Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IH 378 compressed

Soalan :

Assalamualaikum wbt ustaz. Saya nak bertanya. Betul atau tidak ada hadis yang sebut tentang kelebihan malam raya?. Sebab saya lihat pada malam raya ramai yang sibukkan diri dengan perkara yang lalai. Tidak seperti malam Ramadhan. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Kiamat.

Hadis yang dimaksudkan memang terdapat di dalam kebanyakan kitab hadis. Di antaranya ialah yang hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili :

مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ

Maksudnya :” Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (aidiladha dan aidilfitri) kerana mengharapkan ganjaran kerana Allah. Maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat Ibnu Majah (1782)

Yang dimaksudkan dengan hari di mana matinya hati-hati manusia adalah hari di mana manusia terlau cintakan dunia sehingga melupakan tugasnya sebagai hamba Allah SWT.

Sanad hadis ini adalah sanad yang dhoif. Ini kerana di dalam sanad hadis ini terdapat perawi yang dhoif iaitu Baqiah Bin Walid.

Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut bahawa hadis ini juga diriwayatkan dengan sanad yang lain. Iaitu daripada jlaan Bisyr Bin Rafi’ daripada Thaur Bin Yazid daripada Khalid Bin Ma’dan. Bisyr Bin Rafi’ adalah orang yang dituduh melakukan pendustaan. (Rujuk Talkhis Al-Habir Fi Takhrij Ahadith Al-Rafi’i Al-Kabir, 2/80)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi di dalam tiga karyanya iaitu Al-Sunan Al-Kubra (3/319), Syu’ab Al-Imam (3711) dan Fadhail Al-Awqat (150). Beliau menukilkan sanadnya dan meriwayatkan hadis ini secara mauquf[1] melalui jalan riwayat Ibrahim Bin Muhammad Al-Aslami daripada Thaur Bin Yazid daripada Khalid Bin Ma’dan daripada Abu Umamah.

Secara ringkasnya, Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menyatakan bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah adalah hadis yang dhoif.

Terdapat juga hadis lain yang mempunyai makna yang hampir sama dengan hadis yang telah disebutkan. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Al-Tabarani daripada Ubadah Bin Somit bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ َصلَّى لَيلَةَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ القُلُوب

Maksudnya :” Sesiapa yang mendirikan solat (sama ada solat fardhu atau sunat) pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).”

Riwayat Al-Tabarani (159) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat

Al-Haithami menyatakan bahawa hadis ini merupakan hadis yang lemah. Kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Umar Bin Harun Al-Balkhi. Beliau ada seorang yang lemah hafalannya. Walaupun beliau dipuji oleh Abdurrahman Bin Mahdi namun beliau dikrtik hebat oleh oleh kebanyakan pakar hadis di zamannya. (Rujuk Majma’ Al-Zawaid Wa Manba’ Al-Fawaid, 2/233).

Oleh itu, hadis-hadis berkenaan menghidupkan malam hari raya kebanyakannya adalah hadis yang lemah. Namun begitu, kami melihat bahawa hadis-hadis tersebut termasuk di dalam fadhail ‘amal iaitu berkenaan kelebihan-kelebihan beramal. Ia bukannya berkaitan dengan hukum hakam sama ada halal atau haram. Jumhur para ulama membenarkan untuk beramal dengan hadis yang dhoif selagi mana ianya berkaitan dengan fadhail ‘amal. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi.[2]

Rentetan daripada itu, kami melihat bahawa harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara ketaatan seperti solat berjemaah, solat sunat, membaca Al-Quran, bertasbih, istighfar, bertakbir dan sebagainya. Inilah cara yang paling terbaik untuk menutup lembaran Ramadhan.

Bahkan, Imam Al-Nawawi menyebut bahawa harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara ketaatan dan ibadah.Inilah juga saranan yang telah diberikan oleh Imam Al-Syafi’I di dalam kitabnya Al-Umm.Walaupun hadis-hadis berkenaan menghidupkan malam hari raya adalah hadis yang dhoif namun ianya dibenarkan kerana hanya melibatkan fadhail amal. Dikatakan juga bahawa doa mustajab berlaku pada lima malam. Malam tersebut ialah malam jumaat, malam hari raya aidilfitri dan aidiladha,malam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban.

Beliau bercerita bahawa para masyaikh di Madinah di zamannya pergi ke masjid. Mereka berdoa, bertasbih,bertakbir, berzikir dan beramal pada malam hari raya. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 5/42).

Melihat kepada apa yang telah disebutkan, marilah kita sama-sama menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara yang boleh mengingatkan kita kepada Allah. Di samping kita membuat persiapan untuk menyambut syawal, jangan kita terlalu seronok sehingga terlupa bahawa kita adalah hamba Allah. Jangan kita tutup bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat kepada Allah SWT.

Kami titipkan beberapa nasihat untuk dijadikan panduan pada malam hari raya :

  1. Hadirlah solat berjemaah di masjid atau surau khususnya solat isyak dan subuh. Imarahkan dan meriahkan rumah Allah dengan ibadah. Jadikan sepertimana di bulan Ramadhan.
  2. Hiasilah malam hari raya dengan bertakbir. Inilah syiar yang perlu sentiasa diamalkan dan jangan ditinggalkan.
  3. Bangun 1/3 malam dan lakukan solat sunat. Penuhkan dengan ibadah-ibadah ketaatan yang lain seperti membaca Al-Quran, berzikir, bertasbih dan berdoa. Mohon pada Allah agar Allah memberikan pengampunan dan berdoa agar dipertemukan kembali dengan Ramadhan yang akan datang.
  4. Jangan cemari malam hari raya dengan perkara-perkara yang lalai dan tidak mendatangkan faedah.

Semoga kita mampu menjadi muslim dan hamba yang sentiasa komited dan bersungguh-sungguh mepersiapkan bekalan menuju hari akhirat.

Wallahu’alam.

[1] Rujuk pautan http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1114-irsyad-al-hadith-siri-ke-76-hadith-mawquf. Secara ringkasnya hadis mauquf adalah apa-apa perkataan dan perbuatan yang disandarkan kepada mana-mana sahabat Nabi SAW.

[2] Kami pernah mengulas berkenaan hukum beramal dengan hadith dhoif di dalam artikel Irsyad Al-Hadith siri ke-6 dan siri ke 68. Berikut adalah pautan artikel tersebut :

http://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1552-irsyad-al-hadith-siri-ke-6-hadith-dha-if-hukum-berhujah-dan-beramal-dengannya

http://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1131-irsyad-al-hadith-siri-ke-68-ringkasan-mengenai-pembentangan-kertas-kerja-seminar-home-of-hadith-pengamalan-hadith-dhoif