Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-101: HUKUM PENGGUNAAN MINYAK ANGIN DALAM KEADAAN IHRAM

HUKUM_PENGGUNAAN_MINYAK_ANGIN_DALAM_KEADAAN_IHRAM.jpg

SOALAN:

Salam. Nak tanya, adakah boleh menggunakan minyak angin ketika sedang berada dalam ihram

RINGKASAN JAWAPAN:

Penggunaan minyak angin ketika di dalam ihram adalah dibenarkan, kerana minyak angin bukanlah dikira sebagai wangi-wangian dari sudut adatnya.

HURAIAN JAWAPAN:

Waalaikumussalam.

Minyak angin adalah merupakan sejenis minyak yang biasanya mengandungi bahan-bahan tertentu seperti menthol, methyl salicylate, dan sebagainya[1] yang digunakan pada kebiasaannya secara sapuan luaran bagi merawat penyakit-penyakit tertentu, seperti kembung perut, pening kepala dan seumpamanya.

Oleh kerana pada kebiasaannya minyak angin ini mengandungi bau yang kuat, maka timbul persoalan di sini sama ada penggunaan minyak angin ketika dalam keadaan ihram dikira sebagai melanggar larangan ihram ataupun tidak?

Hukum Larangan Berwangian Dalam Keadaan Ihram

Apabila seseorang itu berada dalam keadaan Ihram untuk menunaikan ibadah Umrah ataupun Haji, terdapat beberapa larangan yang perlu dijauhi olehnya, antaranya ialah larangan untuk berwangi-wangian, berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam menjawab pertanyaan mengenai pakaian ketika ihram:

...ولا تلبَسوا مِن الثِّيابِ شيئًا مسَّه الوَرْسُ والزَّعفرانُ

Terjemahan: “...dan janganlah kamu memakai pakaian yang terkena padanya wars dan za’faran (sejenis wangian)”.

(Sahih al-Bukhari)

Larangan mengenai penggunaan sesuatu yang berbau harum ini adalah kerana baunya yang harum, walaupun pada asalnya perkara itu bukan untuk digunakan sebagai wangian, seperti pewarna pakaian yang harum, atau ubat-ubatan yang harum.[2]

Justeru, larangan berwangian di dalam ihram ini meliputi apa sahaja perkara yang digunakan kerana tujuan utamanya ialah untuk mendapatkan bau-bauan harum yang ada pada perkara tersebut.[3]

Hukum Penggunaan Minyak Angin Di Dalam Ihram

Penggunaan minyak angin ini pada kebiasaannya hanya digunakan sebagai penawar bagi sakit-sakit tertentu seperti pening kepala, sakit perut, dan seumpamanya, dan tidak pula digunakan untuk mewangikan sesuatu. Walaupun minyak angin mengandungi bauan yang kuat, namun bauan tersebut tidak dikategorikan sebagai sesuatu yang berbau wangi pada adatnya.

Oleh kerana itu, minyak angin tidak dikira sebagai sejenis wangi-wangian pada adatnya, kerana bau minyak angin tersebut bukanlah bau yang wangi, sebaliknya bau minyak angin tersebut ialah bau bahan-bahan yang terkandung di dalamnya.

Justeru itu, penggunaan minyak angin oleh seseorang yang berada dalam keadaan berihram tidak dikira sebagai salah satu daripada perkara-perkara yang dilarang di dalam ihram, kerana larangan di dalam ihram hanyalah melibatkan sesuatu yang berbau wangi sahaja.

Namun begitu, ditegaskan juga bahawa kebenaran untuk menggunakan minyak angin ini adalah terpakai bagi minyak angin yang tidak mengandungi bau-bauan yang harum bersamanya.

Justeru, orang yang berihram perlulah memastikan bahawa minyak angin yang ingin digunakan tersebut bukanlah mempunyai bauan yang harum, seperti minyak angin yang mengandungi pati bunga dan seumpamanya.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan yang diberikan di atas, beberapa perkara berikut dapat disimpulkan:

  1. Berwangi-wangian dengan sesuatu yang secara adatnya dianggap sebagai wangian adalah merupakan salah satu daripada larangan ihram.
  1. Minyak angin yang tidak mempunyai bauan yang harum tidak dikira sebagai wangian dari sudut adatnya. Justeru, penggunaan minyak angin bukanlah termasuk daripada larangan-larangan ihram.

WaLlahu Alam

 

Rujukan: 

[1] Laman sesawang Health Sciences Authority. Diakses pada 21 Mei 2024: https://www.hsa.gov.sg/medicated-oils-and-balms.

[2] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2:295.

وَإِنْ كَانَ يُطْلَبُ لِلصَّبْغِ وَالتَّدَاوِي أَيْضًا (فِي) مَلْبُوسِهِ مِنْ (ثَوْبِهِ) أَوْ غَيْرِهِ

[3] Ibid.

وَأَدْرَجَ فِي الطِّيبِ مَا مُعْظَمُ الْغَرَضِ مِنْهُ رَائِحَتُهُ الطَّيِّبَةُ كَالْوَرْدِ وَالْيَاسْمِينَ