Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ih427_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan larangan mencela ayam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam al-Quran juga, Allah SWT memperakui bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh teladan atau ikutan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam kitab suci-Nya:

 

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

al-Ahzab:21

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

 

Di samping itu juga, Rasulullah SAW menggalakkan kita semua untuk berkelakuan baik dengan setiap makhluk Allah SWT termasuklah tumbuhan-tumbuhan dan juga binatang sebagaimana yang terdapat di dalam hadith:

  • Daripada Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW:

 

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menulis kebaikan di atas setiap perkara.” [Riwayat Muslim (1955)]

 

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang melarang untuk mencela ayam ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam sunannya:

  • Daripada Zaid bin Khalid RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لا تسبُّوا الدَّيكَ، فإنَّهُ يوقِظُ للصَّلاةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela ayam kerana ia membangunkan seseorang untuk solat.” [Riwayat Abu Daud (5101)]

 

Syeikh Syu’aib al-Arna’outh berkata ketika mengtakhrijkan hadith ini bahawa perawi-perawi di dalam hadith ini kesemuanya adalah thiqah (dipercayai riwayatnya) dan perawi-perawi tersebut merupakan perawi al-Syaikhayn (al-Bukhari dan Muslim). Akan tetapi, para ulama berselisih pandangan dalam menentukan hukum hadith ini di antara mursal (terputus sanadnya akibat keguguran sahabat di dalam sanad) atau marfu’ (sanad bersambung sampai kepada Rasulullah SAW). [Lihat: Sunan Abu Daud, 7/429] Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah sahih di dalam dua kitabnya al-Azkar and Riyadh al-Solihin. [Lihat: al-Azkar, 364 dan Riyadh al-Solihin, 481] Tambahan pula, Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai sahih. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2/391]

Imam al-Nasa’ie ada mendatangkan satu riwayat yang mursal berkaitan seorang Ansar telah mencela seekor ayam, lalu Nabi SAW menegur perbuatannya itu:

 

أَنَّ الدِّيكَ صَوَّتَ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَبَّهُ رَجُلٌ مِنَ الْأَنْصَارِ، فَقَالَ: لَا تَسُبُّوا الدِّيكَ فَإِنَّهُ يَدْعُو إِلَى الصَّلَاةِ

Maksudnya: Terdapat seekor ayam telah berkokok di sisi Rasulullah SAW, lalu salah seorang lelaki daripada Ansar telah mencelanya. Maka Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu mencela ayam kerana ia membangunkan seseorang untuk solat.” [Lihat: al-Sunan al-Kubra (10716), 9/346]

 

Hadith ini menunjukkan seseorang itu bangun untuk melaksanakan qiyamullail dengan bunyi ayam tersebut. Justeru, sesiapa yang membantu seseorang di atas ketaatan maka dia berhak untuk mendapatkan pujian dan bukannya celaan. Imam al-Munawi menyatakan bahawa mengikut adat kebiasaan bahawa ayam akan berkokok secara berturut-turut ketika hampir fajar dan ketika tergelincir matahari yang mana ini merupakan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas ayam. [Lihat: Aun al-Ma’bud, 5/14]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah sahih dan larangan tersebut bukanlah sampai ke tahap haram, bahkan ia hanya menunjukkan kemakruhan bagi orang yang melakukannya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi ketika meletakkan bab pada hadith ini. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 481] Tambahan pula, mencela sesuatu bukanlah satu sifat yang terpuji dan disukai oleh Allah SWT. Untuk itu, setiap orang yang beriman itu dituntut untuk mencontohi sifat-sifat yang terpuji. Ini kerana, agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak. Disebabkan itu, antara sebab Nabi SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang baik akhlaknya. Amin.

 

Wallahua’lam