Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

DIBUKA PINTU SYURGA.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya dengar ada hadis menyebut, kalau ada orang berdoa selepas daripada wudhuk, maka pintu syurga terbuka. Adakah benar?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Benar sekali. Ini berdasarkan hadis daripada Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ .

Maksudnya: Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa: “: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ” kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu.

Riwayat Muslim (234), Abu Daud (169), al-Nasa'ie
(148), Ibn Majah (470) dan al-Tirmizi (55)

Dalam menafsirkan maksud pintu-pintu syurga dibuka, ada dua pendapat:

  • Untuk memudahkan sampai ke arah jalan-jalan kebajikan yang akhirnya menuju ke pintu tersebut. Dalam bahasa yang lain, Allah menyediakan baginya sebab-sebab amalan soleh yang akhirnya membawa kepada pintu-pintu syurga. Ini berdasarkan firman Allah:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا

Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan);

(Surah al-Ankabut: 69)

  • Makna futihat (فُتِحَتْ) “telah dibuka” dengan maksud akan dibuka pada hari Kiamat. Penggunaan fi’il madhi pada tempat akan datang semata-mata untuk mentahqiqkan pasti berlaku dan hampirnya. Ini sejenis daripada ta’bir balaghi sebagaimana firman Allah SWT:

أَتَىٰ أَمْرُ اللَّـهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ

Maksudnya: Telah hampir datangnya janji yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu minta disegerakan.

(Surah al-Nahl: 1)

Semoga Allah tempatkan kita bersama golongan soleh yang akhirnya melayakkan kita menduduki syurga-Nya. Amin.