Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

MANHAJ AHLI HADITH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, saya ingin bertanya, bagaimanakah manhaj ahli hadith dalam mengistinbatkan hukum?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan takrif muhaddith terlebih dahulu. Muhaddith pada bahasa ialah orang yang meriwayatkan (rawi) hadith Rasulullah SAW. (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, hlm. 160)

Pada istilah, para ulama’ telah memberikan definisi yang berbeza-beza berkaitan maksud ahli hadith. Antaranya ialah:

  • Al-Khatib al-Baghdadi Rahimahullah berkata: “Di dalam ahli hadith terdapat orang alim, faqih (ahli feqah), khatib, pendakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara yang mungkar. Allah SWT jadikan mereka sebagai tiang atau rukun di dalam syariat, pemusnah kepada perkara bid’ah yang direka, mereka merupakan wakil-wakil Allah dalam mentadbir alam ini, mereka juga menjadi perantara antara Nabi SAW dan umatnya serta mereka ini adalah mujtahid (orang yang bersungguh-sungguh) menjaga agama ini...”. (Lihat Syaraf Ashab al-Hadis, hlm. 4)
  • Ibn Taimiyyah Rahimahullah pula berkata: “Ahli hadis ialah satu golongan yang berjaya, mereka ini adalah pengikut kepada sunnah Rasulullah SAW dan mereka tidak melampau (ta’assub) dalam mengikut tokoh tertentu melainkan mereka ini bersungguh-sungguh dalam mengikut petunjuk Nabi SAW”. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 3/347)
  • Imam al-Sakhawi Rahimahullah berkata: “Menurut sebahagian Imam hadith, orang yang disebut dengan ahli hadith (Muhaddith) ialah orang yang pernah menulis hadis, membaca, mendengar, dan menghafazkan, serta mengadakan rehlah (perjalanan) ke pelbagai tempat untuk mendapatkan hadis, mampu merumuskan beberapa aturan usul (hadis), dan memberi komentar pada furu’ daripada kitab-kitab Musnad, Illat, Tarikh yang mencapai lebih kurang 1000 buah karangan. Jika demikian (syarat-syarat ini dipenuhi), maka tidak diingkari bahawa dirinya adalah ahli hadith. (Lihat Fath al-Mughith oleh al-Sakhawi, 1/65-66)

Di antara contoh ahli hadith ialah seperti Imam Malik bin Anas, Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’ie, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Sufyan al-Thauri, Imam Abu Ja’far al-Tahawi, Imam al-Bukhari, Imam Muslim, Ibn Mandah, al-Darimi, al-Daraqutni, Abu ‘Awanah, Ibn Khuzaimah, Ibn Abi Zaid, Ibn ‘Abd al-Bar, Abu Hatim al-Razi, al-Hakim al-Naisaburi, Abu Nu’aim al-Asbahani, al-Khatib al-Baghdadi dan ramai lagi.

Pada zaman mutakhir ini juga, nama-nama seperti al-Qasimi, Syeikh Ahmad Syakir, Syeikh Abd al-Qadir al-Arna’uth, Syeikh Syu’aib al-Arna’uth, Syeikh Makki al-Kattani, Syeikh al-A’zami, Syeikh Hammad al-Ansari, Syeikh Abdul Muhsin ‘Abbad, Syeikh Yasin al-Fadani, keluarga al-Ghumari, Syeikh Hasan Walad Dedew dan lain-lain yang berkhidmat untuk hadith boleh juga dianggap sebagai ahli hadith.

Menjawab persoalan di atas, dalam mengistinbatkan hukum, ahli hadis menggunakan manhaj seperti berikut:

  • Apabila terdapat ayat al-Quran yang membicarakan sesuatu permasalahan, maka mereka tidak akan berpindah kepada pandangan sesiapa pun.
  • Sekiranya sesuatu ayat al-Quran itu mengandungi pelbagai makna, maka Sunnah yang akan menentukan maknanya.
  • Sekiranya tidak terdapat dalam al-Quran jalan penyelesaian, maka mereka akan berpindah kepada Sunnah.
  • Sekiranya dalam sesuatu permasalahan itu terdapat hadith, maka mereka tidak akan mengikut ijtihad sesiapa pun, melainkan hadith tersebut.
  • Sekiranya tidak terdapat hadith, maka mereka akan berpindah pula kepada pandangan sekumpulan Sahabat dan Tabi’in.
  • Sekiranya para Sahabat atau Tabi’in bersepakat dalam sesuatu permasalahan, maka ahli hadith akan mengambil pandangan yang disepakati itu.
  • Sekiranya para Sahabat atau Tabi’in berselisih pandangan, maka ahli hadith akan mengambil pandangan dalam kalangan mereka yang lebih alim, warak, dabit, atau paling masyhur.
  • Sekiranya ahli hadith mendapati dua pendapat (qaul) yang sama kuat, dan tidak ada pendapat yang lebih rajih antara kedua-duanya, maka mereka akan memerhatikan keumuman makna al-Quran dan Sunnah, begitu juga dengan makna isyarat atau makna iqtida’ antara kedua-duanya. Mereka akan membawa permasalahan tersebut kepada permasalahan yang hampir sama dengan keumuman makna yang diambil daripada al-Quran dan Sunnah itu. (Lihat Sirah al-Imam al-Bukhari oleh ‘Abd al-Salam al-Mubarakfuri, hlm. 338-340)

Daripada apa yang dinyatakan di atas, dapat disimpulkan bahawa manhaj ahli hadith dalam mengistinbatkan hukum ialah, mereka akan mendahulukan al-Quran, seterusnya hadith, kemudian pandangan sahabat dan tabi’in yang disepakati dalam kalangan mereka dan seterusnya qiyas.

Walaupun begitu, mungkin terdapat perbezaan di antara mereka kerana mereka mengikut imam-imam mereka seperti aliran mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’ie dan Hanbali. Apa yang dimaksudkan di atas lebih kepada ulama’ hadith yang mustaqil yang mempunyai kemampuan dalam mengistinbatkan hukum.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.