Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-56: HUKUM MEMINDAHKAN KUBUR MENGIKUT SYARIAT ISLAM

SOALAN

Apa hukum memindahkan kubur mengikut syariat Islam?

 

JAWAPAN

Sebenarnya hukum asal adalah tidak dibolehkan tanpa sebarang maslahah dan keperluan yang mendesak. Inilah yang diputuskan oleh kebanyakan para ulama. Tetapi jika sekiranya terpaksa maka ia dibolehkan. Kami menukilkan di sini pendapat ulama berkenaan isu ini:

  • Dibolehkan apabila kehormatan jenazah tercemar jika tidak digali semula. Lihat Mughni al-Muhtaj (1/496)
  • Keadaan terpaksa yang berkait dengan panggilan ialah semasa dikuburkan tidak dimandikan atau ditayamumkan, tidak dikafankan atau tidak menghadap kiblat. Manakala yang berkaitan dengan pemindahan ialah seperti dikuburkan dalam perkuburan kafir, dikhuatirkan ditenggelami air atau terhakis, dihinakan oleh orang-orang kafir atau pembuat bid’ah. Lihat Mughni al-Muhtaj (1/496), Busyra al-Karim (2/39) dan Sabil al-Muhtadin (85).
  • Menurut hukum syarak tidak berdosa memindahkan kubur-kubur jika ditakuti tercemar kehormatannya, bahkan wajib memindahkannya jika kubur-kubur itu tercemar kehormatannya. Hal ini berdaskan apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW. Para sahabat memindahkan para syuhada dari kubur mereka kerana menghindarkannya daripada terkena basah.
  • Selain itu, ada juga kuburan para sahabat yang digali semula untuk dipindahkan ke tempat lain, di antaranya seperti keterangan berikut:

 

Sebagaimana ketika mengulas pendapat Abu Abdullah al-Zubairi yang mengatakan boleh memindahkan mayat jika kuburannya dilaui air atau keadaan tanahnya lembap, Imam Nawawi Rahimahullah berkata:

قول الزُبيرِي أَصحُ فقدْ ثبتَ فِي صحيحِ البخارِي عَن جابرِ بن عبدِ الله رَضِى الله عنهما أنهُ دَفنَ أباهُ يومَ أحدٍ معَ رجلٍ آخرٍ في قبرٍ قالَ ثُمَّ لَمْ تَطِبْ نفسِي إن أتركَهُ مع آخرٍ فاستخرجتُهُ بعدَ ستةٍ أشهرٍ فَإِذَا هوَ كَيومٍ وضعتُهُ هُيئةٍ غيرَ اذنِهِ وفِى روايةٍ للبخارِي أيضًا اخرجتُهُ فجعلتُهُ فيِ قبرٍ علي حدةٍ وذكرَ ابنٌ قتيبةَ فِي المعارفِ وغيرِهِ ان طلحةَ بن عبدِ اللهِ أحد العشرةَ رضي الله عنهُمْ دُفنَ فرأتْهٌ بنتُهُ عائشةٌ بعدَ دفنِهِ بثلاثينَ سنةً فِي المنامِ فشكَا إليهَا النَزَّ فأمرتْ بِهِ فاستخرجَ طريًّا فدُفنَ فَي دارِهِ بالبصرةِ

 

Maksudnya: “Pendapat al-Zubairi adalah paling sahih, hal ini kerana telah sabit dalam sahih Bukhari daripada Jabir RA bahawa sesungguhnya telah dikebumikanbapanya dalam peperanan Uhud bersama dengan deorang lelaki yang lain dalam satu liang lahad kemudiannya katanya hatiku kurang senang jika aku membiarkannya bersama orang lain selepas itu aku menggalinya selepas enam bulan dan menghairankannya dia seperti hari pertama aku mengebumikannya tanpa berubah tetapi telinganya, (dalam satu riwayat lain juga oleh Imam al-Bukhari disebutkan) aku mengeluarkannya dan memindahkannya ke kuburan sendiri. Di dalam kitab al-Ma’arif Ibnu Qutaibah dan lain-lain menyebutkan bahawa Talhah bin Qutaibah R.Anhuma (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga) telah dikuburkan selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya bernama Aisyah bermimimpi melihat Talhah mengadu kuburnya ditakungi air, lalu Aisyah menyuruh supaya kubur itu digali semula, dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan yang masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Basrah. Lihat al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi (5/273).

 

 

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

13 Syawal 1436H bersamaan 29 Julai 2015