Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

unta terbaik.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato Seri Mufti. Apakah bacaan yang betul dalam hadis humri al-na’am atau humari (فو اللَّهِ لأنْ يهْدِيَ اللَّه بِكَ رجُلًا واحِدًا خَيْرٌ لكَ من حمر النَّعم) Dan apakah maksudnya? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Daripada Sahl bin Sa’ad R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Saidina Ali R.A:

فو اللَّهِ لأنْ يهْدِيَ اللَّه بِكَ رجُلًا واحِدًا خَيْرٌ لكَ من حُمْرِ النَّعم

Maksudnya: Maka demi Allah, bahawa Allah memberi hidayat kepada seorang lelaki dengan sebab kamu, makanya lebih baik bagi kamu daripada unta yang terbaik.

Riwayat al-Bukhari (4210) dan Muslim (2406)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Perkataan (حمر النعم) dengan maksud unta yang terbaik. Humruha (حمرها) dengan maksud yang paling afdhal sedangkan kalimah na’am (النعَم) dengan maksud unta secara khusus. Dikatakan al-an’am (الْأَنْعَام) termasuk padanya lembu, kambing bahkan dikatakan juga unta. Daripadanya ucapan kalimah na’am (نعم) bagi mereka dengan maksud unta yang banyak dan boleh dibaca dengan baris bawah pada awalnya, ni’am (نِعم). (Lihat Fath al-Bari, 1/196-197)

Bacaan yang paling tepat pada perkataan (حمر النعم) adalah dengan baris hadapan pada huruf ha’ dan mati pada huruf mim (حُمْر) dan jamaknya dengan (أَحْمُر). Sedangkan perkataan (النعم) ialah unta yang termasuk dalam idhafah sifat kepada mausuf. Kenyataan seperti ini untuk menggalakkan bagi orang Arab. Ini kerana (حمر النعم) adalah harta yang paling berharga di sisi mereka. Maka kinayah seolah-olah ia adalah yang paling terbaik di dunia ini kerana simpanan akhirat itulah yang paling kekal. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Sahih al-Tirmizi oleh al-Mubarakfuri, 2/439)

Justeru, menyampaikan dakwah sehingga seseorang itu berubah ke arah yang lebih baik kerana mendapat hidayah Allah yang dengan sebab pendakwah maka balasannya amat besar. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

(Surah Fussilat: 33)

Ibn Kathir menyatakan iaitu seorang menyeru kepada tauhid kepada Allah dan mentaati-Nya sama ada melalui ucapannya, perbuatannya dan hal keadaannya. Termasuk juga melakukan amalan soleh sehingga dia menjadikan Islam sebagai agamanya dan mazhabnya. Ibn Kathir juga berkata: Ayat ini umum pada semua yang menyeru ke arah kebaikan. (Lihat Mukhtasar Ibn Kathir, 3/264)

Al-Zamakhsyari pula berkata: Ayat ini umum pada semua yang menghimpun padanya tiga perkara:

  • Hendaklah dia orang yang beriman dan beriktiqad dengan agama Islam.
  • Hendaklah dia yang melakukan kebaikan dan kebajikan.
  • Hendaklah dia menyeru ke arahnya.

Ini semua tidak berlaku kecuali dari golongan ulama’ yang beramal. (Lihat al-Kassyaf, 4/156)

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi pendakwah dan cintakan kebaikan dan kebajikan. Amin.