Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-137: HUKUM MEMBERI ZAKAT KEPADA ANAK YATIM

 

Soalan:

Adakah anak yatim layak menerima zakat? Bolehkah jika ingin membayar zakat terus kepada rumah anak yatim?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perlu diketahui di sini bahawa zakat itu perlu diagihkan kepada mereka-mereka yang telah ditetapkan oleh syara’. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Al-Taubah: 60)

Berdasarkan ayat di atas, maka telah jelas siapakah yang layak untuk menerima zakat. Mereka itu adalah:

  • Fakir
  • Miskin
  • Amil Zakat
  • Muallaf
  • Al-Riqab
  • Al-Gharimin
  • Fi Sabilillah
  • Ibn Sabil

Segala perincian mengenai asnaf zakat di atas, bolehlah tuan melayari laman web Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)[1]  untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenainya.

 

Adakah Diberikan Zakat Kepada Anak Yatim?

Setelah kita mengetahui akan asnaf zakat yang 8 itu, maka telah jelaslah kepada kita bahawa anak yatim tidak termasuk di dalam golongan mereka yang diberikan zakat. Ini bermakna semata-mata seseorang itu menjadi yatim piatu tidak menjadikan dia salah seorang penerima zakat.

Namun, sekiranya anak yatim itu adalah seorang yang fakir atau miskin, maka dalam keadaan ini, anak yatim tersebut boleh menerima zakat. Adapun ingin memberikan zakat terus ke rumah anak yatim, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu sama ada rumah anak yatim itu menempatkan anak-anak yatim yang fakir dan miskin ataupun yang bagaimana.

Sekiranya menempatkan anak yatim yang fakir miskin, maka dibolehkan untuk memberikan zakat kepada rumah anak yatim tersebut untuk diagihkan kepada anak-anak yatim yang berhak mengikut asnaf zakat yang telah ditetapkan oleh syara’. Zakat itu perlulah dibelanjakan untuk urusan makan, minum, pembelajaran serta keperluan harian yang lain bagi anak yatim tersebut.

Bagi urusan pembangunan rumah anak yatim, terdapat juga pendapat agar duit dari infaq/sedekah jariah digunakan dan bukannya dari duit zakat kerana membina bangunan dan sebagainya tidak termasuk di dalam asnaf zakat. Ini seperti mana yang difatwakan oleh Mantan Mufti Jordan, Samahah al-Mufti al-‘Am Dr. Nuh Ali Salman Rahimahullah.[2]

Namun terdapat juga pendapat yang meluaskan makna fi sabilillah itu sendiri sehingga dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan fi sabilillah itu bukanlah berperang dan berjihad semata-mata. Ini dapat kita perhatikan apabila al-Imam Fakh al-Razi al-Syafi’e Rahimahullah di dalam tafsirnya, Mafatih al-Ghaib ataupun juga dikenali dengan Tafsir al-Kabirada membawakan pendapat yang mengatakan bahawa al-Qaffal Rahimahullah mengatakan bahawa sebahagian fuqaha’ membenarkan agar zakat itu diberikan kepada semua perkara yang menjurus kepada kebaikan seperti untuk mengkafankan mayat, membina kubu, mengimarahkan masjid diletakkan di bawah asnaf fi sabilillah.[3] Ini menjadikan membayar zakat kepada pembangunan rumah anak yatim juga dibolehkan.

Oleh yang demikian, kami mengesyorkan agar menghubungi pejabat Baitulmal yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang sewajarnya bahkan kami juga turut mencadangkan agar pembayaran zakat dibuat kepada pusat zakat ini sepertimana yang telah kami bincangkan dalam siri Irsyad al-Fatwa yang ke-95 (klik di sini) berjudul “Hukum Membayar Zakat Kepada Pemerintah”. Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

25 Oktober 2016 bersamaan 24 Muharram 1438 H.

 

 

 

[1] http://www.maiwp.gov.my/.../perkhidmatan-kami/takrif-asnaf

[2] http://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=410

[3] Lihat Mafatih al-Ghaib, 16/113.