Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

solat sunat msuk rumah.JPG

Soalan: Apakah terdapat dalil berkaitan solat sunat ketika keluar dan masuk ke rumah?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dituntut ke atas setiap muslim itu sama ada lelaki atau wanita untuk melakukan solat sunat dua rakaat sebelum daripada keluar daripada rumah dan selepas daripada memasuki rumah. Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan galakan Nabi SAW untuk memperbanyakkan solat sunat di rumah. Antaranya:

  • Daripada Zaid bin Thabit RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ فِي مَسْجِدِي هَذَا، إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya: “Solat seseorang itu di rumahnya lebih afdhal (lebih baik) berbanding solatnya di masjidku (masjid Nabawi) ini melainkan solat yang wajib (solat fardhu).” [Riwayat Abu Daud (1044)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih]

Di dalam hadith yang lain pula daripada Zaid bin Thabit RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ، فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ صَلاَةُ المَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا المَكْتُوبَةَ

Maksudnya: “Solatlah wahai sekalian manusia di rumah-rumah kamu kerana solat yang paling afdhal ialah solat seseorang itu di rumahnya melainkan solat yang wajib (solat fardhu).” [Riwayat al-Bukhari (731)]

Bagi menjawab persoalan di atas, sememangnya terdapat riwayat yang menceritakan berkaitan solat yang dilakukan apabila ingin keluar atau masuk ke dalam rumah berdasarkan kepada sebuah riwayat daripada Imam al-Bazzar di dalam musnadnya:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ تَمْنَعانِكَ مَخْرَجَ السَّوْءِ، وَإِذَا دَخَلْتَ مَنْزِلَكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ تَمْنَعانِكَ مَدْخَلَ السَّوْءِ

Maksudnya: “Apabila kamu keluar dari rumahmu, maka solatlah dua rakaat, nescaya keduanya akan mencegahmu dari tempat keluar yang buruk dan apabila kamu masuk ke rumahmu, maka solatlah dua rakaat, nescaya keduanya akan mencegahmu dari tempat masuk yang buruk.” [Riwayat al-Bazzar (8567)][Imam al-Hafiz Ibn Hajar menilai hadith ini adalah hadith yang hasan]

Imam al-Munawi mengatakan ketika mensyarahkan hadith ini, apabila seseorang itu ingin keluar maka lakukanlah solat sunat sebanyak dua rakaat dengan ringka dan hal ini boleh didapati dengan melakukan solat fardhu dan juga sunat. Kemudian di dalam hadith tersebut disebutkan hikmah dituntut untuk melakukan solat sunat ini agar Allah SWT memelihara daripada keburukan di luar dan di dalam rumah. Di samping itu juga, tuntutan solat sunat ini akan gugur sekiranya berlalunya masa yang panjang tanpa keuzuran. Hadith ini juga menjadi dalil oleh Imam al-Ghazali akan sunat melakukan solat sunat dua rakaat ketika keluar dari rumah dan dua rakaat dilakukan selepas masuk ke dalam rumah. Selain itu juga, fadhilat ini juga akan diperolehi dengan solat fardhu dan sunat yang dilakukan sebelum keluar dan selepas masuk ke dalam rumah. [Lihat: Faidh al-Qadir, 1/334]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita amat dituntut untuk melazimi serta memperbanyakkan solat sunat di rumah termasuklah solat sunat yang dilakukan ketika keluar dan masuk ke dalam rumah. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita dan ahli keluarga daripada segala perkara yang tidak baik. Amin.