Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-210: AMALAN MANDI SAFAR

 

 

 

Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai  atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.

Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:

Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).

Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?

 

PENJELASAN MENGENAI HADIS

Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ

Maksudnya:"Tidak ada  penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”

Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.

 

Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:

 

لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ

Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]

Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad

 

Disebut juga di dalam lafaz yang lain:

 

لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْء

Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”

Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya

 

Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:

  1. Abu Hurairah
  2. Ibnu ‘Abbas
  3. Jabir Bin ‘Abdullah
  4. Ibnu Mas’ud

Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?

 

MAKSUD SAFAR(صفر)

Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ  bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.

Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)

 

Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.

Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:

 

  • Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:

 

“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”

 

Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”

 

Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)

 

  • Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :

 

“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”

 

Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)

 

  • Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :

 

“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:

 

لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ #  وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ

Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”

 

Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”

 

Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)

 

  • Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :

 

“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”

 

Rujuk Faid al-Qadir syarh al-Jami’ al-Saghir (6/433)

 

  • Kata Imam Badruddin al-‘Aini (w.855 H):

 

“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”

 

Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari (21/247)

 

  • Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) :

“Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”

 

Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)

 

  • Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini  menyebut:

 

“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”

 

Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)

 

  • Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):

 

“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”

 

Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala Sohih al-Bukhari (4/10)

 

  • Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:

 

“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”

Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sohih al-Bukhari (8/373)

 

  • Ibn Rajab al-Hanbali (w.795 H) berpandangan:

 

“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”

Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.

 

Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.

 

Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”

 

Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)

Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ  itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf  لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.

 

PENUTUP

Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar. Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.

 

Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:

 

وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ

Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”

Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad

 

Wallahu’alam

 

[1] Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menyebut sanad hadis ini sahih dengan menggunakan syarat Imam Muslim

[2] Penyair yang mendendangkan syair ini adalah al-‘Asya Bahilah