Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-62: SYARAT-SYARAT PERLAKSANAAN DARURAT

 

 

SOALAN

Apakah syarat-syarat perlaksanaan darurat?

 

JAWAPAN

Begitu juga semasa membincangkan tentang hukum harus melakukan yang haram ketika darurat, Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya Al-Wasit fi Usul Fiqh al-Islami (Al-Matba’ah al-Ilmiyah, Cetakan Ke-2, 1986 hal. 115) telah menyatakan bahawa majoriti ulama berpendapat harus melafazkan kata-kata kufur ketika dipaksa seperti diancam untuk bunuh.

            Tetapi sungguhpun begitu, kalangan ulama tetap berpendapat bahawa adalah adalah lebih utama untuk tidak mengucapkan kata tersebut kerana sekiranya dibunuh ianya dikira mati syahid.

            Berikut adalah beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam dalam meletakkan sempadan daerah darurat itu sendiri. Jika menepati kriteria ini barulah terpakai kaedah syarak seperti darurat mengharuskan perkara yang dilarang:

  • Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.
  • Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu. Contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.
  • Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asasi syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.
  • Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan darurat diukur dengan tingkatannya.
  • Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.
  • Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan pinjaman walaupun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing.

 

Jelas kepada kita berdasarkan pandangan ulama di atas, hanyalah apabila keadaan darurat itu sebegitu genting seperti nyawa diancam untuk dibunuh, barulah harus untuk melakukan perbuatan dilarang. Itupun, menurut ulama, adalah lebih baik bagi kita untuk tidak melakukan perbuatan haram tersebut.

 

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

18 Syawal 1436H bersamaan 03 Ogos 2015