Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih398_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan nafkah yang diberikan untuk menunaikan haji digandakan oleh Allah SWT?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para ulama telah menetapkan bahawa pemberian nafkah adalah wajib ke atas golongan tertentu yang berada di dalam tanggungannya seperti isteri, anak, hamba dan ibu bapa yang fakir. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا

al-Baqarah: 2:233

Maksudnya: “Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

 

Berdasarkan kepada soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa nafkah yang diberikan untuk haji sama seperti nafkah ke jalan Allah dan ia digandakan sebanyak 700 kali ganda.

  • Daripada Buraidah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

النَّفَقَةُ فِي الْحَجِّ كَالنَّفَقَةِ فِي سَبِيلِ اللهِ بِسَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ

Maksudnya: “Nafkah untuk haji seperti nafkah di jalan Allah dengan 700 kali ganda.” [Riwayat Ahmad (23000)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi tetapi sanadnya adalah dhaif. Akan tetapi dengan adanya sokongan daripada riwayat-riwayat yang lain maka ia saling menguatkan antara satu sama lain]

 

Sebahagian ulama juga menjadikan ayat 261 di dalam surah al-Baqarah sebagai sokongan terhadap hadith di atas, iaitu:

  • Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ 

al-Baqarah: 261

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas menunjukkan akan kelebihan orang yang memberi nafkah untuk haji adalah sama seperti memberi nafkah atau sedekah ke jalan Allah SWT. Di samping itu, hadith di atas adalah hasan li ghairi sebagaimana yang telah kami nyatakan di atas. Selain itu, kita seharusnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan dalam setiap perkara termasuklah dalam perkara berkaitan nafkah ini.

 

  • Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku. [Riwayat al-Tirmizi (3895)][Hadith ini dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa membelanjakan hartanya ke jalan Allah SWT. Amin.

 

Wallahua'lam