Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

 

ih426_15291523.png

 

Soalan: Apakah kisah Nabi SAW bersama dua sahabatnya iaitu Abu Bakar RA dan Umar RA keluar mencari makanan merupakan kisah yang sahih?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Rasulullah SAW merupakan insan atau makhluk Allah yang paling mulia berbanding makhluk-makhluk Allah yang lain. Selain itu, Rasulullah SAW hidupnya adalah sederhana walaupun Baginda SAW seorang rasul dan juga pemimpin pada waktu itu. Hal ini dapat dilihat daripada sebuah hadith:

 

  • Daripada Aisyah R.anha berkata:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ طَعَامِ الْبُرِّ ثَلَاثَ لَيَالٍ تِبَاعًا حَتَّى قُبِضَ

Maksudnya: “Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat Baginda SAW wafat, keluarga Nabi Muhammad SAW tidak pernah memakan roti dari tepung gandum sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut.” [Riwayat al-Bukhari (5416) dan Muslim (2970)]

 

Hadith ini menunjukkan kepada kita akan kezuhudan Nabi SAW dalam menolak kebaikan dunia bagi mendapatkan kebaikan kehidupan yang kekal abadi (Akhirat). Imam Ibn Battal ada menyatakan bahawa kezuhudan Nabi SAW ini bukanlah dalil bagi menyatakan bahawa kelebihan orang yang miskin berbanding orang yang kaya. Akan tetapi, ini menunjukkan akan kelebihan sikap keyakinan (pada rezeki), berpada dan tidak berlebih dalam perkara yang berkaitan dengan kelazatan dunia. [Lihat: Fath al-Mu’in, 8/239]

Berdasarkan soalan di atas, kisah yang disebutkan tersebut ada dinyatakan di dalam hadith yang sahih daripada Imam Muslim bahawa Nabi SAW dan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar dan Uthman pernah keluar dari rumah disebabkan kelaparan:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ - أَوْ لَيْلَةٍ - فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ، فَقَالَ: مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ؟ قَالَا: الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: وَأَنَا، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا، قُومُوا، فَقَامُوا مَعَهُ، فَأَتَى رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ، فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ، قَالَتْ: مَرْحَبًا وَأَهْلًا، فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيْنَ فُلَانٌ؟ قَالَتْ: ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنَ الْمَاءِ، إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ، فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي، قَالَ: فَانْطَلَقَ، فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ، ... قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمُ الْجُوعُ، ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ

Maksudnya: “Satu malam Rasulullah SAW keluar dari rumah lalu bertemu dengan Abu Bakar dan Umar. Lalu beliau bertanya: “Mengapa kamu semua keluar dari rumah malam sebigini?.” Mereka menjawab: Kami lapar wahai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku juga keluar disebabkan alasan yang sama seperti kamu. Marilah!” Mereka mengikuti Nabi SAW ke rumah salah seorang sahabat Ansar. Akan tetapi, beliau tiada di rumah pada waktu itu. Apabila isterinya melihat Nabi SAW, dia mengucapkan: Selamat datang. Rasulullah SAW bertanya kepada isterinya: Di manakah fulan (suaminya)? Isterinya menjawab: Sedang keluar mengambil air. Tiba-tiba orang Ansar (suami wanita tersebut) itu muncul sambil berkata: Alhamdulillah, tidak ada pada hari ini yang lebih membahagiakan aku melainkan  disebabkan kedatangan tetamu yang mulia. Beliau terus beredar untuk mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang sudah mula masak, telah masak dan muda … (Setelah menikmati hidangan) Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu akan ditanya tentang hal ini (tentang nikmat pada malam ini) di hari Kiamat kelak, apa yang membuatkan kamu keluar dari rumah adalah disebabkan rasa lapar. Kemudian kamu tidak pulang ke rumah sehinggalah kamu diberikan dengan nikmat ini daripada Allah." [Riwayat Muslim (2038)]

 

Penutup

Kesimpulannya, kisah tersebut adalah sahih kerana ia ada diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab sahihnya. Tambahan pula, hadith ini menunjukkan kezuhudan Nabi SAW dan juga para sahabat pada kelazatan dunia. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam