana bimbang dengan tidak menyatakan sumber atau hukum hadith akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW tersebut. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin melihat Islam ini hancur. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menjaga lidah kita daripada melakukan sebarang pendustaan di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua'lam