Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih387_15291523.png

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan disertakan dengan enam hari di bulan Syawwal, maka akan keluar dosa-dosanya sepertimana hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara amalan atau perkara sunat yang digalakkan untuk dilakukan selepas berlalunya bulan Ramadhan iaitu puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawwal. Hal ini, jelas dinyatakan akan kelebihan berpuasa enam hari di dalam bulan Syawwal sebagaimana disebutkan di dalam hadith iaitu pahalanya seperti orang yang berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun. [Riwayat Muslim (1164)]

 

Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas ada diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam kitabnya:

 

  • Daripada Ibn Umar RA, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan disertakan dengan enam hari di bulan Syawwal, maka akan keluar dosa-dosanya sepertimana hari dia dilahrikan oleh ibunya.”[Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath (8622)]

Di sini kami sertakan beberapa pandangan ulama berkaitan status hadith ini. Antaranya Imam al-Thabarani mengatakan bahawa Maslamah bin Ali telah bertafarrud dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath, 8/275] Selain itu, Imam al-Haithami menyatakan Maslamah bin Ali merupakan perawi yang dhaif. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 3/187] Tambahan pula, Imam al-Dhimyathi menilai sanad hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-Muttajir al-Rabih, 138] Syeikh al-Albani menghukum hadith Ibn Umar di atas sebagai palsu. [Lihat: Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 11/309] Setelah melihat beberapa pandangan para ulama di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih. Justeru, kita dilarang sama sekali untuk menyandarkannya kepada Rasulullah SAW melainkan untuk menyampaikan akan statusnya yang sebenar. Ini kerana, larangan menyandarkan sesuatu yang tidak sahih kepada Rasulullah SAW merupakan satu dosa yang besar.

Adapun berkaitan kelebihan atau fadhilat seperti hari dia dilahirkan ada disebutkan di dalam hadith-hadith sahih yang lain. Antaranya, ialah hadith yang menceritakan kelebihan orang yang menunaikan haji:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَجَّ الْبَيْتَ، فَلَمْ يَرْفُثْ، وَلَمْ يَفْسُقْ، رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunaikan haji di al-Bait (Baitullah), lalu dia tidak bercakap kotor serta tidak melakukan perkara yang fasik, maka dia akan kembali seperti seorang anak yang baru dilahirkan oleh ibunya.” [Riwayat Ahmad (10274)][Hadith ini sanadnya adalah sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim menurut penilaian Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith Ibn Umar RA di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka merupakan tempatnya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

 

Wallahua’lam