Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-109: HUKUM MENUJU MENUNAIKAN HAJI/UMRAH DENGAN MENAIKI BASIKAL

 

Soalan:

Baru-baru ini saya terdengar terdapat sepasang suami isteri yang sedang dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah dengan menaiki basikal. Apakah hukum terhadap perbuatan tersebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum ini telah hadir beberapa orang sahabat ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan hasrat untuk berbasikal bagi menunaikan umrah dan Alhamdulillah, pada 8 April yang lalu kami berpeluang untuk hadir bagi majlis pelepasan buat pasangan suami isteri tersebut di Masjid Negara untuk berbasikal menunaikan umrah. Program ini yang dinamakan Misi Kembara Memburu Hikmah akan membuatkan pasangan tersebut mengayuh basikal merentas beberapa buah negara di samping beberapa misi yang lain.

Kami mulakan dengan memberikan sedikit informasi mengenai syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang muslim untuk wajib keatasnya menunaikan fardhu haji/umrah. Kami ringkaskan seperti berikut:

  • Islam
  • Berakal
  • Baligh
  • Merdeka
  • Aman perjalanan
  • Istito’ah (kemampuan)

Mengenai persoalan di atas, kami melihatnya berlegar dari sudut istito’ah (kemampuan) seseorang individu muslim untuk menunaikannya serta apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan istito’ah di dalam perbahasan haji dan umrah.

Istito’ah (Kemampuan)

Disyaratkan dalam kewajipan menunaikan haji adalah nafkah bekalan (sepanjang perjalanan) dan tunggangan (kenderaan pada masa kini) dan ianya adalah mazhab jumhur ulama’ dari Hanafiyah, Syafi’eyyah dan Hanabilah. Ianya juga adalah pendapat Sahnun, Ibn Habib dari kalangan Malikiyyah dan ia juga adalah pendapat kebanyakan fuqaha’.

Ini berdasarkan beberapa nas yang menjadi dalil dalam isu ini. Antaranya:

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلٗاۚ

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

(Aal Imran: 97)

 

Istito’ah yang dimaksudkan pada firman Allah SWT di atas bukanlah pada kekuatan jasmani. Ini kerana jika yang dikehendaki oleh Allah SWT dengannya ialah kekuatan jasmani, maka ianya tidak perlu disebutkan kerana telah diketahui bahawa Allah SWT tidak pernah membebankan seseorang melainkan dia mampu untuk menggalasnya. (Lihat Al-Muhalla, 7/54 & Subul al-Salam, 2/180

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ ‏ "‏ الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki ke pada Nabi SAW bertanyakan kepada Baginda SAW: Ya Rasulullah, apa yang mewajibkan seseorang untuk menunaikan haji? Jawab Nabi SAW: “Bekalan dan juga kenderaan”.

Riwayat Al-Tirmizi (813)

 

Di akhir hadith tersebut, al-Imam Abu Isa al-Tirmizi Rahimahullah mengatakan: Hadith ini bertaraf hasan dan beramal keatasnya di sisi ahli ilmu yang mana jika seorang lelaki memiliki bekalan dan kenderaan maka wajib keatasnya untuk menunaikan haji. 

Al-Rahilah yang dimaksudkan di sini adalah kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Mekah untuk menunaikan haji ataupun umrah sama ada dengan membelinya atau menyewanya.

Para fuqaha’ mengatakan setiap yang boleh ditunggangi seperti unta, kuda, baghal dan keldai boleh dikira sebagai kenderaan. Adapun pada zaman kini, kapal terbang, kapal laut, kereta, motosikal ataupun basikal boleh dikategorikan sebagai kenderaan untuk sampai ke Mekah menunaikan haji ataupun umrah mengikut peredaran zaman.

 

Seterusnya, firman Allah SWT:

وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰۖ

Maksudnya: dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah)

(Al-Baqarah: 197)

 

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya membawakan sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa ahli Yaman telah menunaikan haji namun tidak membawa bekalan dan mereka berkata: “Kami adalah golongan yang bertawakkal kepada Allah SWT”, lalu turun ayat di atas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/548)

 

Ciri-ciri Berkemampuan

Seseorang itu dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah, sebagaimana yang dikehendaki oleh pemerintah. Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya, dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaanya.

 

Jenis Kemampuan

Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung, dan tidak secara langsung.

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudharatan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Hal ini adalah kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya.

Ini berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas RA, seorang perempuan menemui Rasulullah SAW:

إِنَّ أُمِّى نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ، فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ أَفَأَحُجُّ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ. حُجِّى عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ

Maksudnya:Ibuku bernazar untuk mengerjakan haji dan dia telah meninggal dunia sebelum sempat mengerjakannya. Adakah aku boleh mengerjakan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya, tunaikanlah haji bagi pihaknya. Bagaimanakah sekiranya ibu kamu berhutang, adakah kamu melunaskannya?” Dia menjawab: “Ya.” Nabi bersabda lagi: “Hendaklah kamu tunaikan hutang Allah. Hutang terhadap Allah adalah lebih berhak ditunaikan.

Riwayat al-Bukhari (1852), al-Baihaqi, al-Tabarani

 

Hadith yang lain pula, seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Bapaku telah meninggal dunia, sedangkan dia belum lagi mengerjakan haji. Bolehkah aku menunaikan haji bagi pihaknya?” Baginda bersabda:

أَرَأَيْتَ لَوْ كَانَ عَلَى أَبِيكَ دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ. قَالَ نَعَمْ. قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ

Maksudnya:Bagaimanakah sekiranya bapa kamu berhutang, adakah kamu akan melunaskannya?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Hutang terhadap Allah lebih berhak ditunaikan.

Riwayat al-Nasaie (2551), Ibn Hibban dalam sahihnya, al-Bazar, al-Tabarani, berkata Syeikh al-Albani hadith ini dha’if.

 

Hadith seterusnya:

أن أمرأة من خثعم قالت: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِى الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِى شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya:Seorang perempuan dari keturunan Khath’am berkata: “Wahai Rasulullah! Ibadah haji yang Allah fardhukan ke atas hamba-Nya telah wajib ke atas bapaku, sedangkan dia sangat tua dan tidak mampu menaiki kenderaan. Adakah aku boleh menunaikan haji bagi pihaknya?” Baginda menjawab: “Ya.

Riwayat al-Bukhari (1513), Muslim, Imam Ahmad, al-Nasaie, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah.

 

Kesimpulannya, boleh kita katakan yang dinamakan dengan istito’ah itu adalah kudrat dari segi fizikal serta wang ringgit yang boleh menyampaikan seseorang itu ke tanah suci Mekah. Begitu juga segala perbelanjaan untuk sampai ke sana dan juga ketika berada di sana di samping amannya perjalanan ke sana.

 

Kesimpulan

Selepas meneliti dan memahami hasrat sahabat kami yang ingin pergi ke Mekah dengan berbasikal, kami nyatakan hukumnya adalah dibolehkan berdasarkan kepada istito’ah yang dimiliki oleh mereka. Hal ini amat jelas mengikut nas ilahi. Firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ 

Maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.” 

(Al-Hajj: 27)

 

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa dari ayat di atas, terdapat ulama’ yang mengatakan bahawa perlu berjalan kaki untuk menunaikan haji bagi yang mampu namun yang afdhalnya adalah dengan berkenderaan. Nas menyebutkan bahawa dengan berjalan kaki untuk menunjukkan kepada mengambil berat, kekuatan kehendak dan keazaman dalam menunaikan haji.

Jika Allah SWT menyebut dengan berjalan kaki bagi menunaikan haji yang mana kita lihat sepayah-payah keadaan, inikan pula jika sudah ada kenderaan.

Semoga usaha murni  ini akan mendapat umrah maqbulah dan Allah SWT memudahkan perjalanan mereka untuk sampai ke Mekah bagi menunaikan umrah.

 

 

Akhukum fillah,

 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

25 April 2016 bersamaan 17 Rejab 1437H