Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih323.png

 

 

Soalan: Benarkah hadith solat dua rakaat orang berkahwin lebih baik berbanding solat orang yang bujang?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam dan ia digambarkan sebagai tiang agama. Ini bermaksud, jika seseorang itu tidak menunaikan solat maka akan runtuhlah agamanya. Hadith yang dimaksudkan adalah:

 

  • Sabda Nabi SAW:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ

Maksudnya: “Tunjang segala urusan adalah Islam dan tiangnya adalah solat.” [Riwayat al-Tirmizi (2616)][Hadith ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi]

 

Selain itu juga, Allah SWT mencipta lelaki dan wanita serta Allah SWT mensyariatkan perkahwinan di antara mereka. Ini kerana, hukum asal atau secara umumnya bagi perkahwinan ini adalah sunat kerana ia berkait dengan fitrah dan keinginan yang ada pada manusia. [Lihat: al-Muktamad, 16/4]

Maka, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status sebuah hadith yang masyhur dalam masyarakat pada hari ini dan hadith atau riwayat ini sering diucapkan oleh jurunikah di dalam khutbah nikah iaitu:

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW:

رَكْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ

Maksudnya: “Dua rakaat orang yang berkahwin lebih afdhal berbanding 70 rakaat orang yang bujang.”

 

Sebelum kami nyatakan akan status hadith di atas, maka di sini kami akan datangkan terlebih dahulu beberapa pandangan ulama dalam menilai hadith ini, antaranya:

  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 257/2]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) menilai hadith ini tidak sahih di dalam kitabnya. [Lihat: al-La’aali al-Masnu’ah, 135/2]
  • Imam Ibn Iraq al-Kinani (963 H) menukilkan pandangan Ibn Hajar bahawa hadith ini adalah munkar. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 205/2]
  • Imam al-Fattani (986 H) menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 125/1]
  • Imam al-Syaukani (1250 H) menilai hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 120/1]
  • Imam al-Qawqaji (1305 H) menghukum menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Lu’Lu’ al-Marsu’, 89/1]
  • Syiekh al-Albani (1420 H) juga menilai hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah, 98/2]

Setelah kami melihat dan menekuni beberapa pendapat para ulama seperti di atas, maka kami nyatakan bahawa hadith ini adalah tidak sahih. Ini kerana, tidak terdapat perbezaan pada sudut kelebihan bagi orang yang berkahwin atau bujang dalam menunaikan solat. Adapun, antara yang disebutkan atau terdapat di dalam hadith berkaitan perbezaan dari sudut kelebihan dalam ibadah solat ini adalah seperti:

 

  • Solat orang yang berjemaah lebih afdhal daripada solat secara sendirian

Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

صَلاَةُ الجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الفَذِّ بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat orang yang berjemaah lebih afdhal berbanding orang yang solat secara bersendirian dengan 25 darjat.” [Riwayat al-Bukhari (646)]

 

  • Solat di awal waktu lebih afdhal berbanding orang yang solat di akhir waktu

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa beliau bertanya Nabi SAW tentang amalan yang paling disukai Allah SWT. Maka Nabi SAW bersabda:

 

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya: “Solat di awal waktu.” [Riwayat al-Bukhari (527)]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami tegaskan sekali lagi bahawa hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka yang akan menjadi tempatnya di akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

 

Wallahua’lam