Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE #95 : ZAKAT FITRAH BUKAN HANYA BERDASARKAN BERAS YANG KITA MAKAN

                       

Soalan:

Assalamualaikum. Saya makan beras rm5 sekilo.. Adakah zakat fitrah saya kena ikut jenis beras yang saya guna. Tetapi kerajaan tetap rm7. Nak kena bayar kadar berbeza?

Jawapan:

Waalaikumussalam

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Daripada Ibn Umar R.Anhuma  dia berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”

Riwayat al-Bukhari (1503)

Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafie, pendapat yang paing sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut غالب قوت البلد (jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk). Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhazzab oleh Imam al-Nawawi (6/132).

Dalam fatwa yang diwartakan di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang diterbitkan pada 9hb Jun 1994, Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan telah bersetuju:

  1. menetapkan kadar Fitrah mulai tahun 1994 adalah berdasarkan harga purata bagi semua gred beras yang ada di pasaran.
  2. Bersetuju menetapkan bahawa harga purata semua gred harga beras dijadikan asas untuk menetapkan harga sekilo beras.

Dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 telah diputuskan bahawa harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.

Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.[1]

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-99 Pada 30 November 2016 Di Dewan Syura Perdana, telah membincangkan “Cadangan Penetapan Kadar Zakat Fitrah Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya Dan Labuan Bagi Tahun 1438H/2017M”. Mesyuarat telah menimbang dan meneliti kertas cadangan ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut:

  • Zakat fitrah merupakan zakat badaniah yang telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah dan ianya menjadi suatu kewajiban bagi setiap Muslim untuk melaksanakannya sebelum solat sunat Aidilfitri.
  • Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah menetapkan zakat fitrah boleh dibayar dengan beras ataupun wang tunai yang mempunyai nilai yang sama dengan harga beras tersebut. Keputusan ini juga selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan di mana zakat fitrah boleh dibayar dengan beras ataupun wang tunai.
  • Penetapan kadar zakat fitrah tahun 2017 berdasarkan faktor berikut :-
  • Bahan makanan yang diambilkira bagi menentukan zakat ialah beras atas alasan ia merupakan makanan asasi yang dimakan oleh penduduk Malaysia. Berdasarkan kajian dan perakuan oleh pihak BERNAS, Beras Super Spesial Tempatan 5% merupakan beras yang dimakan oleh majoriti rakyat Malaysia berbanding dengan beras gred lain.
  • Harga 1 kilogram Beras Super Spesial Tempatan 5% RM2.60 di darabkan dengan 2.70 kg bersamaan RM7.02. Oleh yang demikian, jumlah tersebut digenapkan kepada RM7.00.

Mesyuarat telah berbincang dan mengambil keputusan penetapan kadar zakat fitrah bagi tahun 1438H bersamaan 2017M bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah berjumlah RM7.00.

Justeru, jelaslah penetapan zakat fitrah tidak hanya mengikuti jenis makanan yang dimakan oleh pembayar zakat secara individu sebaliknya berdasarkan jenis purata beras yang dimakan penduduk sesebuah negeri. Wallahua’lam.

 

[1] Satu sa` (gantang) mengikut Syariat atau kiraan Baghdad adalah 4 mud (cupak) bersamaan 5 1/3 ratal atau 4 cekup penuh tapak tangan. Timbangannya ialah 7585 dirham atau 2.57 liter atau 2176 gram. Ini adalah pandangan Imam al-Syafie, fuqahak Hijaz, dan para sahabat yang menganggap satu mud ialah 1 1/3 ratal Iraqi. Manakala di sisi Abu Hanifah dan fuqahak Iraq, satu sa’ ialah 8 ratal dengan kiraan 1 mud bersamaan 2 ratal, jadilah 3800 gram bagi satu gantang. Pendapat lain pula tetapi masyhur bahawa satu gantang ialah 2751 gram. Wallahua’lam. Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (1/142) oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah.