Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

HAMBA TUAN.JPG

Soalan:

Apakah maksud sebenar tanda kiamat yang disebut dalam hadith “wanita melahirkan tuannya?”. Lafaz asal hadith tersebut ialah ‘al-amah’, dan sefaham saya ia bermaksud orang gaji atau hamba wanita. Tapi biasanya saya ia difahami dengan maksud ‘ibu akan melahirkan anak yang derhaka kepadanya’. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat, para sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hadith yang dimaksudkan ialah hadith riwayat Umar bin al-Khattab R.A, iaitu hadith yang menyaksikan malaikat Jibril datang kepada Nabi SAW dan para sahabat untuk mengajarkan mereka tentang Islam, Iman dan Ihsan, dan antara lain terkandung juga soal jawab di bahawa:

قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا ‏.‏ قَالَ ‏"‏ أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا

Maksudnya: Jibril bertanya: Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat. Nabi SAW menjawab: Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Maka Jibril bertanya lagi: Khabarkan kepadaku tentang tanda-tanda kiamat. Maka Nabi SAW menjawab: (Antara tandanya ialah) apabila seorang hamba wanita melahirkan tuannya...

Sahih Muslim (8)

Dari sudut bahasa, al-amah bermaksud hamba wanita yang diperoleh melalui tawanan perang di medan pertempuran.

Imam al-Nawawi menyatakan kebanyakan ulama menyatakan bahawa ia bermaksud akan berleluasanya perhambaan dan anak-anak yang lahir daripada hamba wanita yang disetubuhi tuan mereka, dan anak-anak ini akan menjadi tuan kepada ibu mereka sendiri.(Rujuk Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 1/158)

Namun Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani sewaktu mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa maksud yang paling tepat bagi lafaz ‘hamba wanita melahirkan tuannya’ ialah akan terjadinya banyak penderhakaan terhadap ibu bapa, dimana anak-anak akan melayan ibu mereka sepertimana seorang tuan melayan hambanya, dengan kata-kata penghinaan, cacian, memukul dan memaksa mereka melakukan kerja-kerja. Pandangan ini juga bersesuaian dengan konteks hadith yang membicarakan salah satu soal tanda kiamat, iaitu golongan yang rendah menjadi tinggi, dan ibu bapa yang sepatutnya menjadi penguasa, dikuasai oleh anak-anak mereka sendiri.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan majoriti ulama yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi, kerana perhambaan sememangnya sudahpun berlaku, dan hamba-hamba wanita yang melahirkan anak kepada tuan mereka juga sememangnya telah wujud pada zaman Nabi SAW. (Rujuk Fath al-Bari 1/122-123)

Menurut Syeikh Mustofa Dib al-Bugha dan Syeikh Muhyiddin Mistu, lafaz ini merupakan bahasa kiasan (kinayah) akan berleluasanya perbuatan derhaka terhadap ibu bapa oleh anak-anak, hingga digambarkan seorang ibu atau bapa takut kepada anak-anak mereka sepertimana takutnya seorang hamba kepada tuannya, dan ini berlaku pada fasa kerosakan zaman (fasad al-zaman) dan tunggang-terbaliknya aturan kehidupan (inqilab al-ahwal). (Rujuk al-Wafi fi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 17-19)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, secara literalnya lafaz hadith tersebut sememangnya menyatakan antara tanda kiamat ialah hamba wanita akan melahirkan tuannya sendiri, dan itulah yang dipegang oleh majoriti ulama.

Namun terdapat ulama seperti Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dan Syeikh Mustofa Dib al-Bugha yang memahaminya melalui konteks yang lebih luas, lalu sampai kepada kesimpulan bahawa ia merupakan kiasan akan berleluasanya perbuatan derhaka dan layanan kasar terhadap ibu bapa oleh anak-anak, sepertimana layanan kasar tuan terhadap hambanya.

Wallahu a’lam.