Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

petunjuk nabi musafir.JPG

Soalan: Apakah terdapat petunjuk Nabi SAW dalam melakukan permusafiran? Ini kerana, kebiasaannya umat Islam yang menyambut Hari Raya akan bermusafir pulang ke kampung halaman masing-masing. Kemudian mereka akan bertolak pulang pula dari kampung halaman ke bandar. Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Permusafiran merupakan sebahagian daripada lumrah atau sunnah kehidupan seorang manusia. Permusafiran adalah perpindahan daripada satu tempat menuju ke tempat yang lain bagi tujuan tertentu. Untuk itu, Nabi SAW tidak pernah sesekali membiarkan umatnya melakukan sesuatu perkara tanpa ditinggalkan atau dibekalkan kepada mereka panduan yang perlu diikuti agar permusafiran yang dilakukan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Berdasarkan kepada soalan di atas, tidak dinafikan lagi bahawa sudah pasti Nabi SAW meninggalkan kepada kita panduan dalam melakukan permusafiran ini. Justeru, suka bagi kami untuk menukilkan beberapa petunjuk daripada kitab Hadyu Muhammad Rasulillah SAW yang merupakan ringkasan kepada kitab Zad al-Ma’ad.

  • Nabi SAW amat suka keluar untuk bermusafir pada awal siang dan pada hari Khamis.
  • Nabi SAW tidak suka sekiranya seseorang itu bermusafir seorang diri pada waktu malam.
  • Nabi SAW menuntut agar setiap yang bermusafir ini agar membaca doa safar sebelum memulakan perjalanan dan selepas pulang daripada permusafiran.
  • Di dalam perjalanan Nabi SAW juga mengajar kita apabila melalui tempat yang tinggi agar kita bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) dan apabila kita melalui tempat yang rendah agar bertasbih (mengucapkan Subhanallah).

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا، وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا

Maksudnya: “Sesungguhnya kami apabila menaiki tempat yang tinggi, maka kami bertakbir dan apabila kami menuruni tempat yang rendah, maka kami bertasbih.” [Riwayat al-Bukhari (2993)]

  • Rasulullah SAW juga mengajar kita apabila tiba di destinasi agar membaca:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ

Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat Tuhan yang Maha Sempurna daripada syaitan yang menggoda serta dari pandangan mata yang menyeramkan.” [Riwayat Muslim (2708)]

 

Penutup

Kesimpulannya, Nabi SAW merupakan contoh ikutan yang terbaik dalam setiap perkara dan seharusnya kita sebagai umatnya agar mencontohi setiap yang dilakukan oleh Rasulullah SAW termasuklah di dalam bab permusafiran. Dengan mencontohi serta mengikuti petunjuk Nabi SAW akan menjadikan permusafiran itu diberkati dan dipelihara oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita serta memelihara kita di mana sahaja kita berada. Amin.

Wallahua’lam