Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE #85: MUNTAH SETELAH MAKAN UBAT BUANG ANGIN

 

Soalan: Saya telah menelan ubat untuk membuang angin dalam badan. Akibatnya, saya turut muntah. Adakah puasa saya terbatal dan dikira sengaja menyebabkan muntah?

Jawapan:

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,

مَنْ ذَرَعَهُ قَيْءٌ، وَهُوَ صَائِمٌ، فَلَيْسَ عَلَيْهِ قَضَاءٌ، وَإِنْ اسْتَقَاءَ فَلْيَقْضِ

“Barangsiapa yang muntah dengan tidak sengaja, maka tidak ada qadha’ baginya; dan barangsiapa yang muntah dengan sengaja, maka ia harus mengqadha (puasanya)”
(Riwayat Abu Daud, no. 2380)

Antara perkara yang membatalkan puasa adalah muntah dengan sengaja. (Lihat Matn Abi Syuja’, hlm. 19). Maksud muntah dengan sengaja adalah seperti menjolok-jolok lidah ke langit sehingga menyebabkan muntah. (Lihat Zain al-Talib, 2/80)

Imam Abu Daud ketika mensyarah hadith di atas menyatakan, "Termasuk dalam makna muntah dengan tidak sengaja adalah apa yang biasanya terjadi kepada manusia seperti termasuk lalat dalam kerongkongnya dan masuk air ke dalam perutnya seperti air banjir (tertelan air banjir) dan yang menyerupai perkara ini, sesungguhnya ianya tidak merosakkan puasanya." (Lihat Ma'alim al-Sunan, 2/112)

Muntah yang tidak membatalkan puasa juga adalah jika dalam keadaan dipaksa oleh tubuh untuk muntah. Kecuali jika muntah itu kembali masuk ke dalam perutnya atas usahanya, sendiri, maka batal puasannya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/556)

Dalam situasi saudara, puasa saudara dikira sah dan tidak batal kerana ianya bukanlah atas usaha saudara sendiri tetapi ianya dipaksa oleh tubuh badan. Semoga kita dapat memelihara puasa kita dengan semampu yang mungkin dan berusaha untuk berpuasa dengan sempurna.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
29 Mei 2017 bersamaan 3 Ramadhan 1438H